Bab 1

3K 27 1
                                    

"LIA?"

Tidak ada sebarang reaksi terhadap panggilan itu.

"Lia? Lia?" Panggilan itu diulang, namun dengan nada yang lebih kuat.

Lia Hana menoleh kepada lelaki yang memanggil namanya. Terkejut. Merenung seraut wajah tampan di hadapan. Memang betul itu panggilan untuknya. Setelah tiga kali pangkal namanya disebut, terasa dia tidak salah dengar. Masalahnya, ia keluar dari mulut lelaki yang entah dari mana munculnya. Tiada angin, tanpa amaran, tiba-tiba lelaki ini mengejar dan memanggil-manggil namanya. Saat ini, otaknya bekerja keras mengingati jika pernah mengenali jejaka ini. Atau pernah muncul di sela-sela masa tertentu dalam hidupnya. Gagal! Tiada langsung memorinya terhadap orang ini. Memanglah kacak, tinggi, badan segak dengan baju kemas bergaya. Tetapi entah siapa-siapa. Berani pula menjeritkan namanya di tengah-tengah kebisingan dan orang ramai begini.

"Lia? Macam mana boleh ada di sini?" Lelaki itu sudah berada di hadapannya.

Hah? Lia Hana masih terpinga-pinga. Lelaki ini benar-benar mengenali diakah? Sekali lagi dia mendongak memandang wajah tersebut. Lelaki itu tersenyum mempamerkan gigi putih berseri serta tersusun rapi. Nak tak nak bibirnya terpaksa mengungkapkan kata yang lahir daripada tindakan otak dan perasaan yang telus.

"Saya kenal awakkah?"

Lelaki itu membulatkan matanya. Kurang percaya dengan soalan pendek yang lahir dari bibir mungil itu.

"Heh, takkan dah lupa Abang Jim? Tahulah abang bukan pilihan Lia, tapi takkan sampai tak kenal dah? Sampai hati Lia buat abang macam ni. Sedih abang..."

Berkerut dahi Lia Hana menghadamkan kata-kata lelaki itu. Apa mamat ni merepek? Rupa handsome, tapi mungkin wayar ingatan ada yang putus agaknya. Datang entah dari mana, tiba-tiba mengaku mengenali dirinya. Siap dengan muka sedih sendu lagi. Namun nama yang disebut itu sememangnya betul. Lia. Itu panggilan untuk dirinya!

"Encik salah orang agaknya. Saya betul-betul tak kenal encik. Minta maaf ya."

"Lia? Sampai hati...! Kalau tak suka pun, janganlah kata tak kenal abang."

"Sungguh encik, saya betul-betul tak kenal!" Lia Hana enggan berlama-lama berteka-teki dengan lelaki tersebut. Orang biul, detik hatinya. Kakinya pantas sahaja melangkah. Kebetulan matanya telah terperasan Salina yang lincah melambai-lambaikan tangan dari restoran makanan segera berhampiran.

Lelaki tersebut yang masih seperti tidak percaya dengan kata-kata gadis itu, terus mencapai tangan Lia Hana yang dilapisi blaus lengan panjang.

"Hissh! Apa ni?" Terjerit Lia Hana. Terkejut. Spontan merentap kembali tangannya. Pantas mempercepatkan langkah masuk ke restoran menuju ke meja yang diduduki Salina bersama dua orang gadis yang lain. Sedikit pun dia tidak ingin memandang kembali lelaki yang berlaku kurang sopan terhadapnya tadi.

Lelaki tersebut juga seperti terkejut dengan tindakannya sendiri. Sudahnya, hanya matanya sahaja yang mampu mengiringi langkah kaki Lia Hana sehingga ke dalam restoran makanan segera itu.

Agak tercungap-cungap Lia Hana ketika menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di situ. Salina juga terdiam memerhatikan tingkah temannya dan seketika kemudian membuang pandang kepada lelaki itu, yang masih terpaku memandang ke arah mereka.

"Siapa lelaki macho di luar tu, Lia? Kau tak pernah cerita pada aku, pun? Macam drama pulak aku tengok kau orang berdua. Siap tarik-tarik tangan lagi."

"Entah, Lina. Orang sewel agaknya. Aku pun tak kenal."

"Takkanlah tak kenal boleh sampai macam tu sekali! Tengok tu... dia masih pandang-pandang engkau!"

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now