-9-

325 32 41
                                    

Memandangi Ara dalam keadaan begitu adalah antara perkara yang paling tidak disukai Eiiden. Walaupun Dr. Rade mengatakan bahawa gadis tersebut tidak ada apa-apa selain daripada sedikit luka dan lebam serta berada dalam keadaan terkejut, tetap sahaja mereka berasa risau kerana mereka tahu insiden tersebut bukanlah satu kejadian yang rawak. Ada sesuatu yang sedang berlaku.

Dan tidak dapat tidak ia pasti berkaitan dengan kelahiran Ara sebagai Yang Terpilih!

Aiiden sudah beberapa kali menekapkan telapak tangannya ke arah dahi Ara dan setiap kali pandangan mereka bertembung, tidak ada kata yang kedengaran melainkan satu keluhan berat yang menzahirkan rasa gusar yang membuak-buak.

Ara adalah tanggungjawab mereka!  Itu adalah satu hal yang pasti. Bukan lagi kerana mereka melunaskan misi dan janji seperti mana apa yang ditanamkan kepada mereka oleh Tetua Myn lama dulu tetapi kini rasa kebertanggungjawaban itu semakin kuat kerana menyedari Ara adalah keluarga mereka. Maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan Ara selamat dan boleh menjalani kehidupan sama seperti orang lain.

Tiga orang anggota berpakaian separa seragam dengan lambang khas pasukan keselamatan baru sahaja menyelit dari sebalik daun pintu dengan dihantarkan oleh Rein tatkala dua adik beradik kembar itu sampai ke anak tangga terakhir yang menghubungkan lantai atas dengan tingkat bawah.

Ryu dalam keadaan paling gelisah yang pernah dilihat Eiiden kelihatan mundar-mandir dengan sebelah tangannya mencekak pinggang sementara satu lagi mengurut dahi manakala yang lain-lain hanya senyap.Atau lebih tepatnya masih terkejut dengan kejadian  tidak masuk akal tersebut.

" Ara? " N bertanya sebaik sahaja Eiiden menyertai mereka melabuhkan punggung di atas permukaan sofa yang berderet di ruang tamu tersebut.

" Dia tidak apa-apa. Cuma terkejut sedikit. Dr. Rade menyuntikkan dos ubat tidur supaya Ara boleh berehat lebih lama. "

" Macam mana kita terangkan kepada Ara apabila dia bangun nanti? "

Vixx pula mencelah sambil tangannya mengeluarkan jaket jeans biru kusam yang sengaja disorokkan daripada pihak keselamatan itu lalu meletakkannya ke atas meja.

Mark yang tidak banyak berkata-kata itu mengerutkan keningnya dengan rasa tidak suka apabila bau yang amat dikenalinya itu menyeruak ke dalam indera baunya sebaik sahaja jaket itu tergeletak ke atas meja.

Bau seorang Lycan. Alfa.

" Itu. " Juih Ken ke arah jaket tersebut "Ada penjelasan logik? "

Aiiden senyap sahaja tetapi matanya mengikuti arah pandangan abangnya yang menerawang jauh.

" Aku yakin koordinat yang dihantarkan kepada aku tu dari dia." Begitu sahut Eiiden.

" Daripada telefon pakai buang. " Mark pula menyampuk pantas dan mendengar sahaja kata-kata pemuda itu Eiiden kembali berkerut.

" Kalau dia tidak ada, kita tidak tahu apa yang akan menimpa Ara. Hanya sahaja masalahnya adalah, siapa dia dan mengapa dia menyelamatkan Ara secara senyap-senyap begitu? "

" Itu satu hal. "

Ken mulai ikut bicara setelah menyudahkan perbualannya dengan seseorang dihujung talian sana.

" Masalah lain adalah siapa yang menculik Ara dan bagaimana dia boleh menyerupai Ryu pula? "

" Berkenaan dengan peluru yang kita temui di tempat tersebut. "  Rein mencelah" Aku akan bawa ke pusat penyelidikan untuk ujian balistik dan kimia. "

" Betulkah tindakan kita tidak melibatkan pasukan keselamatan dalam hal ni,  Eiid? "

"Buat masa sekarang memang tidak perlu. Rahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Dan Ken.. " Eiiden menoleh kearah pemuda berambut hitam itu " Mungkin kita akan perlukan Istana Besar dan semua hubungan yang ada untuk mengesan pemuda tersebut."

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now