Mencintai Dia... 9

15.5K 372 32
                                    

Dengan hati tertanya-tanya, dia terus melangkah mengekori Farish. Memandang sekeliling. Ini bukan pejabat agama atau tempat yang ada menawarkan kursus nikah kahwin. Melihat sekeliling ruang yang luas itu, dia hanya dpat melihat pekerja yang tekun di meja masing-masing. Atau bergerak ke sana sini bersama file di tangan.

"Masuk,"

Raisya tersentak. Farish tercegat sambil sebelah tangannya menolak daun pintu. Tanpa bersuara, dia cuma menurut. Masuk ke satu ruangan yang asing padanya.

"Kita kat mana ni?,"

"Duduk,"arah Farish tanpa mengendahkan soalan Raisya.

Melihat kerusi di hadapan, Raisya terus melabuhkan punggung.

"Encik Farish bawa saya pergi mana ni? Kata nak pergi daftar kahwin,"

Farish yang baru melangkah menghala ke kerusinya, spontan menoleh. Memberi satu renungan yang sedikit tajam padanya.

"Eh, sorry. Silap. Daftar kursus kahwin,"menyedari kesilapan patah bicaranya, laju Raisya membuat pembetulan. Kali ini dia tersengih malu. Nampak gelojoh sangat rasanya. Dia menunduk. Segan sungguh mahu bertentang mata dengan bakal suaminya ini.

Lambat-lambat Farish melabuhkan punggung ke kerusi. Matanya tidak lepas dari wajah Raisya yang kini tertunduk diam.

"Sekali lagi. Kenapa nak kahwin dengan saya?,"

"Puan suruh,"

"Kamu tahu tak maksud kahwin tu? Bukan macam main pondok-pondok, tau,"

Raisya mengangkat muka. Panas pula hatinya diajukan soalan yang langsung tidak matang itu.

"Takkanlah saya tak tahu maksud kahwin. Dan, umur-umur saya ni, dah tak main pondok-pondoklah. Masa kecil pun saya tak main pondok-pondok. Saya main tembak-tembak,"

"Okay. Kahwin ni bukan macam main tembak-tembak,"

"Saya tahulah apa tu kahwin. Jangan cakap dengan saya macam cakap dengan budak-budak, boleh tak?,"

"IC,"ujar Farish sepatah sambil menghulurkan tangan.

Raisya mengangkat kening.

"Kad pengenalan,"

"Nak buat apa?,"

Farish tidak menjawab. Cuma tangannya terhulur menunggu. Dengan wajah yang penuh tanda-tanya, kad pengenalan dikeluarkan juga. Lambat-lambat dihulur kepada Farish. Diam memerhari Farish yang tekun meneliti kad pengenalan miliknya.

"Lapan belas tahun. Budak lagi,"

Raisya jegilkan mata. Mahu bersuara tetapi pintu bilik yang tertutup diketuk tiba-tiba. Perhatiannya teralih. Menoleh memandang pintu yang terbuka perlahan.

"Masuk Shah,"

Seorang lelaki muda melangkah masuk. Pandangan Raisya teralih semula ke arah Farish.

"Ini benda yang bos suruh saya siapkan,"lelaki yang baru muncul di ruangan itu, menghulurkan beberapa helai kertas yang elok berklip kepada Farish. Dia cuma terkebil-kebil memandang. Entah kenapa, tiba-tiba terasa ada konspirasi sedang berlaku di sini dan dia pun seakan terbabit sama.

"Assalamualaikum... Boleh saya tahu apa yang sedang berlaku ni?,"

Farish mengalihkan tumpuan kepada Raisya setelah kertas bertukar tangan. Kertas itu kemudian dihulur pula kepada Raisya.

"Saya mahu kamu baca ni,"

Raisya tidak banyak bicara. Mencapai kertas yang dihulur sambil terus membuka helaian demi helaian. Seperti satu kontrak. Senarai perkara yang wajib dilakukan dan dielakkan apabila dia bergelar isteri kepada Farish. Dia mengangkat muka.

"Apa ni?,"

Farish menjongket bahu.

"Saya tak percayakan kamu. Pertama, saya tak percayakan kamu. Kedua, saya tak percayakan kamu. Ketiga, pun saya tak percayakan kamu,"jawab Farish dengan panjang lebar.

Mendengar jawapan itu, perlahan-lahan dia menarik muka masam. Terasa dirinya sedang diperlekehkan oleh Farish.

"Shah, you boleh keluar. I nak bersendirian dengan bakal isteri I ni,"Farish memberi arahan sambil menekankan sebutan 'bakal isteri'. Membuat wajah Raisya bertambah kelat.

Lelaki yang dipanggil Shah itu mengangguk dan terus berlalu keluar.

"Kenapa Encik Farish tak percayakan saya?,"laju dia bertanya sebaik sahaja pintu bilik Farish tertutup rapat.

Farish mengeluh perlahan sambil mengangkat punggung. Dia bergerak mendekati Raisya yang diam di kerusi.

"Pertama, kamu terlalu mentah. Saya yakin keputusan yang kamu buat hari ini, mungkin akan buat kamu menyesal nanti. Jadi saya perlukan jaminan. Jaminan yang mampu mengikat kamu. Kedua, orang mata duitan macam kamu ni, tiba-tiba saja boleh hilang bila dah dapat duit nanti. Ketiga, Qalish perlukan perhatian sepenuhnya dan itulah yang perlu kamu berikan,"

Raisya meletakkan kertas di atas meja. Perlahan-lahan juga dia turut mengangkat punggung. Berdiri setentang dengan Farish yang jauh lebih tinggi darinya.

"Pertama, saya dah matang. Saya tahu keputusan yang saya buat. Saya tak akan menyesal. Kedua, mungkin saya mata duitan tapi, saya amanah. Ketiga, saya tak ada masalah untuk berikan perhatian lebih dari seratus peratus kepada Qalish, tapi yang paling Qalish perlukan adalah perhatian seorang ayah,"dia bersuara panjang lebar. Sengaja menyindir Farish apabila terasa Farish sedang memperkecilkan keupayaannya.

Farish kembali ke kerusinya.

"Jadi, seperti yang tertulis, tumpuan kamu seratus peratus cuma pada Qalish. Kedua, jangan bercinta. Ketiga, wajib ikut semua arahan saya,"

Raisya mencemik.

"Senang sangat. Okay. No problem. Saya boleh buat semua ni,"

Farish tajamkan renungan.

"Jangan berlagak sangat,"

"Saya tak berlagak tapi, Insyaa ALLAH rasanya permintaan Encik Farish ni, mudah untuk saya buat,"

"Kalau kamu setuju, barulah kita boleh pergi daftar kursus kahwin. Okay?,"

"Okay sangat. Bila kita nak pergi? Sekarang?,"

Farish mengerling. Soalan sinis dijawab dengan penuh teruja. Sangat menyebalkan.


Sayang Papa Saya Tak?Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang