Bab 1

132 12 0
                                    

PRANG!

Bunyi kaca berderai kedengaran. Laju kaki Rhea menapak ke kamar utama. Bunyi itu datang daripada sana.

“Abang? Abang tak apa-apa ke?” soalnya risau. Pandangan matanya jatuh pada serpihan kaca yang bertaburan di tepi katil.

“Abang nak minum air ya?” soal Rhea lembut. Melihat gelas itu sudah berderai tahulah dia yang suaminya itu mahu mengambil air. Mungkin pegangan Hayyan tidak cukup kuat sehingga mengakibatkan pegangangnnya terlepas.

Hayyan mematungkan diri di atas katil. Bibirnya dikatup rapat seperti selalu. Payah benar nak dengar dia bersuara.

“Rhea minta maaf ya? Rhea tengah siapkan bahan-bahan untuk masak nasi lemak esok,” ujar Rhea tanpa ditanya.

Hayyan masih lagi diam. Riak wajahnya seperti orang tidak berperasaan saja.

Rhea tunduk mengutip serpihan kaca yang bertaburan tadi tanpa sedikit pun keluhan. Dia sudah terbiasa dengan keadaan ini.

Sedar tidak sedar, sudah lima bulan Hayyan sedar daripada komanya. Tiga tahun lelaki itu koma. Dengar macam mustahil untuk dia sedar kembali tapi tiada siapa yang mampu melawan kuasa ALLAH jika Dia berkehendak. Umur Hayyan masih panjang.

Lima bulan lalu dia sedar daripada komanya. Akhirnya penantian Rhea menemui noktah. Tapi, ujiannya tidak terhenti di situ...

Hayyan sudah tidak mengenalinya!

Lepas Hayyan sedar, soalan pertama yang ditanyakan pada Rhea ialah...

“Awak siapa?”

Saat itu jantung Rhea bagaikan direntap. Dia hilang diksi. Air mata laju mengalir ke pipi. Siapa je yang tak sedih bila suami sendiri sudah tidak mengenalinya? Sangkanya lepas Hayyan sedar, semuanya akan baik-baik saja. Tapi ujian lain pula yang menimpanya.

Rhea tidak mengalah. Setiap hari dia cuba mengembalikan memori Hayyan tentangnya. Tentang mereka. Daripada awal mereka kenal sampailah bagaimana mereka berkahwin. Semuanya diceritakan kembali pada Hayyan walaupun lelaki itu langsung tidak mengingatinya.

“Budak ni anak saya? Saya ada anak?”

Sekali lagi hati Rhea remuk. Wajah polos anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa itu dipandang sayu. Kalau Rhea pun dia tak ingat, inikan pula Armel. Armel lahir ketika Hayyan masih koma.

Dan selama itu juga Rhea yang menggalas tanggungjawab membesarkan Armel sendirian. Dialah ibu, dia juga ayah kepada Armel.

Tak mudah menjadi seorang Rhea Azra. Sudahlah dia anak yatim piatu. Tiada ahli keluarga yang lain juga. Tapi teguhnya cinta pada Hayyan menjadikan dia seorang wanita yang kuat.

“Abang tunggu sekejap ya. Rhea ambilkan air yang lain untuk abang.” Rhea langsung melangkah keluar meninggalkan bilik bersama dengan serpihan kaca daripada gelas yang pecah tadi.

Hayyan hanya memandang kosong ke muka pintu. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya. Sampai bila harus begini?

Dia langsung tidak mengingati wanita itu. Betul ke mereka sudah berkahwin? Bagaimana mereka boleh berkahwin? Banyak persoalan yang timbul di fikiran Hayyan.

Hayyan tunduk memandang kakinya pula. Bilalah agaknya kakinya akan pulih sepenuhnya? Dia mahu berjalan seperti biasa. Sekarang ini dia perlu menjalani rawatan fisioterapi.


“IBU... Armel nak beli aiskrim boleh?”

Rhea menoleh ke kanan. Hujung bibirnya ternaik sedikit melihat anak kesayangannya itu.

“Tapi Armel baru makan aiskrim semalam,” balasnya lembut.

Layu terus wajah Armel mendengar jawapan Rhea. “Armel nampak kawan-kawan kat luar tu makan aiskrim. Sedapnya...”

Surat AkhirWhere stories live. Discover now