Bab 2

1.3K 21 0
                                    

SUKAR untuk Syed Azeem melelapkan mata. Pusing kiri gelisah, pusing kanan resah, semua terasa serba tak kena. Bayangan gadis tersebut tidak langsung mahu pergi dari minda. Wajah, suara, senyuman, cara marah dan segala-galanya sama. Tiada beza langsung. Malah cara berjalan pun tiada beza. Tetapi gadis itu tidak langsung mengenali Syed Azeem. Betulkah? Atau Syarifah Zalia masih ada agendanya yang tersendiri? Masih tidak puas hati menyakiti hatinya? Masih belum puas melepaskan rasa amarahnya? Apakah tujuannya muncul semula tetapi dalam keadaan berpura-pura?

Zalia... Zalia, tak habis-habis engkau mendera perasaan ini. Syed Azeem masih bermonolog sendiri, walau jarum jam telah menunjukkan ke angka dua pagi. Telah terlalu lewat!

Pertemuan dengan gadis petang tadi, membuatkan fikirannya kembali mengingati Syarifah Zalia. Atau mungkin lebih tepat lagi merindui gadis itu semula. Walau sarat dengan benci, tetapi perasaan rindu kuat menyaingi. Tidak mampu mengalahkan rasa benci yang dibina sejak bertahun. Dia sanggup berhijrah ke tanah asing ini, semata-mata untuk lari jauh dari bayangan gadis tersebut. Sanggup meninggalkan kota raya mewah tempat kelahiran yang telah sebati dengan hidupnya selama ini, semata-mata untuk membuang kekecewaan yang ditanggung. Sanggup berjauhan dengan bonda tercinta demi sebuah kelukaan yang cukup dalam.

Sekian lama dia merawat luka hati seorang diri. Mengambil kesempatan dengan menyibukkan diri memberesi urusan kilang perabot yang diamanahkan walid. Mengepalai sebuah kilang yang baru diambil alih oleh syarikat keluarganya, bukan satu perkara yang mudah. Dia terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk mengembalikan semula modal yang telah dilaburkan. Dua tahun, tiada langsung hiburan. Apa yang difikirkan adalah kerja, kerja dan kerja. Hasil kesibukannya, dia telah berjaya meningkatkan jualan perabot kepada lima kali ganda berbanding sebelum dia ditugaskan di situ. Suatu pencapaian yang amat dibanggakan walid serta ahli keluarganya yang lain.

Sebenarnya, dengan rutin kerja yang begitu, dia sudah hampir berjaya melenyapkan wajah Syarifah Zalia dari ingatan sehinggalah pertemuan petang tadi membuatkan hatinya menjadi nanar semula. Jiwanya lemah kembali. Mestikah Syarifah Zalia kembali lagi setelah lukanya hampir sembuh, dan hidup hampir kembali normal?

Fikiran Syed Azeem menerawang kepada peristiwa dua tahun yang lalu. Dia dilukai pada hari bahagianya. Beberapa jam sahaja sebelum dia disahkan menjadi suami kepada gadis yang selama ini dicintai dan disayangi sepenuh hati. Gadis yang didambakan dalam hidup. Yang dipuja, dibelai dan dituruti segala kemahuannya. Tidak pernah dia melukai walau sedikit hati si gadis, walau hati sendiri selalu digores kasar akibat sikap lepas laku gadis tersebut.

Masih segar bayangan wajah bonda yang kelihatan sedih masuk ke biliknya dan duduk di birai katil. Dia yang pada waktu itu terkumat-kamit berlatih menghafal ayat yang sepatutnya dilafazkan di hadapan tuan kadi sebentar lagi, kemudiannya tersengih-sengih memandang. Bonda memeluk bahunya lembut. Mata yang penuh kasih sayang itu dihalakan terus ke anak matanya. Mesti ada sesuatu yang amat penting akan disampaikan kepadanya.

"Azeem, bonda nak beritahu sesuatu. Tapi anak bonda mestilah banyak-banyak bersabar..." Perlahan suara bonda berbisik.

Dia tidak membalas kata-kata itu, hanya menunggu apakah perkhabaran seterusnya. Mesti bersabar untuk apa? Ahhh! Jantungnya sudah berdegup kencang.

"Zalia... Zalia, nak. Dia dah pergi dari rumah abinya. Khabarnya dah sampai ke Narathiwat, dan mungkin sekarang dah sah menjadi isteri orang lain. Bersabar ya, nak. Mungkin jodoh Azeem bukan dengan Zalia. Mungkin ada yang lebih baik menanti."

Syed Azeem memandang bonda dengan mata yang tidak berkedip. Lama. Bagai tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh mulut manis di hadapannya ini.

"Bonda?"

Bonda sekadar mengangguk. Mengiakan kebenaran kata-katanya sebentar tadi. Namun pandangan anaknya seperti masih tidak percaya lagi. Ataupun mungkin juga terkejut kerana ianya suatu berita yang tidak pernah dijangka akan berlaku.

"Betul, nak. Zalia dah pergi bersama lelaki lain. Bermakna dia menolak perkahwinan ini. Sabar ya... Anak bonda masih tak rugi apa-apa. Bonda, walid, kakak dan adik sentiasa ada di sisi Azeem."

"Sampai hati, Zalia..."

