Bab 11

3.6K 85 0
                                    

BUNYI ktung-ktang, ktung-ktang dari dapur membuatkan langkah Datin Farhah yang laju menuruni anak tangga mulai perlahan. Dengan rasa cuak dia mengintai dari pintu dapur. Mustahil Kak Tim dah masuk dapur. Awalnya...

Bulat mata Datin Farhah apabila terpandang Teja yang sedang tekun 'bersilat' bersama senduk dan kuali. Dipandang father clock di sebelah tangga. Lima pagi? Biar betul budak ni? Kalau rajin masak pun, apa kes pagi-pagi buta macam ni? Dah kena sampuk jin makan ke apa?

"Teja!"

"Oh! Mak kau!" Teja melatah. Terkejut. Nyaris senduk di tangan terbang melayang dan hinggap ke kepala si penegur.

"Apa Teja buat pagi-pagi buta ni? Masak apa?"

"Ya Allah! Mak su... Kenapalah terkejutkan Teja macam tu? Nasib baik tak terpelanting senduk dengan kuali ni." Tangan kiri mengurut dada. Fuhhh! Kurus semangat apabila kena sergah pagi-pagi buta. Nasib baik tak buka silat kuda gila.

Datin Farhah tergelak kecil. Lucu melihat reaksi Teja. Rambutnya yang terlepas bebas disanggul tinggi.

"Teja masak apa ni? Nak bersahur ke?"

Teja geleng kepala. "Taklah..."

"Habis tu?" Datin Farhah tayang wajah pelik. Kalau bukan bersahur buat apa beria-ia masak? Pagi buta pula tu. Buang tabiat namanya. Kerusi berdekatan bar table ditarik. Wajah Teja yang masih bertampal pada dahi dipandang. Hmmm... Handyplast bercorak Spongebob pula. Tak ada corak yang 'dewasa' sikit ke?

Pulang dari butik tengah hari semalam dia terkejut apabila melihat dahi Teja yang sudah bertampal. Hari pertama dahi dah bertanda, belum lagi berbulan-bulan. Hesy! Apabila dilarang, Teja membantah. Masih nak teruskan misi balas budi, kononnya. Degil betul! Nasib baik dahi tu tak berlubang dan masih boleh maintain comel. Jangan berparut sudah! Kalau tak... Jatuhlah saham cucu air force pencen tu.

"Teja tak boleh tidur, mak su. Itu pasal Teja masuk dapur. Buatkan breakfast untuk semua orang. Yang mak su ni, kenapa bangun awal? Baru pukul lima kut. Ayam jantan belum lapor dutylah, mak su." Teja senyum nakal.

"Mana ada ayam jantan di Putrajaya ni sayang, oi! Embun jantan tu adalah. Tu, hah... Yang duk melepak dan berlonggok ramai-ramai di kedai mamak dari malam sampai ke pagi tu. Yang tak reti-reti nak balik tidur."

Teja tergelak. Apa nak buat? Resam kehidupan di Putrajaya. Kebanyakan yang melepak di restoran mamak tu semuanya kaki bola.

"Dah tu, kenapa mak su bangun awal?"

"Mak su bangun awal sebab nak bersahur. Nak ganti puasa yang tinggal lagi sehari. Nak habiskanlah, dah alang-alang boleh berpuasa ni. Lepas ni tak payah nak fikir-fikir lagi bila nak ganti puasa. Dah settle awal-awal."

Datin Farhah bangun dan menghampiri Teja. Bau masakan Teja membuatkan hidungnya kembang kempis sejak tadi. Dijenguk ke dalam kuali yang berada di atas dapur.

"Masak apa ni? Macam sedap aje."

"Teja masak nasi lemak pagi ni. Dah nak siap dah sambal tumisnya. Bolehlah mak su buat bersahur kejap lagi."

"Wah! Bersahur nasi lemak. Pagi-pagi buta? Biar betul, Teja? Naik berat badan mak su nanti. Melantun-lantun, hah. Rosak diet mak su ni, sayang." Datin Farhah tergelak. Cadangnya dia hanya mahu bersahur makanan yang ringan-ringan saja. Roti bakar atau secawan oat. Itu sudah memadai. Buat lapik perut.

