Bab 11

733 41 4
                                    

"Wan..."

Izwan diam berteleku di balik selubung selimut kokonya. Peluh jantan mula menitik apabila suara tadi terus menyeru tanpa jemu.

"Wan... Iwan..."

Perlahan tapi tegas.

Lembut tapi garang.

Familiar tapi menakutkan.

Izwan diam enggan melayan suara yang gigih menyeru sejak tadi. Dirinya diajar untuk tidak bercakap ketika emosi bergolak, bimbang apa yang terluah bukan seperti yang difikirkan.

"Woi Iwan! Aku panggey hang ni! Pekak ka hapa?"

Laju Azam menyelak gebar yang digunakan Iwan. Dari balik selimut, kelihatan Izwan yang masih lagi terketar-ketar umpama dirasuk benda asing.

"Astaghfirullah. Apa dah jadi ni Wan?"

Soal Azam cemas melihat rakannya itu seakan hilang jati diri. Matanya yang berlingkar hitam seolah seminggu menghisap insomnia. Kenapa dengan Izwan?

"Wan! Wan! Dengar tak aku panggil ni?"

Kalut Azam menepuk-nepuk pipi Izwan yang masih lagi pucat. Kepalanya digeleng-geleng setiap kali Azam bercakap. Seakan dia mendengar setiap butir bicara Azam namun hakikatnya,kosong.

Izwan tenggelam dan terus lemas dalam satu dunia fantasi yang dia sendiri tidak pasti.

***

"Apa ni?"

Soal Izwan dalam kegelapan. Dia bingung apabila tercampak keseorangan dalam satu dimensi asing. Otaknya tidak dapat memproses kedudukan dirinya.

Enggan berputus asa dengan mudah, Izwan berjalan meredah kegelapan tanpa arah yang pasti. Terus menapak selagi mana kakinya mampu membawa jasad.

Aneh.

Dunia ini gelap. Lebih gelap daripada malam yang tidak bertemankan lampu mahupun pelita. Tapi, Izwan seolah mampu mengagak jalan yang patut diambilnya, seakan ada satu tali yang memimpinnya sedari tadi.

Dia terus berjalan. Terus berjalan. Dan berjalan.

Jalan yang dilalui seakan tidak berpenghujung. Seolah terbentang seluas horizon.

Pelik. Tidak pula Izwan merasa penat. Lenguh kaki pun tidak.

Selalunya Izwan antara manusia yang akan merungut sekiranya perlu mendaki tangga atau berjalan jauh sedikit. Perangai macam diva.

Dibesarkan dengan penuh tegas namun dilimpahi kasih sayang melimpah ruah, Izwan tidak pernah tahu atau faham erti hidup susah. Mummy dan Daddynya akan menyediakan apa yang Izwan mahukan. Tidak pernah keperluan Izwan tidak diberi, malah berlebih lagi.

Izwan berjalan lagi. Umpama patung yang dikawal dengan tali. Bergerak tanpa tahu arah tuju.

Sehinggalah ada satu suara halus menegurnya,

"Wan..."

Dia terus berpaling mencari suara tersebut. Dekat tapi jauh.

Matanya tertancap pada satu cahaya yang seakan terapung di hadapannya. Cuba digapai cahaya tersebut agar menerangi jalannya namun gagal. Seakan hidup, cahaya tersebut mengelak dari ditangkap namun tidak pula melarikan diri meninggalkan Izwan dalam kegelapan total. Jinak-jinak merpati.

Izwan memerhatikan sahaja cahaya tersebut mengitarinya. Seolah mahu Izwan mengikutnya.

Enggan kehilangan cahaya yang ditemui, Izwan melangkah laju mengikut cahaya. Tali yang tadinya halus, bertukar besar, seakan tali tangsi bertukar menjadi tali menambat kerbau.

Izwan menukar rentak dari berjalan ke berlari anak.

Nafasnya sedikit mengah namun dia tidak pula lemah.

Dari jauh, kelihatan ada cahaya terang yang mengelabui matanya. Izwan tersenyum gembira sambil kaki kanannya mula melangkah menuju ke arah cahaya yang bersinar gemilang.

Baru saja dia hendak memasuki cahaya, dirinya seolah direntap dari belakang oleh sepasang tangan sejuk.

"Ughhh!!"

Izwan terhenyak di atas tanah. Tulang punggungnya sakit impak terhentak di atas lantai keras.

Bahunya tiba-tiba digenggam erat. Seakan tidak mahu Izwan terus melangkah masuk ke dalam cahaya yang hanya beberapa sentimeter di depannya.

"Lepas! Aku nak ke cahaya tu!"

Izwan bergelut cuba melepaskan dirinya. Cahaya kecil yang tadinya mengitari Izwan telahpun bersatu dengan cahaya agung di hadapannya.

"Iwan..."

"Diam! Aku nak bersatu dengan cahaya tu!"

Izwan terus meronta agar dilepaskan dari cengkaman durjana terbabit.

"Abang Iwan nak main dengan Momo?"

Nah! Suara garau tadi bertukar halus. Anak siapa pula yang ajak bermain ni? Baru saja Iwan hendak menoleh melihat empunya suara, dirinya tiba-tiba melayang menerjah masuk ke dalam cahaya yang didambakan.

"Noooo!!!!"

Izwan memekik seraya dirinya disedut masuk ke dalam vorteks yang dia sendiri tak pasti mana destinasi seterusnya.

***

"Iwan! Bangun Iwan! Kau okay tak?"

Azam cemas melihat Izwan yang seolah bergelut dengan sesuatu yang tidak pasti.

Terus tangannya pantas dilekapkan pada dahi Izwan. Beberapa potong ayat suci Al-Quran dibaca bagi memudahkan Izwan menghadapi ujian di mana saja dia berada.

Peluh mula merecik di bahagian pelipisnya. Azam tidak berputus asa bagi terus membantu Izwan agar kembali ke dunia sebenar.

"Noooooo!!!!"

Izwan tiba-tiba tersentak bangun dari lamunan panjangnya.

Nafasnya naik turun seolah baru menghabiskan larian marathon 20 km jauhnya. Peluh yang merembes keluar membasahi baju merahnya sehingga menampakkan bentuk badannya.

"Kau okay tak ni?"

Soal Azam apabila melihat Izwan yang seakan letih tak bermaya.

"Air... Aku nak air,"

Lemah Izwan menggumam antara dengar dan tidak. Azam pantas menghulurkan sebotol air mineral di sebelahnya. Izwan meneguk laju air yang dihulurkan.

"Azam. Ingat, jangan main dengan cermin! Walau apapun yang terjadi!"

Usai menutur kata, Izwan terlentang terus di atas pembaringan. Azam hanya tercengang mendengar kata-kata Izwan. Ada apa dengan cermin?

P/s : Jemput baca dan komen apa yang kurang pada IDENTITI keluaran Buku Fixi semua. Terima kasih kerana menyokong. =)

IDENTITI:2Where stories live. Discover now