Bab 3

17 2 0
                                    

2020

Faradhiya ialah seorang perempuan yang senyap dan beku. Hanya akan membuka dirinya kepada keluarga dan orang terdekat sahaja. Setiap masalah akan disimpan senyap dan diselesaikan dengan sendiri. Jika sudah teruk dan besar masalahnya baru keluarga akan diberitahu. Selagi boleh simpan dan pendam, dia akan teruskan. Tidak mahu menyusahkan hati ahli keluarganya. Temboknya susah untuk diceroboh. Dia mahir menyembunyi dan menyimpan rasa.

Mungkin ini akibatnya bila dia membuka hati untuk merasai cinta. Semua yang berlaku ini datang dari silapnya yang memilih untuk mempercayai janji manusia. Pengkhianatan yang menyakitkan ini membuat dia tidak boleh tidur malam. Kepala diasak dengan seribu satu persoalan dan ejekan. Mempersoalkan harga diri sendiri. Keyakinan dirinya yang sebelum ini terisi penuh dan padat, mengalir keluar deras hingga dirinya rasa kontang. Dia rasa mahu bersembunyi sahaja di dalam biliknya. Malu untuk menunjukkan muka di luar.

Dia, Faradhiya ialah seorang wanita yang disegani, dihormati dan dikagumi bukan sahaja oleh para pekerjanya, tetapi juga oleh semua orang yang berkecimpung dalam dunia perniagaan. Jadi bagaimana dia mahu menghadapi semua orang selepas dia dimalukan sebegini rupa? Kini, semua orang tahu dia dicurangi. Dia yang selama ini digambarkan sebagai wanita yang ada segalanya. Namun kini, semua tahu bakal suaminya telah memilih wanita lain selain dirinya. Lalu apa yang orang akan kata?

Ketukan di pintu biliknya mematikan lamunan. Dia masih di atas sejadah selepas solat malam. Itulah manusia, ditimpa ujian baru nak ingat Tuhan.

"Masuklah umi." Dia tahu uminya takkan dapat tidur selepas perjumpaan malam tadi. Rasa bersalah menghurung diri Faradhiya lagi. Uminya sedih dan jatuh air mata kerana dia.

Umi yang duduk dibirai katil dihampiri perlahan. Kepala yang masih ditutupi telekung diletakkan di atas riba uminya. "Umi, Dhiya minta ampun sebab Dhiya buat umi sedih." tangan pantas memeluk erat badan uminya. Hangat, dan wangi. Bau umi. Faradhiya suka pelukan umi. Dia rasa selamat yang sangat.

"Faradhiya tak salah apa dengan umi. Umi sedih bukan sebab Dhiya. Umi sedih sebab umi kecewa. Walid dan umi rasa bersalah sebab kami yang pujuk Dhiya untuk buka hati dan bagi peluang dekat Adrian. Umi rasa bersalah sangat-sangat. Anak umi ni anak baik, perempuan baik tapi anak umi ni dimalukan, disakiti. Umi minta maaf dengan anak umi." ujar uminya sambil mengusap kepala Faradhiya. Anaknya hanya senyap di dalam riba. Diam tanpa kata.

Namun, pecah juga tembok seorang Faradhiya di atas riba uminya. Setitik, dua titik dan kemudian air matanya mengalir keluar, laju. "Umi... Dhiya sakit umi. Dhiya sakit. Tolong Dhiya umi... Dhiya sakit." esakkan semakin jelas. 

Pecah juga empangan rasa Faradhiya. Air matanya langsung tidak berhenti. Faradhiya hanya terus menangis dan menangis sambil mengulang rayuannya tadi. Meminta tolong dari umi untuk menghilangkan kesakitan yang dia tidak mampu tanggung lagi. Seperti ketika dian berusia 7 tahun, jatuh dan lututnya terluka. Menangis mengadu sakit kepada umi. Mengharap umi mampu melegakan sakitnya kali ini. Dia sakit sangat. Namun, luka dia kali ini bukan hanya calar kecil di lutut.

Terasa kehangatan satu lagi tubuh dari belakang. Ada tangan yang menggosok lalu meletakkan muka di belakang badannya.

