Bab 4

4K 87 0
                                    

DARI kepala yang tersarung tudung bawal berwarna kelabu hinggalah ke hujung kaki, mata Toh Puan Aminah tekun menilik gadis berbaju kurung kain kapas bercorak bunga kecil berwarna kuning cair yang berdiri tegak di hadapannya.

Putih, tinggi, dan cantik. Melantun pujian dalam hati Toh Puan Aminah. Sejuk mata memandang wajah tenang si gadis yang tersenyum manis dengan redup mata yang memikat. Hmmm... Untung Farhah ada anak saudara yang sopan macam ni.

"Jemputlah duduk. Buat apa Teja berdiri?" pelawa Toh Puan Aminah.

"Terima kasih, Toh Puan." Teja tunduk sedikit sebelum kerusi di hadapan wanita yang seusia mak toknya itu ditarik tertib dan dilabuh punggung.

"Panggil nenek aje. Tak perlu nak berToh Puan bagai. Kita kan jiran. Macamlah Teja tak pernah jumpa dan sembang dengan nenek. Lagi pun usia Teja pun lebih kurang sebaya cucu-cucu nenek juga." Toh Puan Aminah tersenyum mesra.

"Mak Ton, tolong buatkan air," pinta Toh Puan Aminah kepada Mak Ton yang berdiri tidak jauh dari ruang rehat utama.

"Baik, Toh Puan." Mak Ton angguk dan terus berlenggang ke dapur.

Fuhhh! Teja rasa lega. Hilang sedikit rasa gugup dan seram sejuk yang dirasai sewaktu melangkah masuk ke banglo mewah dua tingkat ini. Tanpa membuang masa, dia terus menyampaikan hajatnya bertandang.

"Kenapa Teja bersusah payah nak jaga Uqail Wasim?" soal Toh Puan Aminah selepas diam memasang telinga agak lama.

Teja tersenyum manis. Oh! Nama lelaki itu Uqail Wasim, eh? Maklumat yang diterima, terus Teja key-in dengan segera. Sedap namanya, membawa maksud pandai dan kacak. Kacakkah? Entahlah... Dia tak pernah perasan pula.

Sepanjang Teja menumpang di rumah Mak Su Farhah sejak dia pulang dari Amerika Syarikat dan bekerja di D' Reka, rasanya dia belum pernah bertemu mata dengan Uqail. Dia hanya sempat pandang semasa hari kemalangan itu aje. Itu pun sipi-sipi sebab situasi yang sangat kalut.

Apa yang Teja tahu, dua hari lepas Mak Su Farhah ada bercerita tentang cucu Toh Puan Aminah yang sakit itu pernah belajar di Jerman dalam bidang kejuruteraan. Dan sekarang ini bekerja dengan syarikat milik keluarga dan memegang jawatan yang agak besar dalam syarikat. Kiranya orang kuat syarikat juga.

Teja tak sangka lelaki yang selamatkannya petang itu adalah cucu jiran sebelah Mak Su Farhah. Memang dia terkejut habis. Takut pun ada. Nak-nak lagi apabila bertentang mata dengan Datin Umairah, ibu Uqail. Rasa macam nak lari balik kampung. Bayangkanlah nak masuk melawat Uqail pun Datin Umairah tak izinkan. Bukan sembarangan orang yang boleh melawat. Memang ketat gila. Dah macam anak menteri pula.

"Teja nak bantu Uqail? Teja tahu, kan? Uqail dah putus harapan. Patah semangat! Jangan kata ahli keluarga, Doktor Shahril yang rawat Uqail pun tak mampu nak pujuk. Uqail memang tak mahu buat fisio dan terima apa-apa rawatan. Apa yang dia tahu cuma maki hamun dan marah-marah semua orang. Dah tiga orang pembantu fisio berhenti sebab tak tahan dengan sikap Uqail. Setiap hari ada saja yang nak diamuknya."

Soalan Toh Puan Aminah mengejutkan Teja yang terberangan sekejap. Adoi... Sempat aje.

"Errr... Saya rasa bersalah dengan cucu Toh Puan."

"Teja... Kan nenek cakap panggil aje nenek. Tak perlu nak formal dengan nenek. Bukannya nenek tak kenal Farhah dan Rashid tu." Toh Puan Aminah menegur. Tak selesa bila masih dipanggil Toh Puan. Tak mesra.

Teja angguk sopan. "Maaf, nek. Sebenarnya... Saya rasa bersalah sangat dengan Encik Uqail. Saya yang menyebabkan Encik Uqail kemalangan. Petang tu, kalau Encik Uqail tak selamatkan saya, pasti Encik Uqail sihat sejahtera seperti orang lain." Ada rasa sayu di hujung ayat.

Toh Puan Aminah mengeleng kepala sebelum keluhan berat dilepaskan. Dia tak sangka kehadiran Teja membawa tawaran emas. Berat hatinya mahu menerima. Apatah lagi melihat sikap Uqail yang berubah 360 darjah itu. Cucunya tu dah lain sangat sekarang ni.

