Mencintai Dia... 2

20.7K 418 19
                                    

"Saya boleh jaga diri saya sendiri, mama,"

Puan Rogayah mengeluh perlahan. Diamati lama-lama wajah Farish yang tetap sahaja kelam. Bagaimana dia mahu melepaskan Farish pergi dari rumah ini dengan keadaan Farish yang begitu? Dia yakin, Farish hanya akan terus menyeksa hatinya sendiri.

"Mama tak setuju. Apa salahnya kalau Farish tinggal saja dengan mama? Kat sana pun bukan ada sesiapa lagi,"

"Saya nak balik rumah saya, mama. Dah lama benar saya kat sini,"

"Mama tak nak kamu balik ke sana. Mama tak nak kamu kurung diri kamu dengan bayang-bayang Kasih. Farish... mama sayangkan kamu. Apa, kamu dah tak sayang mama? Tak sayang Qalish?,"

Farish mengeluh panjang. Tidak menduga isu ini akan membawa kepada perselisihan pendapat pula dengan ibunya.

"Mama... saya cuma nak balik rumah saya. Rumah saya yang jaraknya bukan jauh pun dari sini. Apa yang mama nak risau sangat?,"

"Mama risau. Mama risau sebab mama tahu kamu nak balik ke sana sebab nak cari Kasih kan? Nak cari bayang-bayang Kasih. Farish, terimalah hakikat. Hakikat yang Kasih dah tak ada dengan kita. Kasih dah pergi,"Puan Rogayah memujuk lembut.

"Saya dah besar. Saya bukan budak kecil. Mama tak perlu nak risaukan semua tu,"

"Mama kenal kamu Farish. Mama tahu kamu. Mama tak akan biarkan kamu terus layan perasaan macam ni. Banyak yang perlu kamu kejar dalam hidup ni. Bukannya terus jadi macam ni. Memang kita semua sayangkan Kasih. Mama pun sayangkan Kasih. Tapi, bukan begini caranya kita tunjukkan sayang kita. Kita doakan yang terbaik untuk dia di sana. Farish tinggal aje dengan mama, ya? Sama-sama kita besarkan Qalish. Itu amanah daripada Kasih yang patut Farish jaga,"

Farish menggeleng. Dia nekad. Dia mahu pulang semula ke rumahnya. Dan, memang benar kata ibunya. Dia mahu mencari sisa-sisa kenangan antara dia dan Kasih di sana. Dia rindukan Kasih. Dia mahu melupakan segala kesedihan. Barangkali dengan kenangan-kenangan manis itu, hidupnya akan lebih bermakna. Akan membuat dia menjadi lebih kuat untuk terus melangkah.

"Saya tetap akan pulang ke sana,"akhirnya dia melepaskan keputusan muktamad sambil pandangannya tertebar jauh ke halaman. Berdiri kaku di jendela tanpa sebarang emosi. Tiada apa yang hendak dibincangkan lagi. Dia sudah dewasa dan sudah mampu untuk membuat keputusan sendiri.

"Qalish macam-mana? Kalau kamu balik ke sana, siapa yang nak jaga Qalish kat sana?,"

"Qalish boleh tinggal dengan mama. Lagipun, saya bukan pandai jaga dia,"

Puan Rogayah merengus geram.

"Itulah sebabnya kan? Degil! Mama tahu kamu memang tak nak lupakan Kasih. Kamu nak bersendirian kat sana. Kenapa? Sebab kamu nak terus salahkan diri sendiri? Nak terus salahkan takdir? Kamu tak perlu seksa diri kamu macam ni! Semua ni bukan salah sesiapa!,"

Farish tersentak. Ternyata ibunya sudah mula emosi. Emosi yang turut sama terlarut di dalam dirinya. Kalau berbicara tentang siapa yang salah... pastilah dia yang bersalah. Berkali-kali ditanya pun, masih juga dia yang bersalah. Perlahan dia meneguk liur. Bibir mata memberat tiba-tiba. Berat hatinya mahu mengakui kesilapan itu. Namun itulah beban yang akan mengiringi setiap langkahnya.

"Memang saya yang salah, mama...,"perlahan dia bersuara. Mengangkat muka memandang wajah ibunya. Ada sendu yang amat dalam pada wajah itu. Sendu yang membuat hati Puan Rogayah menangis dalam diam. Terbit rasa kesal kerana bibirnya lancang melafaz geram.

"Farish...,"

"Memang mama! Memang saya yang salah. Kalau saya bersama dengan Kasih, sekarang ni saya yang tak ada kat sini. Mama pun... mama tak akan kehilangan Fakhrul!,"Farish mula membentak. Puan Rogayah sudah mula tersedu. Sekali lagi Farish mengulangi ungkapan yang sama. Ungkapan yang membuat hatinya lebur. Cuma dulu Farish bersuara bersama kelesuan hati. Kini Farish bangkit dengan emosi yang menggunung.

Sayang Papa Saya Tak?Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