Bab 6

4K 92 0
                                    

BUNYI ketukan yang bertalu-talu pada pintu bilik membuatkan tidur Uqail pada pagi hari terganggu. Sebelah matanya dibuka tapi tak berapa luas. Pelupuk mata terasa melekat. Tak sedar pukul berapa dia terlelap. Yang pastinya jam tiga pagi matanya masih terbuka luas.

Belum sempat Uqail bertanya siapa, pintu bilik sudah dibuka dari luar dan lampu bilik dinyalakan. Terang-benderang!

Sebaik sahaja mata Uqail menangkap figura seorang gadis bertudung yang berdiri tegak di ambang pintu, spontan kedua-dua matanya terbuka luas. Terkejut!

"Eh! Kau siapa?" Uqail bertanya kasar dalam suara yang serak. Matanya digosok kalut. Risau tersilap pandang. Mustahil badan Mak Ton dah menyusut kurus ramping macam tu.

"Oh! Mak kau!" Teja terperanjat. Dua tangannya melekat di dada. Aiyo! Adik-beradik Kapten Jack Sparrow ke? Semak dan serabutnya!

Lelaki di atas katil itu dipandang lama. Betul ke itu Uqail Wasim, cucu Toh Puan Aminah? Macam lain aje. Jauh daripada apa yang diimaginasi berdasarkan apa yang dicerita oleh mak su. Mak su dah rabun agaknya. Rupa cucu Toh Puan Aminah ni dah sebijik mamat Benggali jual karpet. Serabainya! Macam mana mak su kata smart? Semak adalah!

"Hoi! Pekak! Kau ni siapa? Keluar dari bilik aku! Berani kau masuk bilik aku?! Siapa izinkan kau masuk? Aku tak mahu jumpa sesiapa pun! Get out!" marah Uqail. Bengangnya dia apabila melihat si gadis tidak menjawab soalannya. Masih terpacak dengan mata bulat. Macam nampak hantu. Scary sangat ke bila nampak muka aku?

Uqail bangun dan menyandar di kepala katil. Kepala yang terasa ting-tong dipicit perlahan. Yalah, bangun dengan cara terkejut. Agaknya semua darah berlumba-lumba ke kepala.

"Kau tunggu apa lagi? Keluarlah!" halau Uqail. Bantal yang berada di sebelah, dicapai dan dilempar kepada si gadis. Dahlah ketuk pintu bilik aku macam nak pecah. Kuat gila! Pagi-pagi dah mengacau! Orang nak tidur pun tak senang! Sudahlah sekarang ni nak tidur pun susah. Baru lelap mata dah mimpi yang bukan-bukan!

Pelepap!

Teja pejam mata. Dia yang berdiri tegak tak sempat nak mengelak. Lajunya bantal tu. Macam jet pejuang aje! Bantal bersarung biru air laut dengan corak abstrak itu menghentam tepat ke mukanya dan jatuh di hujung kaki.

Wah! Salam perkenalan yang sungguh tragis. Disambut dengan ciuman oleh si bantal. Huh! Rasa nak meletup dada Teja! Sabarlah duhai hati! Nasib baik sarapan pagi Uqail, dia dah letak atas meja kecil di luar bilik. Kalau tidak, sah-sah tumpah. Dah satu kerja dia nak mengemop lantai. Dengan perlahan dia tunduk. Bantal diambil dan diletakkan di atas sofa hitam berdekatan.

"Assalamualaikum, Encik Uqail. Saya... Teja... Saya pembantu Doktor Shahril. Saya ada bawakan break..."

"Kau pekak ke, hah?" potong Uqail. Laju!

"Aku kata keluar! Keluarlah! Aku tak mahu jumpa sesiapa! Aku tak perlukan pembantu! Faham?" Salam si gadis dibiar berlalu. Tak hingin dijawab. Kenal pun tidak! Tak payah nak tunjuk muka sopan dan baik. Aku tak suka! Sudahlah selamba masuk bilik aku. Dah tu, suka-suka kau aje on lampu. Terang-benderang macam lampu Stadium Malawati, Shah Alam. Apa jadahnya?

Terangkat bahu Teja kerana terperanjat.

Mak ai... Kuatnya volume mamat ni? High pitch! Dalam sakit-sakit pun voltan suara boleh tahan juga. Pernah berguru dengan mendiang Whitney Houston ke? rungut Teja dalam hati. Tak sempat dia nak habiskan ayat dah kena cantas. Bilik tidur besar itu sudah bergema dengan lantunan suara Uqail yang kuat memecah pagi. Sedaya upaya dia tayang wajah tenang. Kalau ikutkan hati dah lama dia angkat kaki. Rasa bengang dan menyampah apabila dilayan teruk macam itu.

Huh! Relaks, Teja! Dugaan kecil aje ni. Hati cuba ditenangkan.

"Hoi perempuan pekak! Kau faham ke tidak apa yang aku cakap? Baik kau keluar sebelum aku belasah kau! Keluar!" halau Uqail. Geram apabila melihat marahnya tidak terkesan kepada si gadis. Wajah si gadis nampak selamba tak berperasaan. Tenang! Langsung tak ada riak takut. Huh! Memang mencabar kesabaran betul.

Misi Terlajak CintaWhere stories live. Discover now