Bab 7

852 12 0
                                    

KEJADIAN malang yang menimpa gadis unik bernama Lia Hana lewat petang semalam masih terbayang-bayang di fikiran Syed Azeem. Hampir dua jam dia menghadap dokumen dan komputer di hadapan, sudahnya satu perkara pun tidak dapat diselesaikan. Sememangnya wajah unik itu amat seiras dengan Syarifah Zalia. Dia telah memastikannya dengan jarak yang amat dekat semalam. Mereka duduk sebelah-menyebelah di dalam kereta, dan dia mengambil peluang untuk mengamati wajah manis itu sebaik mungkin.

Sekali pandang, dia pasti tiada siapa pun yang dapat membezakan antara Syarifah Zalia dan Lia Hana. Itu yang difikirkannya. Namun jika diamati betul-betul, ada satu perbezaan yang ketara di wajah mereka. Syed Azeem amat mengenali apa-apa sahaja yang dimiliki Syarifah Zalia. Mungkin tiada satu pun tentang gadis itu yang dia tidak tahu, kecuali niat gadis itu melarikan diri di hari pernikahan mereka.

Ya... gadis unik Lia Hana mempunyai dua lekuk yang dalam dan amat cantik di kedua-dua pipinya apabila dia tersenyum. Sesungguhnya dia sudah mula suka dan terpikat dengan senyuman itu! Sangat manis dan indah! Sementara Syarifah Zalia pula hanya mempunyai satu lekuk sahaja. Satu lekuk yang cetek, dan hampir orang lain tidak perasan. Dia yakin kini, gadis itu bukan Syarifah Zalia.

Cara Lia Hana bertutur juga menarik perhatiannya. Jauh berbeza dengan cara gadis yang menghancurluluhkan hatinya itu. Lia Hana penuh tertib dan sopan, sesuai dengan raut muka yang comel dan manis. Wajahnya nampak tenang, walau dalam keadaan yang agak kecewa dengan peristiwa malang yang menimpa dirinya semalam.

Syed Azeem tersenyum sendiri pula bila terkenangkan gadis itu yang sentiasa tercari-cari sesuatu di dalam beg tangan besarnya. Waktu itu, wajah si dia cukup menghiburkan. Terlalu banyak barang yang dibawa agaknya, sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk cari benda yang perlu.

Hesy... apa yang melalut ni! Desisnya lalu bangun dari kerusi empuk itu menuju ke cermin yang menghadap jalan dan premis kilang di hadapan pejabatnya. Terasa hati untuk membuka bidai yang mengambil alih tugas langsir itu. Selama dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun dia membuka bidai tersebut. Tidak perlu sebenarnya. Cahaya lampu yang menerangi bilik sudah cukup untuk dia menyelesaikan semua kerja. Juga tidak mahu merasa rimas dengan kehadiran cahaya matahari yang akan masuk dan menerobos ruang fikiran dan jiwanya yang kelam selama ini.

Perlahan-lahan tangan menarik tali pembuka bidai tersebut. Cahaya pagi segera masuk membantu menerangi ruangan pejabatnya yang agak besar itu. Terasa ada ketenangan dan semangat baharu pula yang menerpa masuk ke dalam diri. Semangat yang telah lama pudar dan menjauh.

Mata tenang memerhati ke luar. Pemandangan pagi yang menenangkan. Nun jauh di sana tersergam Bukit Larut yang sungguh indah menghijau, menerbitkan satu perasaan harmoni bila memandang. Di tengah-tengahnya terdapat air terjun yang memukau perhatian. Tiada kesibukan manusia pun pada pandangannya. Yang terbentang di hadapan, cuma ada jalan raya yang agak sunyi. Sememangnya jalan ini jarang digunakan kenderaan luar, kecuali oleh pekerja-pekerja atau orang yang mempunyai urusan dengan kawasan perindustrian sahaja.

Dia terus menghalakan pandangan ke arah kilang di hadapan. Besar kilang tersebut. Terdiri dari beberapa unit bangunan. Setahunya, ia adalah kilang makanan yang mengeluarkan jenama ikan sardin terkenal. Dia juga suka makan sardin daripada jenama tersebut. Jika bondanya yang memasak sardin tersebut, kesedapannya akan menjadi berganda-ganda lagi. Ahhh bonda! Tiba-tiba perasaan rindu kepada bondanya menjengah hati. Satu-satunya wanita yang selalu dirindukan kini. Bonda sudah lama tidak melawat anaknya di hujung dunia ini.

Pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sebuah kereta warna hitam yang terparkir di ruangan petak yang agak hujung di hadapan kilang tersebut, tetapi betul-betul berada bertentangan dengan pejabatnya. Toyota Vios Lia Hana!

Oh Tuhan...! Kenapa mesti ada banyak kebetulan dengan gadis ini? Apa rahsia di sebalik semua ini? Soal Syed Azeem sendiri.

Harapannya untuk bertemu gadis itu buat kali ketiga telah dimakbulkan Tuhan. Masih adakah pertemuan manis untuk kali keempat, kelima dan seterusnya? Mengenangkan lesung pipit yang manis terletak di kedua-dua pipi putih, yang kadang-kadang berona merah, rasanya dia tidak akan sekadar mengharap lagi. Tidak akan bergantung kepada kebetulan lagi. Dia akan berusaha supaya ada pertemuan untuk kali keempat dan seterusnya. Daya tarikan gadis tersebut amat kuat kepadanya. Dia mesti bertindak menjadi lelaki macho...

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now