"Kakak..." sebak suara Uzair melihat kakaknya begitu. Kakaknya hancur kerana seorang lelaki. Kakaknya yang selama ini dilihat teguh, kuat, dan tenang. Kakaknya yang selama ini cukup sabar menghadapi setiap ujian dan cabaran. Kini sedang menangis dalam dakapan umi.

Siapa sangka pewaris Equil Group akan remuk kerana pengkhianatan seorang lelaki? Uzair tidak pernah melihat kakaknya sakit begini dan dia tidak mahu lihat lagi. Sakit kakaknya, 10 kali ganda yang dia rasakan. Bagai dia gagal melindungi kakaknya. Dia adik yang gagal.

"Subuh dah masuk. Jomlah kita jemaah." Tan Sri Faizal menghampiri tiga orang kesayangannya yang saling berpelukan itu.

"Abang, anak kita abang. Kesian anak kita."rintih Umairah sedih. Dia sedih melihat keadaan anaknya. Uzair kemudian memberi ruang untuk walidnya mendekati Faradhiya yang masih kedengaran jelas tangisnya.

"Faradhiya, anak walid." panggil Faizal. Menunggu anak perempuannya mengangkat muka. Bila mata coklat anaknya bertentang dengan matanya, dia tersenyum pahit. Mata milik anaknya itu menyampaikan setiap rasa yang disimpan. Mengundang sebak seorang bapa. Bahu Faradhiya dipegang.

"Dengar elok-elok walid nak cakap. Kita ini hamba Allah. Apa-apa saja yang berlaku pada kita, balikkan pada Allah. Dhiya sedih, Dhiya sakit, Dhiya kecewa, balikkan pada Allah. Bagitahu Allah, minta dengan Allah untuk kuatkan hati anak walid. Merayu dengan Allah untuk permudahkan Dhiya hadapi ujian ni. Hati kita, Allah yang pegang Dhiya. Minta Allah tetapkan hati. Kuatkan hati. Anak walid ni wanita hebat." Nasihat Tan Sri Faizal panjang. Sebaknya ditahan melihat keadaan anaknya. Dapat dilihat betapa remuknya hati anak perempuannya itu. Laju sahaja Faradhiya mengangguk. Patuh.

Air mata anak perempuannya diseka selepas Faradhiya semakin tenang. "Bangun pergi ambil wudhu. Jom kita Subuh. Uzair, lap hingus kamu tu. Buruk betul anak lelaki walid menangis." Usikkan dia terhadap Uzair berjaya memecahkan suasana pilu tadi. Lega. Sebagai ketua keluarga dia tidak mampu melihat keluarganya sedih, terasa gagal.

Pagi itu seperti biasa keluarga Tan Sri Faizal jemaah Subuh bersama di surau mini milik mereka di aras dua vila itu. Memulakan hari dengan mencari keredhaan Allah. Terasa seperti mendapat sedikit kekuatan dan ketenangan selepas sesi menangis berjemaah sebelum Subuh tadi. Faradhiya telah siap untuk ke pejabat. Namun langkahnya mati di hadapan cermin besar di sudut biliknya.

Atas bawah dia tenung dirinya sendiri. Lama. Cuba menganalisa diri sendiri. Membandingkan dirinya dengan Alisya. Faradhiya tinggi lampai, 170 cm. Alisya kecil molek. Sebab itu ke Adrian berubah hati? Faradhiya bertudung litup, Alisya cantik dengan rambut yang panjang keperangan. Sebab itu ke Adrian berubah hati? Kulit Alisya putih melepak berbanding dirinya. Mata Alisya bundar manakala matanya tajam. Wajah Alisya lembut manakala wajah Faradhiya tegas dan jarang beriak. Sebab itu ke Adrian berubah hati? Sebab Alisya lebih cantik? Lebih lembut? Lebih bagus?

"Kakak! Breakfast!" laungan dari Uzair mematikan lamunannya. Rasa itu dipendam. Beg tangan dan telefon bimbitnya dicapai untuk turun ke bawah. Bersedia menghadapi hari baru dengan masalah yang baru. 

TemuWhere stories live. Discover now