Bab 2

28 3 0
                                    

TUALA yang tersangkut pada lehernya naik mengelap dahi yang sudah merenik peluh. Matanya naik merenung langit cerah sesaat. Panas. Sungguh harini cuaca sangat panas. Topi jerami atas kepala diambil, lalu dikipas topi itu pada wajahnya yang terasa berbahang. Wajahnya sekarang usah dikata sudah memerah.

Panasnya hanya tuhan yang tahu.

Tajam matanya merenung pekerja-pekerjanya yang sedang bertungkus lumus membuat kerja. Terbit rasa kasihan apabila melihat mereka berjemur dibawah terik matahari. Jam pada pergelangan tangan dilihat. Patutlah panas semacam. Sudah masuk angka 12:35 tengahari. Punggungnya dilabuhkan pada pondok kayu yang tersedia dikebun arwah ayahnya.

Terbit rasa rindu pada arwah ibubapanya. Terlepas helaan nafas lemah.

"Kamu semua berhentilah dulu. Rehat kejap. Panas ni. Karang kena strok haba, susah aku nanti." Seloroh Kahf yang sudah mengamit mereka kemari.

Terangguk kelima-lima kepala itu. Terus mereka mendekati Kahf yang santai berehat di pondok kayu usang itu. Mereka melabuhkan punggung diatas sambil mengipas muka menggunakan topi jerami. Terasa hilang lelah mereka apabila dapat berteduh dan berehat di pondok ini. Suasana yang berangin membuatkan mereka tersenyum. Nyaman.

"Ali, pergi beli air. Belikan untuk kau orang juga." Arah Kahf dan mengeluarkan duit dua puluh ringgit dari poket seluar tracknya.

Duit itu dihulurkan kepada Ali yang terpinga-pinga. Cerlungan tajam diberi apabila Ali hanya merenung duit di hulurannya. Tersengih-sengih Ali apabila melihat wajah datar bosnya. Huluran itu disambut bersama anggukan kecil.

"Air apa bos?"

"Ikutlah beli air apa-apa, yang pasti berais. Jangan air panas sudah." Ringkas Kahf menjawab tanpa mempedulikan wajah cemberut Ali.

Ditanya lagi ini budak.

"Tak apalah bos. Kami dah ada air kosong ni." Salah seorang dari pekerja Kahf bersuara.

Bukan apa mereka segan dengan Kahf. Kahf setiap hari akan belanja mereka air. Naik segan mereka pula. Kalau sekali dua bolehlah mereka menerima. Ini setiap hari. Tidak mahulah dicop sebagai pekerja yang mengambil kesempatan akan kebaikan majikannya.

Jujur mereka katakan yang Kahf sangatlah baik hati. Majikan yang terlalu bertanggungjawab dan amanah. Kahf bagus kerana terlalu menjaga kebajikan mereka. Sungguh mereka bersyukur dapat bos sebaik Kahf.

"Kamu semua nak air apa? Cakap dekat Ali. Aku belanja." Tegas suara Kahf berkata.

Riak kosong terpamer pada wajah Kahf. Mereka menelan air liur dengan payah. Mereka sudah biasa dengan sisi dingin bos mereka. Dingin-dingin pun hati Kahf sangat baik dengan mereka. Layanan dingin tapi bertindak cepat.

"Beli ajelah kami air kosong letak ais." Jawab pekerjanya yang bernama Mokhtar.

Terus terangguk tiga pekerjanya yang lain. Sesaat Kahf menjeling pekerjanya. Terasa mahu diluku  kepala pekerjanya sekarang. Pelik-pelik juga nak beli air kosong letak ais.

Ali yang melihat situasi itu terus mengaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Nak ikut arahan bos atau kawan dia?

"Beli teh limau ais enam. Pergi sekarang Ali." Arah Kahf dengan tegas.

Laju Ali mengangguk kepala dan berlari kecil kearah motornya. Berdesup motor kapcai Ali meninggalkan mereka. Terjungkit hujung bibir Kahf melihat karenah Ali. Ramai-ramai pekerjanya. Ali seorang saja yang mempunyai perangai nakal dan selesa bergurau dengan dia. Pekerjanya yang lain segan-segan nak bergurau dan berbual dengan dia.

Mahu katakan dia garang sangat. Tidaklah. Dia biasa saja. Cuma dia dingin kerana tidak pandai sangat memulakan perbualan. Kalau diajak berbual, InsyaAllah, dia boleh berbual sama.

KAHFWhere stories live. Discover now