"Alah... Sekali-sekala aje, mak su. Bukannya selalu. Lagi pun dah lama mak su tak makan masakan dari air tangan Teja ni, kan? Bukannya Teja dapat masuk dapur selalu. Sebulan sekali pun belum tentu. Teja hidangkan, ya?" Tangan Teja sudah lincah mencari pinggan dan mangkuk untuk diisi nasi dan sambal tumis. Telur rebus sudah siap dikupas. Timun juga siap dihiris nipis.

"Wah! Sedapnya bau. Bersahur apa kita pagi ni, yang?" tegur Datuk Rashid yang tiba-tiba muncul. Wajahnya kelihatan segar-bugar.

"Eh! Kenapa abang bangun awal pula ni? Nak ke masjid ke? Belum masuk waktu, bang. Tok Imam dengan geng-geng masjid masih berdengkur lagi rasanya," tegur Datin Farhah. Terkejut melihat si suami yang tiba-tiba muncul di dapur. Mimpi apa pula ni?

"Eh! Abang pun nak puasa juga. Nak temankan Far. Semalam Far juga yang beria-ia ajak abang, kan? Dah lupa? Lagi pun abang nak juga kumpul pahala sunat. Tambah-tambah lagi teman isteri berpuasa. Makin berganda pahala abang. Tak gitu, yang?"

"Eh! Ya ke Far ada ajak abang? Abang jangan suka-suka petik nama Far. Jangan-jangan nasi lemak Teja ni yang buat abang bangun dari tidur. Abang tu mana boleh jauh dari nasi lemak. Hidung tu tajam bebenor. Hari-hari makan pun tak apa."

"Hah! Itu pun satu hal juga. Bau nasi lemak Teja ni dah sampai ke bilik tidur. Kembang kempis hidung abang. Jomlah bersahur. Abang dah lapar ni. Dah lama tak makan nasi lemak hasil air tangan Teja. Rindu betul pak su dengan nasi lemak Teja ni. Nak harap mak su yang masakkan? Hmmm... Meleleh air liur pak su sebaldi pun belum tentu mak su nak masak." Datuk Rashid mengusik.

"Amboi, abang! Ayat macam tak sayang mulut aje. Far mogok karang!" Jari Datin Farhah sudah laju mencari lengan Datuk Rashid untuk 'diketam'.

Datuk Rashid tergelak dan mengelak.

"Alahai awak ni... Nak gurau-gurau sayang pun tak boleh. Dah... Dah... Meh kita makan. Masa bukan nak tunggu kita. Kang tak sempat bersahur. Putih mata kita tengok nasi lemak ni." Kerusi ditarik dan punggung dilabuh perlahan. Haruman nasi lemak sudah tepu memenuhi rongga hidung. Membuatkan perutnya berkeroncong. Tak sabar rasanya nak menjamah nasi lemak Teja yang ternyata sedap.

Anak tunggal arwah kakak iparnya ni memang pandai masak. Masakan Teja sedap-sedap belaka. Pandai betul mentuanya mendidik Teja. Lengkap semua pakej. Untung lelaki yang dapat berkahwin dengan Teja nanti. Tak tahulah lelaki mana yang bakal lulus piawaian dan temu duga abah mentuanya tu. Bukannya dia tak tahu tahap cerewet air force pencen tu.

Dulu, dia juga terpaksa melalui ujian yang sama sewaktu melamar Farhah. Siap kena amali lagi. Kena jadi imam untuk solat zohor dan asar. Huh! Nasib baiklah lepas walaupun tak sampai tahap tahfiz. Kalau tidak, selamatlah! Memang gigit jari jawabnya.

"Hah! Termenung apa lagi tu, bang? Bacalah doa makan cepat. Kang tak sempat nak bersahur pula!" Datin Farhah mencuit lengan Datuk Rashid apabila melihat suaminya hanya merenung pinggan. Macam nak tembus! Ke mana otak tu melayang agaknya?

Datuk Rashid tersenyum. "Oh, ya... Terberangan pula abang. Moh kita. Jom Teja. Bukan senang kita nak makan semeja ni. Pagi-pagi buta pula tu. Dah lama pak su tak bersahur dengan Teja. Ini kalau ada yang lebih bolehlah Teja bawa ke rumah sebelah." Dua tangannya sudah diangkat untuk membaca doa makan.

"Baik, pak su." Teja senyum. Memang itu pun hajatnya. Sengaja dia masak nasi lemak tu banyak. Semalam Toh Puan Aminah teringin sangat nak makan. Kata Toh Puan Aminah lagi, Uqail pun suka makan nasi lemak. 

Misi Terlajak CintaWhere stories live. Discover now