"Teja belum kenal Uqail. Nenek risau kalau Teja tak mampu bertahan. Uqail sekarang bukan macam Uqail yang dulu. Dia dah banyak berubah," keluh Toh Puan Aminah. Sejak kemalangan itu, Uqail memang dah lain macam. Dari seorang lelaki yang mudah bertolak ansur dan mesra, Uqail berubah menjadi seorang yang panas baran. Mahu terbalik banglo ini apabila baran Uqail datang. Semua benda nak diamuk.

Retak hatinya melihat perubahan drastik Uqail. Dia hilang cucu yang periang, penyabar dan gemar mengusik. Sunyi hidupnya. Doktor yang merawat Uqail juga kerap kali mengadu tentang Uqail tak mahu bekerjasama. Inikan pula seorang gadis yang lemah lembut dan sopan santun seperti Teja. Memang beratlah nampaknya.

"Insya-Allah, nek. Kalau niat kita ikhlas, pasti Allah akan tolong. Saya nak bantu pulihkan cucu nenek. Mungkin saya tak secekap doktor pakar dan pembantu fisio yang lain, tapi saya akan cuba dan belajar. Berkat daripada tunjuk ajar Doktor Shahril. Saya nak bantu cucu nenek." Bersungguh-sungguh Teja berjanji.

"Saya terhutang budi dengan Encik Uqail. Kerana Encik Uqail, saya masih bernafas hingga hari ini. Hanya ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk balas budi saya kepada Encik Uqail. Sampai mati saya akan kenang budi Encik Uqail."

"Hmmm... Apa kata Farhah dan Rashid nanti? Mustahil mereka setuju." Toh Puan Aminah masih sangsi.

"Mak su dan pak su terima baik hasrat saya ni. Mereka bersetuju dan tak menghalang." Teja jawab dengan pantas. Dia rasa sangat bersyukur apabila tok ayah dan mak tok juga tidak membantah. Malah mereka memberikan galakan. Semakin bersemangat untuk dia jalankan misinya.

"Bagaimana dengan kerja Teja? Teja kan baru habis study dan baru beberapa bulan bekerja. Tak rasa rugi? Tak rasa macam Teja buang masa ke nanti?"

Teja terdiam beberapa saat sebelum menjawab dengan tenang

"Saya dah berbincang dengan pak su. Syarikat izinkan saya bercuti selama beberapa bulan sehingga Encik Uqail pulih. Lagi pun, saya masih boleh siapkan tugas saya di waktu malam."

Toh Puan Aminah mengeluh perlahan sebelum wajah cantik Teja dipandang lama. Tak sangka sejauh itu gadis ini sanggup berkorban. Dia rasa terharu. Melihatkan tutur kata yang lembut dan kesungguhan Teja membuatkan hatinya sudah terpaut.

Gadis ini bukan sahaja cantik malah memiliki sekeping hati yang tulus dan murni. Beruntung ibu bapa Teja, puji Toh Puan Aminah dalam hati.

"Izinkan saya, nek. Saya nak bantu Encik Uqail," pinta Teja dengan suara yang sayu.

"Uqail tu dah patah hati untuk sembuh. Kata doktor, kecederaan Uqail makan masa untuk baik kerana dia mengalami kecederaan saraf tunjang yang agak kritikal. Uqail mungkin boleh baik tapi dalam masa yang sama dia mungkin akan lumpuh untuk selama-lamanya jika tidak betul-betul dirawat. Bergantung pada usaha Uqail sendiri. Bagaimana kalau Uqail tetap tak sembuh? Mustahil Teja masih mahu membantu lagi. Jadi, nenek rasa Teja tak perlu nak bazirkan masa. Lebih baik Teja tarik balik niat murni Teja."

"Doktor bukannya Tuhan, nek. Mereka hanya meramal based on the theory. Sedangkan Allah yang menentukan segala-galanya. Kita kena banyak berdoa dan berusaha. Insya-Allah nek, saya akan bantu Encik Uqail sehingga dia betul-betul pulih. Saya tak akan tinggalkan Encik Uqail walau apa pun yang jadi. Saya janji! Kalau Encik Uqail tak dapat berjalan seperti biasa, dia dapat bertongkat pun dah kira baik. Insya-Allah jika kita selalu berniat baik, Allah akan sentiasa sediakan jalan dan berikan kita ilham. Saya yakin Encik Uqail akan pulih dan nenek akan dapat cucu nenek yang sihat kembali. Kita kena support cucu nenek. Semangatnya dah hilang sekarang ni. Kita kena kembalikan semangat dan keyakinannya. Encik Uqail perlukan fisioterapi tu."

Toh Puan Aminah terkedu mendengar kata-kata Teja. Dadanya mula sebak. Orang luar yang tidak ada apa-apa hubungan mempunyai keyakinan yang tinggi, mengapa pula dia yang sah-sah mempunyai pertalian darah merasa putus asa?

"Baiklah... Nenek setuju. Nenek izinkan."

"Terima kasih, nek." Teja rasa mahu sahaja dia melompat riang di hadapan Toh Puan Aminah.

"Mai tak setuju!"

Mati senyuman Teja sebaik sahaja berpaling dan pandangan matanya berlaga dengan mata Datin Umairah yang tiba-tiba muncul di ruang tamu sambil bercekak pinggang.

"Umairah!" 

Misi Terlajak CintaWhere stories live. Discover now