Bahagia

1.9K 110 21
                                    

Kerana mereka yang tidak mempunyai dan memiliki adalah insan yang paling bahagia di dunia ini.

Aku baring. Laluan pejalan kaki itu amat selesa di waktu malam. Terasa haba siang yang disimpan di dalam batunya memanaskan sedikit badan aku. Angin malam yang dingin pula membantu aku untuk lelapkan mata. Atas sejuk, bawah suam. Selesa.

Aku silang kaki sambil baring. Hadap bintang. Cantik berkelip-kelip. Indahnya kanvas Pencipta. Tiada lukisan kan secantik bergermelapan seperti ini. Suara dodoi ibu masih aku ingat sampai hari ini. Aku gabungkan memori silam dengan apa yang kulihat ini membentuk sejenis analgesic menawarkan rasa rindu di hati.

Ibu kemana aku tak pernah tahu. Yang aku tahu, pada satu hari itu, ibu tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya. Ada yang kata ibu mati, ada yang kata ibu dah pergi jumpa Tuhan, ada yang kata dah sampai masa ibu. Pelbagai penjelasan, namun satu pun aku tidak faham. Yang aku tahu, ibu belum pulang, aku masih tunggu ibu sebab aku rindu.

Dulu untuk makan aku kena bersila sahaja dalam rumah. Ibu akan masuk ke satu ruang, dan tak lama kemudian ibu pasti akan keluar membawa makanan. Bila ibu tiada, tiada lagi makanan yang keluar walau selama mana pun aku bersila di dalam rumah. Aku cuba masuk ke ruang yang sama seperti ibu buat. Tapi aku hanya keluar dengan tangan kosong. Aku tidak ajaib seperti ibu. Sejak itu, aku tidak lagi pulang ke rumah. Kini, luar adalah rumahku.

Bila keluar, aku makin lapar. Tapi ibu tiada. Jadi aku tiru makhluk berbulu. Makhluk-makhluk ini tidak berjalan seperti aku. Mereka berjalan dengan kaki dan tangan. Mereka gali bekas hijau. Mereka jumpa makanan. Dan makan. Aku rasa mereka pun ada kuasa ajaib seperti ibu. Sebab lapar, aku selalu join mereka makan. Mula-mula ada beberapa dari mereka yang menjeling. Lama-lama mereka dah biasa denganku. Lega.

Makanan mereka, walaupun tidak sesedap yang diperoleh oleh ibu, tetapi cukup mengenyangkanku. Itu sebelum aku jumpa tempat ajaib yang lain. Satu hari itu aku pergi ke tempat ramai orang. Aku perhati mereka. Mereka akan duduk ramai-ramai, nanti akan ada orang yang tiba-tiba muncul bawakan makanan. Aku rasa orang itu pun ajaib macam ibu. Jadi aku cuba.

Pertama kali aku duduk. Lama jugak kena tunggu. Tapi berbaloi. Tepat sangkaanku, rupanya ada tempat ajaib lagi selain di rumahku. Ada orang lain yang ajaib macam ibu. Makanan yang mereka bawa panas-panas, tapi tak sedap macam yang ibu dapat dari ruang di dalam rumahku.

Sejak hari tersebut aku selalu saja pergi duduk tunggu orang-orang ajaib bawa keluar makanan di tempat-tempat itu. Tapi jangan pergi tempat yang ada pelindung kaca. Orang ajaib di situ garang-garang. Pernah dulu aku cuba nak tembusi pelindung kaca itu, tiba-tiba datang orang baju biru pegang aku.

Mereka hantar aku dekat satu tempat ada bilik hijau. Tak ada pintu dengan tingkap. Semua besi-besi. Di situ ramai orang gila. Mereka gila sebab suka jerit-jerit. Aku tak faham kenapa mereka begitu. Tapi di situ seronok juga sebab ada orang ajaib bawa makanan tiap-tiap hari. Aku hanya perlu bersila sahaja dalam bilik. Seronok juga di situ.

Tapi tak lama kemudian mereka bawa aku dan hantar aku ke luar. Tapi aku tak kisah sebab itu pun bukan rumahku. Luar adalah rumahku. Aku selalu jalan-jalan. Tak ada hala tuju. Mungkin kalau aku jalan jauh-jauh nanti boleh terjumpa ibu?

Aku perhati rumah orang-orang ini dari luar. Rumah mereka pun sama macam bilik hijau yang aku pernah duduk itu. Semuanya ada besi. Mungkin memang trend orang sekarang memenjarakan diri sendiri? Entahlah, aku tak faham.

Berjalan ni kalau siang perit. Sebab kaki aku rasa terbakar. Aku teringin nak ada kotak bergerak macam yang ramai orang pakai tu. Laju. Bila masuk saja terus bergerak. Aku pernah cuba ajak kotak bergerak tu berlumba. Aku kalah. Laju betul!

Tapi aku gembira dengan hidup aku sekarang. Walaupun tak segembira macam masa ibu ada dulu, tapi OK la. Sebab ramai orang yang ada kuasa ajaib macam ibu. Semua orang baik macam ibu mesti bagi aku makan. Aku memang sayang semua orang. Kecuali orang pakai baju biru. Mereka kasar sikit.

Aku pernah tanya ibu, "Bu, kenapa orang lain selalu jalan ramai-ramai, makan ramai-ramai? Kenapa aku sorang-sorang?"

Ibu jawab, "Cukuplah Ibu ada Man, Man ada ibu. Dan kita ada Tuhan. Biarkan orang lain."

Tapi sekarang aku tak ada ibu, dan aku yakin ibu jugak tak ada aku. Tuhan aku belum jumpa lagi. Ataupun ibu sekarang dah join orang ramai-ramai. Mungkin ibu dah tak perlu aku. Tapi aku rasa ibu sibuk. Tak apalah. Sebab ibu pernah pesan "Tuhan ada untuk jaga kita."

"Ibu, Man ada Tuhan tak?"

"Semua orang ada Tuhan" Jawab ibu.

Sebenarnya aku sendiri tak faham dengan soalan aku atau jawapan ibu itu. Tapi aku suka bertanya sebab aku suka dengar suara ibu.

Kini bila ibu tak balik-balik aku mesti mainkan semula kenangan aku dan ibu dalam kepala. Kadang-kadang aku tertawa. Kadang-kadang tertawa kecil. Kalau teringat cerita yang sangat lucu aku mesti ketawa besar. Kalau orang jeling, aku slow sikit la.

Aku gembira begitu. Kadang-kadang aku tengok orang ramai duduk dekat meja gembira tengok kota besar yang sekeping tu. Dalam kotak tu pun ada orang ramai-ramai. Ada pulak yang duduk ramai-ramai hadap kotak kecik sekeping jugak. Semua diam saja dan bermuka serius. Takut pulak aku tengok kotak kecil sekeping tu buat orang jadi pendiam dan serius. Entah lah tak faham aku.

Banyak lagi benda yang aku tak faham pasal dunia ni. Aku rasa dunia ni gila. Tapi orang lain yang panggil aku gila. Aku bukan gila. Aku cuma tak faham. Dan aku rindu ibu aku.

Satu hari nanti aku pun nak jumpa Tuhan. Boleh aku tanya Dia, mana ibu pergi lepas jumpa Dia. Harap-harap Dia tahu. Harap-harap ibu pun tengah tunggu aku. Tapi sementara tu biarlah aku jalan dulu atas dunia ni. Sebab luar adalah rumahku. Ada bahagia disini.

TAMAT

Nasi Kandar Cerita CampurWhere stories live. Discover now