Bab 7

3.6K 86 0
                                    

"TEJA..." Perlahan nama itu meniti di bibir Uqail. Kenapa wajah itu seakan-akan dia pernah lihat? Berkerunyut dahinya cuba mencari dan mengingati nama gadis-gadis yang pernah dia kenal.

Rasanya seumur hidup dia tak pernah mengenali wanita bernama Teja. Nak pula gadis yang 'berbungkus' kepala macam itu. Boleh kira dengan jari berapa ramai kawan wanita bertudung yang dia kenal. Wajah Teja juga langsung tak terdaftar dalam ramai-ramai staf wanita di pejabatnya.

Siapa Teja? Gadis ini jatuh dari planet mana? Kenapa Teja tak tergugat dengan caci maki dan semua tutur katanya yang kasar? Gadis itu kelihatan tenang menerima segala herdik dan amarahnya.

Keluhan berat dilepaskan. Walaupun dia sangat bengang tapi jauh di dasar hati, dia rasa kesal dengan keterlanjuran tangannya. Sungguh... Dia tak sengaja nak lukakan wajah bersih Teja. Itu semua tindakan spontan! Kerana terlalu marah dan geram apabila gadis itu buat acuh tak acuh dengan arahannya.

"Aduhai! Kan dah dapat habuan. Tak ada penyakit cari penyakit! Orang suruh keluar tak mahu keluar. Degil!" rungut Uqail perlahan.

Sangkanya tadi, Teja akan menjerit kuat apabila dahinya dihentam dengan buku tebal itu. Boleh aje kalau gadis tu nak hadiahkannya tumbukan padu Tun Teja. Tak pun Teja hempuk dia dengan buku itu balik. Dia bukannya ada kudrat pun nak melawan. Memang dia pasrah aje tadi kalau tiba-tiba gadis itu naik gila dan mengamuk. Tapi tak sangka pula Teja masih cool walaupun wajah tu macam nak menangis. Bukannya dia tak dengar Teja mengerang kecil menahan sakit.

Hesy! Harap-harap dahi gadis itu tak ada luka yang kritikal dan meninggalkan parut. Sempat pula Uqail berdoa dalam hati. Risau! Tak pasal-pasal saham wajah cantik itu jatuh merudum.

Cantik? Ya, dari mata lelaki, Uqail akui gadis tinggi lampai itu cantik dengan gaya kampungnya. Namun kecantikan itu langsung tak menarik perhatiannya. Tak berjaya membuang rasa marah dan menghanyutkan rasa kecewa yang dia tanggung. Semua orang tak faham apa yang dia rasa sekarang ini. Masing-masing hanya tahu berkata sabarlah, Uqail. Tuhan nak duga. Padahal tuan empunya badan yang menanggung ni, azab tak terkira. Rasa sangat malu, kecewa, benci dan rendah diri. Segala rasa datang bertandang.

Sungguh dia tak menyangka niatnya nak menolong si gadis bertudung yang leka bergayut di telefon sewaktu melintas jalan petang itu mengundang kecelakaan buat dirinya sendiri. Ini semua Talhah punya pasal! Beria-ia menyuruh dia memandang gadis cantik berbaju merah ang-ang tu. Dan dia pula boleh terlayan asakan Talhah. Huh! Menyesal...

Ketika sedang leka memandang itulah dia perasan kereta hitam yang keluar dari selekoh dan melaju ke arah si gadis. Sungguh, dia tak perasan bila kakinya sudah menapak laju dan menolak gadis itu ke tepi. Dalam masa yang sama badannya yang menjadi galang ganti. Melambung dan tergolek ke tepi jalan sebaik sahaja dilanggar. Huh! Sekelip mata semua itu berlaku.

Hanya Tuhan yang tahu kesakitan yang dia alami walaupun tidak ada yang patah riuk. Fizikal memanglah tak cedera tapi mentalnya ni tercalar habis. Hati mana yang tak pecah? Jiwa mana yang tak berkecai? Apabila tersedar daripada koma, dia dimaklumkan berkemungkinan akan lumpuh akibat gangguan dan kecederaan saraf pada tulang belakang. Hancur lumat jiwanya.

Koyak rabak hatinya. Sedih tak terucap. Siapa sangka Uqail Wasim, seorang lelaki yang kacak, berkarisma, hebat dan menjadi sebutan wanita-wanita akhirnya terkedang begini. Tak mampu berbuat apa-apa. Kaku dan kayu!

Uqail pejam mata menahan rasa hati yang tiba-tiba pedih. Kejadian itu seakan-akan terlayar kembali dalam kotak memori Uqail. Nafasnya ditarik panjang agar dapat menghalau rasa sedih. Tak sangka kerana gadis itu dunianya mula dirundung duka. Sekelip mata keindahan hidupnya diragut. Tiba-tiba seraut wajah cantik itu muncul tanpa dipinta.

Zap!

Mata Uqail terbuka luas. Bulat! Jantungnya seperti ditembak. Dadanya rasa nak meletup. Tangannya yang menggigil digenggam sekuat mungkin. Gadis cantik bertudung putih? Teja? Oh... Damn! Double stupid! Perempuan tu! 

Misi Terlajak CintaWhere stories live. Discover now