-13-

290 33 21
                                    

Tidak masuk akal memang  bagaimana Ara begitu mudah untuk mengambil keputusan bagi mempercayai Andra dalam tempoh masa yang boleh dikatakan terlalu singkat tetapi dengan kejadian yang berlaku kepadanya serta kenyataan mengejutkan menghentamnya bertubi-tubi, dia sememangnya tidak mempunyai pilihan lain selain menggantungkan kepercayaannya kepada pemuda tersebut.

Lebih daripada itu, Ara juga sedar bahawa hidupnya tidak akan pernah sama lagi seperti sebelum ini dan akan terlalu banyak hal yang perlu dilepaskannya termasuklah seluruh keluarganya di Rumah Agam dan Istana Besar.

Berdasarkan keyakinan bahawa dia perlu melakukan hal tersebut bagi mengelakkan perkara yang lebih teruk daripada berlaku menguatkan tekad Ara untuk mencari sendiri Kitab Mirria walapun Andra terang-terangan menghalangnya.

Andra. Pemuda penuh misteri yang muncul entah dari mana tepat ketika dia berada dalam keadaan yang sangat terdesak itu diakui Ara merupakan kunci kepada pencarian tentang siapa dirinya yang sebenar. Ada ketikanya Ara menyedari bahawa pemuda itu seperti lebih mengenalinya berbanding dirinya sendiri.

Malahan tentang bagaimana Ara memiliki kemampuan untuk berada di suatu tempat hanya dengan membayangkan tempat tersebut di dalam fikirannya ataupun tentang bagaimana dia berkemampuan untuk mendengar suara-suara aneh bahkan fikiran orang lain.

Dan setiap kali Ara bertanya akan hal tersebut, jawapan yang diperolehinya hanyalah sekilas senyuman yang merekah dan aneh sekali kerana sepertinya Ara pernah melihat senyuman itu entah dimana.

Beralih daripada Andra, fikiran Ara menyusur pula kepada satu lagi 'Ara' di Rumah Agam sana. Raven. Begitu Andra menamakan susuk tubuh gadis tersebut dengan riak wajah yang jelas-jelas menyimpan kebencian dan daripada gerak-geri Andra, Ara tahu pemuda tersebut mengenali android bernama Raven itu.

Raven. Prototaip android termaju yang dihantar senyap-senyap sebagai sauh terakhir dengan misi untuk menghapuskan mereka yang gagal dalam menyempurnakan misi Empayar.

Saya telah memprogramkan Raven agar menyerupai Ara dan kerana itulah saya terpaksa mereplikasi sedikit ingatan Ara dan dan memasukkan ke dalam program memori Raven.

Kata-kata Andra bagi menjawab pertanyaan Ara tentang kelakuannya meletakkan jari telunjuk ke dahinya itu benar-benar membuatkan Ara pantas menjauhkan diri daripada pemuda itu dengan penuh waspada dan hairan. Namun jauh disudut hati Ara, dia tahu pemuda tersebut tidak berbohong.

Pertama kali diperkenalkan kepada istilah android, Ara sebenarnya hendak tertawa namun keseriusan wajah Andra mematikan niatnya serta-merta. Melalui Andra, Ara mengetahui bahawa android  merupakan teknologi canggih yang pada mulanya adalah semata-mata bertunjangkan inovasi buruh bagi menggantikan tenaga buruh sedia ada atas alasan kecekapan dan juga kos seperti upah dan perlindungan ataupun kebajikan pekerja yang perlu diambil kira oleh setiap majikan.

Dan perkara yang paling mengarut didengarnya daripada Andra adalah tentang bagaimana  Raven serta para pembunuh upahan yang ingin menamatkan riwayat Ara adalah sebenarnya merupakan prototaip android ciptaan Ken, Ryu dan Rein yang berjaya dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab lalu menggunakan teknologi itu untuk mencipta manusia super yang digunakan untuk teknologi militari pula jauh daripada tujuan asal penciptaan prototaip tersebut.

Penjelasan Andra yang panjang lebar tentang teknologi tersebut seperti sahaja pemuda itu menghafalnya di luar kepala kemudiannya membawa Ara kepada istilah Shiya dan Empayar yang jelas sekali diceritakan oleh Andra dengan raut wajah tegang berbaur kebencian.

Shiya. Sekumpulan pembunuh upahan terlatih yang ditugaskan untuk menjalankan misi sulit Empayar. Tentera elit Empayar yang sangat sukar ditewaskan dan antara tentera terbaik Empayar adalah empat orang Shiya yang diberikan gelaran No. 4,No.7 serta Si Kembar Olga. Namun, selain daripada itu-alasan lain mengapa keempat-empat susuk pembunuh itu menjadi Shiya terbaik Empayar adalah kerana mereka merupakan susuk yang wujud dengan teknologi gabungan antara kekuatan robotik dalam tubuh hidup yang telah diubah suai ingatan mereka!

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now