Bab 8

774 12 0
                                    

MAK CIK JAMALIA tersenyum manis menyambut anak gadis kesayangan yang baru tiba. Biasanya gadis ini akan pulang tiga hari sekali. Dia sendiri tidak membenarkan anak gadisnya tinggal di kampung kerana perjalanan ulang-alik ke tempat kerja agak jauh dan kurang terjamin keselamatan sewaktu pulang jika hari mencecah malam. Tambahan pula, rumah yang disediakan pihak syarikat tidak kurang apa-apa kemudahan. Mentelah lagi dia amat kenal dengan teman serumah anaknya. Hubungan keluarga masing-masing juga amat baik dan dia sudah menganggap Salina seperti anaknya juga.

Dalam diam dia bersyukur kerana dengan hasil titik peluh serta doanya yang tidak pernah putus, anak yang dipeliharanya dewasa sebagai seorang gadis yang baik budi pekerti, berpelajaran dan yang paling penting, berpegang kuat dengan ajaran agama. Tambahan pula anaknya juga begitu suka dengan kerja-kerja amal.

Bukan hanya anak gadisnya yang tercorak dengan baik, malah anak lelakinya Ahmad Naim yang lebih tua lima tahun daripada Lia Hana juga begitu. Malah peribadinya lebih dikagumi. Dia cukup bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan Allah itu. Rasa terbayar segala keperitan serta kesusahan yang ditanggungnya keseorangan selama ini.

"Emak ni... Lia tercegat depan mata pun mak boleh berangan? Kecik hati kita tau! Balik penat-penat, sudahnya mak ingat orang lain." Lia Hana mengusik emaknya.

Tersedar daripada lamunan, Mak Cik Jamalia cuma memberikan senyuman manis kepada anak daranya. Dan memandang wajah itu lama.

"Emak... emak tengah fikirkan siapa? Menantu-menantu emak ke?"

Tergelak emaknya dengan pertanyaan itu. Anak daranya ini memang pandai bergurau. Asalnya hendak mengenakan emaknya, tetapi akhirnya diri sendiri yang terkena. Selalunya begitulah... si anak terlupa yang emaknya adalah seorang yang sarat dengan pengalaman hidup yang pelbagai.

"Menantu-menantu mak? Yang mana? Yang Abang Naim dan Lia punya ke? Jangankan rupa, bayang pun emak tak nampak! Macam mana nak diangankan?"

"Alah... mak ni, Liakan nak jaga dan bersama mak dulu sepuas-puasnya. Kalau dah kahwin, tak ada canlah. Nak kena bahagi masa dengan orang lain pulak."

"Alasan dah lapuk tu. Dah tak diguna pakai lagi oleh anak-anak dara zaman sekarang ni..."

"Iya tak iya jugak! Lupa pulak yang Cikgu Jamalia ni guru bahasa dulunya, dan penuh dengan pengalaman hidup!"

Kedua-kedua beranak ketawa. Dalam hati Lia Hana sedia maklum, emaknya tidak pernah mendesak mengenai bab perkahwinan. Kadang-kadang dia juga hairan kenapa emaknya begitu memahami. Tidak seperti sesetengah ibu-ibu lain yang sentiasa ingin mempercepatkan jodoh anak perempuan mereka.

Bunyi ngauman enjin motosikal berkuasa tinggi mengalihkan perhatian dua beranak itu kepada objek baharu di hadapan mereka. Lia Hana kehairanan, tidak berkelip-kelip matanya memandang.

"Abang Naim kau, baru aje dapat motor yang dia tempah. Tu yang bawak si kecik tu pusing-pusing kampung."

"Hah? Biar betul mak! Abang Naim beli motor tu?"

"Haah. Lia tak percaya ke? Tukan Si Nawal yang tersengih-sengih girang?"

Lia Hana masih terpinga-pinga. Abangnya tidak memberitahunya sebelum ini. Tup-tup tiba-tiba sahaja membawa balik motosikal Kawasaki berkuasa tinggi. Sememangnya dia amat meminati motosikal berkuasa tinggi. Sebab itu jika terpandang sahaja, dia sudah tahu jenama apa dan modelnya.

"Surprise!" jerit Ahmad Naim girang setelah mematikan enjin motosikalnya. Tersengih-sengih Ahmad Naim sambil menurunkan si kecil Nawal yang juga tersenyum meleret dan tidak sabar untuk memeluk emak saudaranya. Kemudian dia mencari-cari sesuatu di dalam beg tangan besar Lia Hana, dan akan mendiamkan diri bersama coklatnya selepas itu. Yang lain tersenyum memerhati seraya menggeleng-geleng kepala.

Tidak Pernah SesalDonde viven las historias. Descúbrelo ahora