Bab 25

7.2K 243 16
                                    

Khalid duduk di atas tunggul kayu. Tangan yang melekat debu  arang dilap pada seluar berwarna gelap. Khalid angkat lengan, didekatkan pada dahi lalu peluh yang merenek di kesat. Khalid telah menyelesaikan bahagiannya untuk menghidupkan unggun api, giliran anak buahnya pula untuk membakar ayam serta beberapa jenis makanan laut yang telah disiapkan. Di udara, tersebar bau rempah ratus yang hangus dibakar, asap berkepul melalui muka Khalid yang duduk bertentangan.

Koperal Amir dan Koperal Daud sukarela menyambar pengepit dan kipas untuk membakar perapan. Nasrul pula sedang mengelilingi meja yang telah tersusun dengan pelbagai hidangan, tidak sabar mahu mengisi perut yang kelaparan.

Khalid kerling jam di tangan, sepatutnya Lily telah datang ke tempat itu untuk makan malam. Khalid berdiri pula dengan tangan disilangkan ke dada, berlagak tenang. Padahal, hampir terik urat leher mencari bayangan Lily yang tetap tidak kelihatan. Tatkala mendengar bunyi ketawa perempuan, Khalid toleh ke kiri. Dahi Khalid berkerut kerana hanya Darwin dengan Aisya yang sedang galak bersembang sambil berjalan ke arah ruang berbumbung.

Kedua-dua tangan Khalid terjatuh ke sisi badan. Baru sahaja ingin bertanya kepada Aisya, niat Khalid terhenti. Lily ada di belakang Aisya, berjalan cukup perlahan sambil mengayun tangan yang tersembunyi dalam poket cardigan labuh berwarna biru laut. Wajah Lily yang polos tidak diconteng dengan sebarang alat solek kecuali pelembab di bibir yang merah.

Lily terkejut apabila Khalid datang ke arahnya. Kepala Lily berpusing kiri dan kanan, takut ada yang melihat aneh. Muka Lily herot-berot sebagai isyarat kepada Khalid untuk menguhah haluan.

“Kenapa lambat?” soal Khalid dingin, memandang Lily bermula daripada hujung kepala hingga ke hujung kaki. Suara Khalid yang melantun kasar telah menarik rasa ingin tahu individu lain yang telah memenuhi kawasan tersebut.

“A-pa…..” suara Lily tersekat di kerongkong.

“Saya tanya kenapa lambat? Lama kami tunggu,” dalih Khalid, sengaja mahu mencari pasal.

Nasrul, Aisya dan Darwin mula beriak resah. Nasrul gosok kepala manakala Aisya dan Darwin terus berdoa di dalam hati agar kemarahan Lily tidak meletus.

“Saya tak suruh sesiapa tunggu,” jawab Lily ringkas tetapi padat. Dia takkan biarkan Khalid terus memandang rendah.

“Lily…..” tegur Aisya agar Lily mengawal tutur bicara. Kerana mulut, badan boleh binasa.

“Khalid…..tak payahlah tanya dia macam tu. Kita pun baru mula, tak ada istilah lambat atau cepat. Cik Lily…..tak payah hiraukan Tuan Khalid, dia memang kuat mengusik…..” Nasrul ketawa kecil setelah melakukan penipuan untuk membela Khalid. Nasrul terkam sahabat baiknya itu.

“Dengan gaya kau macam ni, orang tak tahu pun boleh tahu….jangan cari pasal boleh tak!” sembur Nasrul di telinga Khalid.

“Ohhh……” Lily bulatkan mulut serta menghadiahkan jelingan tajam yang boleh mengundang biji mata tergeliat.

 “Tak tahu pula Tuan Khalid pandai bergurau. Ingatkan askar ni hati kering, tak ada perasaan, dan tak tak tahu jaga hati orang lain. Sekali lagi saya ingatkan, saya datang ke sini untuk bantuan kemanusiaan, bukan latihan tentera. Jangan layan saya sebagai pelatih, Tuan Khalid Zulkarnain,” bidas Lily telah hilang sabar.

Khalid belum puas menatang Lily dengan raut tanpa reaksi. “Sepanjang awak di sini, awak berada di bawah tanggungjawab saya…..Cik Lily Khaleeda.”

Khalid tekan gelaran cik di hadapan nama Lily. Setelah mematahkan hujah bekas isterinya itu, Khalid duduk di meja. Pinggan polisterine diambil lalu nasi goreng dicedok. Lily mendengus, geram dengan Khalid yang boleh makan dengan penuh berselera, seolah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Rasa malu sudah tidak tertanggung. Baru sehari, Khalid telah mencetuskan masalah buatnya. Air muka Lily tercalar.

Let It Rain (Complete)Where stories live. Discover now