Prolog

15.1K 443 8
                                    

2017

"Aku terima nikahnya, Lily Khaleeda Binti Ghazali dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai..."

Dalam satu helaan nafas yang berhela tenang, Khalid Zulkarnain melafazkan ijab dan qabul bersaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Tangannya yang dingin segera ditarik apabila empat orang saksi mengangguk kepala ke arah jurunikah.

"Sah!"

"Alhamdulillah......" Tan Sri Ghazali serta Tuan Adnan memandang satu sama lain, meraup muka yang awalnya tegang, menanti dengan penuh debaran apabila terdengar suara Khalid sedikit bergetar pada awalnya.

Puan Sri Teratai mengusap lembut jemari Lily yang tidak berinai merah. Puan Zakiah tersenyum ke arah Khalid yang memalingkan muka untuk melihat wajah wanita yang sudah bergelar isteri untuknya.

Lily angkat muka, mata hitamnya bertemu dengan sepasang mata Khalid. Debaran yang terasa bukan menjadi reda, malah semakin rancak apatah lagi Khalid sudah menapak ke arahnya. Lily telan air liur apabila Khalid duduk di atas kerusi yang memang tersedia buat pengantin lelaki.

Khalid lorek senyuman nipis buat Lily yang tersenyum manis buatnya. Terlintas di hati Khalid, adakah Lily langsung tidak resah atau risau memikirkan masa hadapan mereka berdua kerana perkahwinan bukan pengakhiran bagi segalanya.

"Khalid, sarungkan cincin ke jari Lily," ujar Puan Zakiah lalu menyentak lamunan Khalid yang hampir terbuai. Huluran cincin di atas tapak tangan diambil perlahan.

"Lily, bagi tangan tu....." Puan Sri Teratai menapung tangan Lily buat seketika.

Lily menurut. Senyuman Lily melebar apabila satu cincin bermutiara putih elok terletak di jari manisnya. Tanpa disuruh, Lily mengenggam erat tangan Khalid sebelum dikucup perlahan. Tangan kiri Khalid lambat-lambat menyentuh ubun-ubun Lily yang berlapik selendang. Usai Lily tegakkan badan, Khalid berkira-kira sama ada mahu mencium dahi Lily atau tidak. Namun, tatkala melihat isyarat mata daripada Tuan Adnan yang hampir tersembul keluar, bibir Khalid menyentuh dahi Lily buat seketika sahaja.

"Terima kasih sebab sudi jadi suami saya, Khalid Zulkarnain." Lily terus mengenggam erat tangan Khalid, seolah tidak mahu dilepaskan. Air mata di tubir mata berjaya dihapuskan oleh Puan Sri Teratai yang memeluknya daripada belakang.

"Aku minta maaf kerana aku, perkara berakhir begini," ucap Khalid separuh berbisik, seakan tidak terluah. Tidak tahu sama ada balasannya didengar oleh Lily atau tidak kerana isterinya itu terus memancarkan reaksi bahagia. Khalid menarik tangannya apabila Tuan Adnan berjalan ke arah mereka berdua.

Tuan Adnan melutut di hadapan Khalid. Khalid yang terkejut dengan tindakan lelaki itu sudah separuh berdiri tetapi kembali terduduk kerana kedua-dua belah lutut ditekan kuat oleh tangan Tuan Adnan yang masih kuat seperti orang muda.

"Baba.....tak eloklah baba, tolong bangun....." larang Khalid segan. Mana mungkin seorang bapa melutut sebegitu di hadapan anaknya.

"Khalid......." Tuan Adnan menyentuh bahu Khalid.

"Khalid, ingat pesan baba. Walaupun perkahwinan ini bukan takdir yang Khalid bayangkan, tetapi ini ketentuan daripada Allah. Telah tertulis Lily Khaleeda ialah sosok yang diciptakan untuk menjadi isteri Khalid. Sebagai seorang suami, seorang lelaki sejati, jagalah dia sebaik mungkin, separuh jiwa Khalid. Anggaplah Lily ialah negara pertama, negara yang menjadi hak kekal kepada Khalid untuk dijaga, dilindungi daripada apa sahaja yang boleh menggoncang kebahagiaan kalian."

"Lily ialah amanat daripada Allah. Sekali Khalid abaikan tanggungjawab, Allah mungkin takkan pandang Khalid lagi walaupun hanya Khalid seorang yang tinggal berjuang untuk mempertahankan tanah air kita. Anak jantan baba, bukan setakat menjadi benteng negara, tetapi jadilah kayu yang paling kuat buat Lily berpaut. Khalid boleh faham kan maksud baba?" Tuan Adnan merenung ke dalam mata anak tunggalnya itu. Seakan dapat membaca isi hati Khalid, Tuan Adnan terus memberi nasihat sebelum fikiran Khalid terdorong ke arah yang tidak sepatutnya. Anaknya masih muda untuk bergelar seorang nakhoda.

Khalid angguk pantas lalu tubuh Tuan Adnan dipeluk erat. "Inshallah baba. Khalid akan cuba buat yang terbaik!"

