Bab 8

50 7 0
                                    

“BITARA Holdings.”

Hati Rhea dibalut risau apabila mengetahui Hayyan akan mula bekerja di syarikat keluarga Trisha. Bermakna selepas ini mereka akan lebih kerap bertemu dan menghabiskan masa bersama.

“Tak boleh ke kalau abang kerja dekat tempat lain?” soal Rhea. Suaranya kedengaran resah.

“Kenapa? Sebab syarikat tu syarikat keluarga Trisha jadi saya tak boleh kerja dekat situ?” soal Hayyan kembali.

Rhea mengangguk. Mengiakannya.

“Jangan jadi budak-budaklah Rhea. Awak ingat senang ke saya nak cari kerja? Lagi-lagi dalam keadaan saya yang baru sihat ni. Nasib baiklah Trisha tolong saya dapatkan kerja tu.”

Tercarik hati Rhea saat mendengar jawapan Hayyan. Bukannya dia tidak tahu mengapa Trisha beria-ia membantu Hayyan mendapatkan kerja. Sudah tentulah kerana dia mahu Hayyan lebih dekat dengannya.

“Kalau saya tak kerja dekat situ pun, saya boleh je jumpa dengan Trisha bila-bila saya nak. Tak ada siapa yang boleh halang.”

Sekali lagi hati Rhea bagai direntap. Tubir matanya terasa hangat. Bibir digigit kuat menahan perasaan.

“Saya tak kisah awak setuju atau tak. Saya tetap akan kerja dekat situ.” Hayyan langsung bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.

Rhea menghela nafas berat. Dia tak kuat untuk terus berhadapan dengan Hayyan versi ‘baru’ ini.

“Rhea rindukan abang yang dulu...” Kelopak matanya dirapatkan membiarkan air matanya gugur membasahi pipi.



SEMANGKUK nasi goreng yang masih berasap diletakkan di atas meja makan. Kemudian Rhea menuangkan kopi panas ke dalam cawan.

“Abang dah siap?” tegur Rhea saat melihat kelibat suaminya itu keluar daripada bilik.

Sehelai kemeja hitam tersarung di tubuh Hayyan. Dipadankan pula dengan seluar slack berwarna kelabu gelap.

“Jom sarapan dulu,” ajak Rhea.

Hayyan datang menghampirinya. “Awak masak apa?”

“Rhea masak nasi goreng untuk abang.”

“Trisha ajak saya breakfast sama-sama pagi ni.”

Rhea terdiam seketika. Raut wajahnya langsung berubah bila dengar nama Trisha disebut. Rasa macam tengah hidup bermadu pula sekarang ni.

“Abang, walaupun abang tak ingat Rhea, tapi hakikatnya Rhea isteri abang bukannya Trisha. Dia cuma masa lalu abang. Kalau abang terus-terusan macam ni, sampai bila-bila pun abang tak akan ingat pada Rhea.” Entah daripada mana keberanian itu datang, Rhea tidak pasti. Tapi dia sudah tidak mampu menahan rasa lagi. Hayyan perlu tahu yang dia tidak suka suaminya itu rapat dengan bekas kekasihnya lagi.

“Awak tak faham Rhea. Awak tak ada dekat tempat saya. Cuba awak cakap, macam mana saya nak biasakan diri hidup dengan orang yang saya tak pernah kenal? Saya tak ingat apa-apa tentang awak. Saya dah paksa diri saya untuk ingat pada awak, tapi saya tetap tak ingat awak.”

“... Bagi saya, awak tetap orang asing. Walaupun dalam kertas, awak isteri saya yang sah,” ujar Hayyan lagi.

Rhea tergamam. Dia hilang diksi.

“Abang...”

“Jangan rosakkan mood saya Rhea. Saya pergi dulu.” Hayyan terus angkat kaki dan berlalu pergi.

Rhea terduduk di situ. Air matanya mengalir lagi. Apa lagi yang mampu dia lakukan selain daripada menangis. Nak marah? Nanti dia juga yang akan disalahkan.

Surat AkhirWhere stories live. Discover now