Bab 3

62 7 0
                                    

CENDOL yang dibelinya tadi dituangkan ke dalam mangkuk. Pergerakan tangan Rhea terhenti bila dia nampak figura Hayyan datang ke dapur.

“Abang, Rhea ada belikan cendol untuk abang. Dulu abang suka sangat makan...”

“Kenapa halau mak saya?” Hayyan memintas bicara Rhea.

Rhea terdiam sesaat. Nafas ditarik dalam-dalam. Sedaya-upaya dia cuba menahan dirinya daripada terus bersabar.

“Rhea tak halau mak. Rhea cuma minta Trisha balik. Rhea tak...”

“Sama je macam awak halau mak saya balik. Menantu jenis apa awak ni? Patutlah mak saya tak suka awak. Dengan orang tua pun awak nak kurang ajar?”

Rhea terkedu. Kepala digeleng perlahan. Mana Hayyan tahu yang Jauriah tidak suka padanya? Ah, sudah tentu ibu mentuanya itu yang memberitahu pada Hayyan sendiri. Entah apalah yang wanita itu katakan pada Hayyan tentangnya.

“Abang... Rhea tak ada niat pun nak kurang ajar dengan mak. Rhea hormat mak macam mak kandung Rhea sendiri.”

“Rumah ni rumah saya. Saya boleh bawa sesiapa sahaja tetamu datang ke rumah saya dan awak tak ada hak untuk halau tetamu saya.”

Rhea tunduk. Tangannya dikepal. Ya ALLAH... Berilah aku kesabaran.

“Abang suami Rhea. Rhea tak suka bila ada perempuan lain jumpa dengan abang. Lagi-lagi perempuan tu bekas kekasih abang,” ujar Rhea tegas. Dia mahu Hayyan mengerti yang dia benar-benar tidak suka Hayyan berjumpa dengan Trisha lagi.

Hujung bibir Hayyan ternaik sedikit. “Awak takut? Awak rasa tercabar?”

“Sebagai seorang isteri, Rhea berhak untuk rasa cemburu.”

Hayyan meraup perlahan wajahnya. “Tapi saya tak ingat awak Rhea! Saya tak ingat apa-apa tentang kita. Satu memori pun tak ada dalam kepala saya tentang awak. Cuba awak beritahu saya, macam mana saya nak teruskan hidup dengan orang asing?”

Zap! Hati Rhea bagai direntap mendengar ujaran Hayyan. Pedih.

“Rhea percaya suatu hari nanti abang akan ingat pada Rhea. Abang akan ingat pada anak kita. Dan kita akan jadi keluarga yang bahagia macam...”

“Macam mana kalau sampai bila-bila pun saya tak ingat awak?” Pintas Hayyan tanpa sempat Rhea menoktahkan bicaranya.

Rhea terdiam lagi. Wajah Hayyan dipandang sayu.

“Rhea akan usaha sampai abang ingat semula,” balasnya. Kali ini suaranya sudah mengendur. Sebak mencengkam dada.

“Saya dah penat!” Hayyan terus angkat kaki berlalu meninggalkan Rhea sendirian di situ.

Bendungan air mata Rhea pecah. Dia sudah tidak mampu menahannya lagi. Teresak-esak dia melepaskan tangisan sambil menekup wajah dengan kedua belah tapak tangannya.

Adakah Hayyan mahu mengalah? Jika lelaki itu mengalah untuk cuba mengingatinya dan Armel, bagaimana hubungan mereka selepas ini?

Rhea tak sanggup kehilangan Hayyan. Cukuplah tiga tahun dia menderita tanpa Hayyan disisi.

“Ibu?”

Rhea tersentak. Cepat-cepat dia palingkan wajah ke belakang. Pipi yang basah segera dikesat dengan belakang tapak tangan. Dia tidak mahu Armel melihatnya menangis.

“Armel.” Rhea tayang senyum pada anaknya itu.

“Ibu menangis ke?” soal Armel polos.

Rhea menggeleng perlahan. Bibir digigit kuat. Bimbang tangisannya terhambur lagi di hadapan Armel. Dia tidak mahu mengganggu emosi Armel.

Surat AkhirWhere stories live. Discover now