Hari kedua program, para peserta diajar pula proses menjahit daripada cara menggunting kain sehingga proses terakhir iaitu menambah hiasan seperti butang, lace dan sebagainya. Memandangkan peruntukan waktu yang singkat, tenaga pengajar fokus kepada baju sahaja.
Khalid dan beberapa anggota yang lain santai duduk, bergelar penonton professional. Lirikan mata curi-curi memerhati gerak-geri Lily yang sedang berbincang sesuatu dengan Aisya. Khalid cepat-cepat mengalihkan pandangan apabila mata Lily meliar ke arah tempat duduknya. Khalid tegakkan badan, membelek telefon kerana Lily berjalan ke arahnya pula.
“Khalid…..” panggil Lily meminta perhatian Khalid dan yang lain.
“Ada apa-apa masalah ke?” Khalid bersikap professional. Kaki disilangkan lalu tangan rapat ke dada.
“Boleh tak nak minta tolong daripada korang? Hari ini korang ada lima orang kan? Bolehlah tu…..” Lily menghitung bilangan kepala sekali lagi, takut tersilap.
“Bunyi macam serius. Takut pula….Cik Lily nak minta tolong apa daripada kami? Jangan kata nak suruh kami gunting kain eh…..hancur kain tu nanti, dahlah material mahal,” jawab Nasrul. Tangannya elok terletak di atas bahu lebar Khalid.
Lily geleng pantas. “Tak! Lebih senang daripada gunting kain. Korang nampak kan ada beberapa helai baju yang dah siap dijahit?”
Khalid angguk. “Kenapa dengan baju-baju tu?”
“Jadi, kami nak korang peragakan baju tu, lepas tu buat catwalk sikit di tengah dewan. Boleh kan?” Lily gigit hujung bibir, menunggu jawapan positif.
Semua muka bertukar hijau kelat, termasuk Khalid. Masing-masing sibuk memandang sesama sendiri, menyiku lengan agar ada yang berani menolak.
“Jangan pelik-pelik boleh tak? Baju tu kan baju perempuan. Kami lelaki tau, berdosa orang lelaki memakai pakaian seperti wanita. Nak tanggung dosa kami ke Cik Lily?” Khalid beri ceramah percuma kepada Lily. Dia enggan!
“Kami sokong Tuan Khalid!”
“Lagipun Cik Lily, kami semua berbadan besar, bukan kurus keding, badan berbentuk macam perempuan. Mana muat nak pakai, koyak nanti Cik Lily……” Nasrul menambah hujah. Dia juga berada di atas kapal yang sama dengan yang lain.
Koperal Daud berdiri di hadapan Lily. “Betul tu Cik Lily….di sini kan ramai budak-budak perempuan, rasanya mereka lebih elok untuk pakai semua baju tu. Makin comel dorang Cik Lily.”
Lily menarik muka masam. Bahunya kendur, kepala yang tidak gatal dikuis dengan hujung kuku. Lily meramas tangan yang berpeluh dingin. “Hmmm……wakil seorang pun jadilah. Saya ada bawa baju rekaan saya sendiri, saya dah berniat dari awal lagi. Baju tu tak nampak sangat untuk perempuan, lace di lengan sikit aje.”
“Warna apa?” Khalid kembali membuka zip mulutnya.
“Merah jambu!” Lily sengih seperti kerang busuk.
“Apa? Merah jambu!” jerit sekumpulan lelaki itu sehingga telinga Lily bingit.
“Memang tak lah saya Cik Lily…..saya takkan pakai warna merah jambu. Pinky!” Nasrul meremang, tidak pernah membayangkan diri dalam balutan kain berwarna selembut itu.
Lily jilat bibir yang kering. Semua di hadapannya geleng kepala menolak mentah-mentah. Lily pasrah, dia tak boleh memaksa. Lily berdiri semula, mengeluh hampa kesekian kalinya.
“Cik Lily! Saya akan pakai baju tu!” Amir angkat tangan, secara sukarela. Mata Lily bersinar semula, air muka yang tadi masam mencuka kini bertukar serta-merta.
Semua mata memandang Amir. “Biar betul budak ni?”
“Betul ni Amir? Awak nak pakai?” jelas keterujaan melalui nada suara Lily. Khalid pula tidak senang duduk.
YOU ARE READING
Let It Rain (Complete)
Romance~Setelah hujan duka berhenti, kita akan bertemu lagi ~ Lily Khaleeda hanyalah gadis biasa tetapi mempunyai hati serta cinta yang luar biasa. Cinta di hati buat seorang lelaki bernama Khalid Zulkarnain tidak pernah difikirnya akan dibalas. Kerana Al...