Itu sahaja ungkapan yang mampu dilafazkan ketika itu. Selepas itu, dia hanya berkurung di dalam bilik. Jiwanya remuk-redam apabila mendapat tahu Syarifah Zalia telah melarikan diri bersama lelaki pilihannya ke Selatan Thailand untuk bernikah. Dua hari selepas itu, majlis resepsi sebagaimana yang dirancang oleh pihak keluarga Syarifah Zalia masih tetap juga berlangsung dengan meriahnya. Akan tetapi pengantin lelakinya tentulah bukan Syed Azeem sepertimana yang tertera di dalam kad jemputan perkahwinan berwarna hijau muda yang indah itu.

Dan saat itu, dia terasa seperti tidak perlu lagi untuk terus menyedut udara di bumi ini. Hanya kematian sahaja yang berada di fikirannya untuk memutuskan segala keresahan jiwa. Maruahnya sebagai lelaki telah dipijak-pijak lumat oleh seorang Syarifah Zalia.

Kekecewaan itulah yang membawa dia ke utara tanah air ini, untuk membebat sebuah kelukaan dan mencari semula harga diri yang telah diinjak seenaknya oleh seorang wanita yang bernama Syarifah Zalia.

Semenjak berhijrah, dia tidak pernah pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Sebab utama, mengelak daripada melintasi banglo rumah keluarga Syarifah Zalia yang mesti dilalui terlebih dahulu untuk sampai ke kediaman bonda. Jika bonda dan walid rindukan anak lelaki mereka ini, kedua-duanya akan berkunjung ke rumahnya di Taiping. Mereka amat merestui keputusannya untuk berada jauh dengan tujuan dia dapat bangkit semula dan dapat melupakan peristiwa sedih itu.

Namun sebenarnya yang lebih penting bagi walid, penghijrahannya ini dapat memajukan perniagaan dan mengembangkan empayar harta mereka. Apalah sangat kekecewaan disebabkan seorang perempuan. Perempuan itu yang menolak tuah. Syed Azeem sempurna serba-serbi. Dengan harta yang ada, ramai anak gadis orang ternama mampu dimiliki.

Itu kata walid, tetapi tidak kata hati Syed Azeem. Baginya cinta tidak boleh dijual beli. Seorang yang pergi tidak mungkin ditukar ganti, walau dengan seribu jelitawan dan gadis hartawan.

Pertunangannya dengan Syarifah Zalia adalah kehendak keluarga. Malah mommy dan nenek Syarifah Zalia yang banyak merancang dan mengatur. Walid penyokong kuat. Pada mereka, hanya dia sahajalah yang paling layak mengahwini anak perempuan tunggal Syed Hanafi itu. Gelaran dan harta mereka akan terus dikekalkan jika Syarifah Zalia berkahwin dengannya. Keturunan mereka akan tetap berpangkalkan nama Syed dan Syarifah. Dan itulah tujuan utama, di samping menyatukan harta kekayaan yang sedia ada dalam sebuah perkongsian yang harmoni.

Syed Azeem dengan gembira dan rela hati akur. Sementelah pula, dia sememangnya telah jatuh hati pada anak Tuan Syed tersebut. Kononnya cinta separuh mati. Segala kehendak dan kemahuan gadis itu dituruti tanpa sebarang protes. Layanannya amat sempurna. Tiptop! Sedikit pun tidak beralih kepada yang lain. Sangkanya, cinta mereka dua hala. Dia sayang pada Syarifah Zalia, dan gadis itu juga sayang padanya. Tidak sangka pula selama ini Syarifah Zalia hanya berpura-pura sahaja.

Di luar pengetahuannya, Syarifah Zalia sebenarnya memberontak dengan rancangan keluarga mereka. Dia ada pilihan hati sendiri yang ditentang keras oleh mommy dan neneknya. Gelaran Syed dan Syarifah tidak akan menjadi milik generasi mereka lagi seandainya dia memilih orang biasa. Itu juga pendapat utuh Syed Awaludin, bapa Syed Azeem.

Zalia... Zalia. Kenapa mesti engkau muncul semula? Tetapi betulkah yang dia lihat petang tadi itu Syarifah Zalia? Tidak mungkin Syarifah Zalia mahu makan di restoran makanan segera yang dipenuhi orang ramai? Kawan-kawannya pula... hesy... jauh beza dengan kawan-kawan Syarifah Zalia dahulu. Malah Syarifah Zalia tidak akan sekali-kali menaiki kereta yang berharga kurang daripada seratus ribu ringgit. Berbeza dengan gadis tadi. Syed Azeem masih bermonolog sendiri, mencari jawapan kepada persoalan yang mengasak mindanya.

Jika bukan Syarifah Zalia, siapa gadis tadi? Wajahnya sama. Setahunya Syarifah Zalia anak tunggal. Tiada adik-beradik lain. Malah semua saudara sepupunya yang tidak ramai itu dia kenal. Semuanya tidak mempunyai wajah Syarifah Zalia. Iras-iras mungkin ada, tetapi yang petang tadi tiada beza langsung. Kenapa pula baru terserempak, sedangkan dia sudah dua tahun berada di sini?

Ah... dia sendiri pun jarang-jarang keluar, jika tidak perlu.

Monolognya bersambung-sambung sedangkan masa juga tidak henti-henti berputar menuju ke dinihari.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now