PENDUSTA

2.1K 25 9
                                    

   Ustaz Hafizul Alami melangkah masuk ke dalam Masjid Al-Falah. Langkah diatur dengan tertib seusai azan Maghrib habis dilaungkan. Para jemaah ada yang melontarkan senyuman dari jauh tanda hormat, ada yang mula bangun untuk menyapa dan bersalaman dengan ustaz yang disegani itu. Bagi mereka Ustaz Hafizul Alami mempunyai sifat-sifat ideal sebagai seorang muslim sejati, lemah-lembut, menundukkan pandangan, serta sentiasa menjaga tutur kata. Malahan ada di antara jemaah wanita yang menawarkan anak gadis mereka sebagai dijadikan isteri. Walaupun ada diantara mereka sudah mengetahui yang Ustaz Hafizul Alami sudah mendirikan rumah tangga.

Bagi mereka.. "Eh,kenapa tidak, dia kan seorang ustaz, mestilah dia berlaku adil, dengki je..."
   
   Solat maghrib malam ini diimamkan Ustaz Hafizul Alami. Rakaat pertama dialunkan petikan ayat Al-Quran daripada Surah Ar-Rum ayat 21, yang bermaksud "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."Solat diteruskan sehingga selesai.

   Latifah begitu khusyuk berjemaah solat maghrib hari ini. Dihayati bacaan imam dengan penuh penghayatan. Latifah ialah seorang graduan universiti perubatan daripada sebuah Universiti Al-Azhar. Maka, di samping menyambung pelajaran dalam bidang perubatan, dia juga mengisi masa lapangnya menuntut ilmu agama ketika berada di bumi Mesir. Perubahannya cukup ketara, daripada seorang wanita yang agak rugged, sosial dan bergaya, kepada seorang wanita muslim yang bertudung litup dan menjaga tingkah lakunya. Ternyata pengisian untuk menuntut ilmu agama yang dianggap sebagai hobi pada mulanya, menjadi sinar hidayah yang bermakna.

   Tirai langsir yang menjadi penghalang antara jemaah wanita dan lelaki disingkap untuk memberikan pandangan yang lebih jelas kepada Ustaz Hafizul Alami yang sedang menyampaikan tazkirah Maghrib. Ustaz Hafizul Alami terus menyampaikan tazkirah berkenaan ayat Surah Ar-Rum ayat ke 21 tadi dengan bersungguh-sungguh. Memang kebiasaan baginya akan menyampaikan tazkirah berdasarkan ayat Quran yang dibacanya ketika solat Maghrib terdahulu. Sesekali jemaah akan mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan jika kurang faham.

    Latifah hanya mendengar setiap butir daripada tazkirah tadi dengan sepenuh hati. Ini tazkirah pertama yang didengarinya sejak pulang ke tanah air minggu lalu setelah tamat pengajian. Hebat hujah ustaz ini tentang rumah tangga, penuh hikmah. Latifah tertarik dengan setiap kata-kata ustaz ini, sesekali diselangi dengan dalil-dalil Quran dan hadis.
"Kita mestilah menghargai setiap perbuatan dan pengorbanan isteri kita. Kerana mereka bertarung nyawa membesarkan anak-anak kita, mendidik anak-anak kita ke arah jalan yang benar..." bibir Ustaz Hafizul Alami mengucap kata sambil tersenyum.

     Hatinya tidak tertahan. Diangkat mukanya untuk melihat wajah si empunya suara. Seraya dia mengangkat wajahnya, Latifah terkejut. Kaget. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Air matanya mula mengalir laju. Suaranya terketar-ketar.. Benarkah apa yang aku lihat ini. APAKAH SIFAT SEBENAR USTAZ INI?? APA AGENDA USTAZ INI?? SEORANG PENDUSTA?? PENIPU?? Arghhhh..
   
    Latifah duduk termangu-mangu keseorangan. Suara tazkirah tadi seolah-olah lenyap daripada kotak fikirannya. Belum pernah matanya silap. Sejak satu kejadian buruk yang berlaku di Mesir, mata Latifah seolah mendapat satu kuasa yang hebat, matanya seakan dapat melihat wajah seseorang itu berdasarkan sifat atau tingkahnya. Pandangan matanya terhadap Ustaz Hafizul Alami tersangatlah pelik. Yang dilihatnya tadi seekor lembaga besar berkepala kambing hitam berkurta  sedang melontarkan tazkirah. Bukan lah Ustaz Hafizul Alami seperti mana mata jemaah lain mentafsirkan wajah ustaz itu. 

     Lazimnya, begitulah keadaan Latifah. Setiap orang yang mempunyai niat tersindiri, pasti akan dikesan awal oleh mata Latifah. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang sedang menimpanya. Kasyafkah atau Istidrajkah? Entah, dia sendiri keliru. Dia sendiri menyedari kesilapannya dulu. Mungkin anugerah ini untuk dia membetulkan kesilapan lalu atau pengajaran kepadanya agar lebih bersyukur dengan hidup. Dia keliru. Latifah terlena sehinggalah bahunya dicuit seseorang untuk menunaikan solat Isyak.
  "Allahu akbar," imam bertakbir.
 
    Latifah melangkah keluar daripada ruang solat wanita menuju ke ruang wudu'. Mengambil wudu'?? Tidak. Latifah tidak sanggup untuk berimamkan lembaga besar berkepala kambing. Ataupun Ustaz Hafizul Alami itu. Kereta Myvi putih dipandu meninggalkan ruang parkir masjid. Dalam hatinya terus terdetik, aku mesti siasat ustaz ini.

InsyaAllah..

TITIK HITAM PENDOSAWhere stories live. Discover now