Tiba sahaja di Pangkor setelah pulang dari pejabat agama, Khalid mengambil angin petang di tepi pantai. Lelaki itu lengkap dalam persalinan baju Melayu berwarna putih, termasuk songkok hitam di atas kepala. Pantai Teluk Nipah yang biasanya menjadi tumpuan orang ramai seakan hilang sinarnya. Langit berarak mendung, mengubah warna hamparan langit yang pernah senada dengan warna laut. Khalid berlindung di bawah pokok, memanjangkan tangan untuk merasai rintikan hujan.

Jauh mata memandang, golongan ombak bersama buih putih semakin dekat untuk menghempas pantai, lalu mengundur semula. Pasir mungkin rasa sakit seketika sahaja, tetapi hatinya tidak semudah itu untuk dirawat. Bahu seakan londeh sehingga ke kaki tatkala membayangkan masa hadapan yang bagaimana menunggu dirinya.

Lily menapak perlahan, melawan arah angin yang kuat menampar wajahnya, membelai kasar setiap helaian rambut yang terlepas bebas, mencecah pinggang. Lily hampir hilang keseimbangan apabila kaki tenggelam dalam kelembutan pasir putih, mujur tangan yang tidak memegang payung sempat berpaut pada batang pokok yang memberi teduh buat sementara kepada Khalid.

"Khalid, awak buat apa? Dahlah hujan," sapa Lily lalu menghulurkan payung ke atas kepala Khalid, melindungi mereka berdua sekali gus.

Khalid memandang Lily yang mendongak ke arahnya. Payung dalam pegangan Lily diambil lalu dikemaskan. "Tak ada apa-apa, saja nak ambil angin sekejap. Lily kenapa datang? Kena tenpias hujan, demam nanti."

Lily merapat, bahunya seakan melekat di dada Khalid, turut membuang pandang ke arah pantai yang tenang walaupun renek hujan semakin besar. Saat itu, Lily ingin rakamkan ke dalam kotak memori buat selamanya. Hujan seakan menjadi saksi bahawa pada hari itu, mereka bergelar suami dan isteri.

"Lily, saya minta maaf atas apa yang dah jadi. Kerana kesilapan saya, kita berdua terpaksa kahwin. Lily maafkan Khalid ya," ucap Khalid masih dihantui serba salah. Tiada niatnya untuk memerangkap Lily dalam perkahwinan itu, namun ketentuan telah tertulis.

Lily menyentuh hujung baju Khalid lalu menggeleng. "Lily tak pernah salahkan Khalid. Lily terima dengan hati yang lapang, jangan risau. Yang penting sekarang, kita kena fikir masa hadapan kita berdua sahaja. Masih banyak impian yang perlu digapai kan? Anggaplah kita kahwin atas dasar cinta, walaupun pada hakikatnya hanya Lily yang telah lama suka Khalid."

"Lily....." Khalid kehilangan kata lagi

Lily menyapu rintik jernih yang melekat di bahu Khalid. Tangannya menjalar dengan berani sebelum berhenti di dada bidang lelaki itu. "Khalid hanya perlu buka hati untuk menerima Lily, selebihnya kita serahkan kepada Allah. Kalau Allah tak restu, setinggi mana pun Lily berusaha untuk menyentuh hati Khalid, impian Lily takkan jadi kenyataan juga."

Sekali lagi Khalid terdiam apabila Lily memeluk erat pinggangnya. Khalid pegun, hujung jari tiba-tiba menggigil. Hati berbelah bahagi untuk membalas pelukan Lily atau tidak. Akhirnya, pegangan pada payung yang diketatkan. Helaian rambut Lily yang menyapa wajahnya tidak mampu menurunkan ego lelaki itu.

Lily tekapkan telinganya pada dada Khalid, degupan jantung lelaki itu tenang sahaja, tidak senada dengan degup jantungnya yang seakan mahu pecah.

Ya Allah, hatinya lebih dingin daripada angin hujan yang kau tiupkan. Mampu ke aku lunturkan hati dia? Adakah rasa aku akan terbalas ataupun akhirnya aku yang mengalah? Aku hanya nak dia, aku hanya ingin miliki dia. Hati kecil Lily berbisik. Lily terus memejamkan mata.

Khalid teringat semula janjinya kepada Tuan Adnan. Kejam juga untuk dirinya melakukan Lily sebegitu. Mereka telah berkahwin, bukan satu hubungan yang boleh diputuskan begitu sahaja, syurga dalam gadaian juga.

Khalid menongkat dagu di atas ubun-ubun Lily lalu tubuh Lily dipeluk jua. Merasai kehangatan tangan Khalid di pinggangnya, air mata yang Lily tahan merembes juga.

"Khalid......" panggil Lily dalam sendu.

"Khalid akan perjuangkan Lily. Khalid akan jaga Lily dan yang paling penting, Khalid akan belajar untuk mencintai Lily," bisik Khalid perlahan. Telinganya jelas mendengar esakan Lily daripada hujan.

"Lily suka dengan sayang Khalid!" luah Lily tanpa pernah berselindung tentang perasaan sendiri.

Komen + Vote 🌊☔

Let It Rain (Complete)Where stories live. Discover now