Bab 4

56 8 0
                                    

3 tahun lalu...

“Abang nak buat Grab juga ke malam ni?” soal Rhea saat melihat suaminya itu sudah bersiap.

Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam. Nampaknya malam ni dia ditinggalkan lagi...

Hayyan senyum segaris seraya mengangguk. “Tak lama lagi anak kita akan lahir. Abang perlu kerja keras. Nanti banyak nak pakai duit.”

Rhea menghela nafas perlahan. Wajahnya terus berubah suram. Kadang-kadang dia rasa dirinya tak berguna. Tak dapat nak tolong suaminya itu. Kasihan Hayyan... Perlu bekerja lebih masa untuk mencari rezeki buat mereka.

Siang Hayyan bekerja di sebuah bengkel milik kawan baiknya. Jika ada kelapangan, Hayyan akan membuat perkhidmatan Grab. Dapatlah tambah sikit-sikit pendapatan.

Mereka bukan nak hidup mewah. Cukuplah dapat sediakan segala keperluan utama. Kalau boleh Hayyan mahu hidup Rhea selesa.

“Kenapa ni?” Hayyan mara menghampiri Rhea yang sedang duduk di sofa itu. Dia duduk bertinggung di hadapan isterinya itu.

Rhea diam. Hanya bola matanya bergerak-gerak memandang Hayyan.

“Kenapa sayang?” Lembut Hayyan menyoal. Kedua belah tangannya menggenggam erat tangan Rhea.

“Kesian abang... Rhea minta maaf Rhea tak dapat nak tolong abang. Lepas anak kita lahir nanti, boleh abang izinkan Rhea kerja? Rhea nak bantu keluarga kita juga.”

“Sayangku Rhea... Janganlah fikir macam tu. Dah memang tanggungjawab abang untuk cari nafkah.”

“Tapi Rhea nak tolong abang...”

Hayyan senyum. Pipi Rhea diusap perlahan. “Tolong bagi semangat dekat abang je.”

“Terima kasih untuk semuanya abang... Rhea bangga ada suami macam abang.”

Berseri-seri wajah Hayyan mendengar ujaran isterinya itu. “Sayangku Rhea... Abang sayangkan Rhea. Dah, jangan sedih-sedih. Jangan tunggu abang balik. Kalau Rhea mengantuk, tidur dulu. Okey? Kalau ada apa-apa telefon abang.”

Rhea mengangguk perlahan. “Nak peluk sikit,” pintanya.

Hayyan tergelak kecil. “Peluk banyak pun boleh.”

Rhea terus memeluk tubuh suaminya itu. Tangannya dilingkarkan ke leher Hayyan. Kepalanya disandarkan pada dada lelaki itu. Tempat ternyamannya.

Hayyan mengucup lembut puncak kepala isterinya itu. “Abang sayangkan Rhea. Sayang sangat-sangat.”

Rhea tersenyum mendengarnya. “Panggil sayangku Rhea. Rhea nak dengar lagi abang panggil macam tu.”

“Sayangku Rhea...”

Hati Rhea bagai diselimuti kehangatan mendengarnya. Dia suka setiap kali Hayyan memanggilnya begitu.

“Baby... Jaga ibu tau. Kalau ibu tidur lambat, beritahu ayah. Biar ayah cubit pipi ibu.” Telapak tangan Hayyan mengusap lembut perut Rhea.

Kurang daripada sebulan sahaja lagi anak mereka akan lahir. Sebenarnya Hayyan risau juga untuk meninggalkan Rhea sendirian di rumah setiap kali dia keluar bekerja. Tapi dia tiada pilihan lain.

Rhea tergelak kecil mendengar usikan suaminya itu. “Berani ke nak cubit pipi Rhea?”

“Abang nak cubit pun tak sampai hati. Comel sangat.” Wajahnya dirapatkan dengan wajah Rhea. Dilabuhkan ciuman di pipi isterinya itu.

Rhea senyum. Kedua belah tangannya dilekapkan ke pipi Hayyan.

“Kerja elok-elok. Kalau abang penat, balik rumah terus. Jangan paksa diri.”

Surat AkhirTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon