BAB 5

7.3K 348 32
                                    

Puan Mardhiah resah memikirkan perihal anaknya. Kelmarin bukan main gelisah dia menanti kepulangan Irdina dan cucu-cucunya. Selepas maghrib barulah Irdina pulang. Puas dia bertanya kemana mereka bertiga pergi, Irdina langsung tak menjawab. Dari semalam juga Irdina asyik berkurung dalam biliknya.

Pintu bilik Irdina diketuk. Tombol pintu dipulas. Tak berkunci. Puan Mardhiah melangkah masuk ke dalam bilik anaknya itu sambil mendukung Aira.

"Irdina." Panggilnya. Irdina yang berbaring di atas katil berpaling.

"Mak."

"Mak ketuk pintu bilik kamu tak dengar ke? Ni Aira cari kamu. Lapar la ni." Ujar Puan Mardhiah. Aira diletakkan di sebelah Irdina.

"Dah makan ke belum ni?"

Irdina menggeleng.

"Susukan Aira dulu. Dah lapar sangat dah dia." Ujar Puan Mardhiah.

Irdina bingkas bangun dari pembaringannya lalu menyelak sedikit bajunya. Aira terus menyambar dadanya.

"Kenapa tak makan lagi? Balik dari klinik siang tadi kamu langsung tak makan. Tak lapar ke?"

"Nanti Irdina makan la mak."

"Yelah. Jangan tak makan pula. Sakit perut tu nanti."

Irdina hanya senyum hambar. Sakit lagi hatinya sekarang sampai tak lalu nak makan.

"Aqif mana mak?"

"Ada kat bawah. Tengok kartun lah apa lagi."

"Mak dah makan ke?"

"Dah. Mak makan dengan Aqif tadi."

Irdina kembali terdiam. Aira yang sedang menyusu diusap lembut kepalanya.

"Kamu pergi mana semalam? Siapa yang hantar kamu balik?" Puan Mardhiah bertanya.

Irdina diam. Hendak berkata jujur atau tidak? Dia buntu. Ikutkan hati dia tidak mahu bercerita. Risau ibunya terkejut pula.

"Keluar dengan kawan, mak."

"Kawan? Siapa? Hani dengan Dilla ke?" Tanya Puan Mardhiah dengan dahi berkerut. Setahu dia hanya dua orang gadis itu saja yang berkawan rapat dengan anaknya.

"Err.. ha'ah mak." Bohong Irdina. Wajah ibunya tak berani dipandang.

"Eh dah cuti semester ke diorang tu? Bukan ke baru dua bulan lepas diorang dah balik ke kolej?" Soal Puan Mardhiah kehairanan.

Irdina senyum kekok.

"Cuti mak."

"Cuti apa?"

"Err cuti..."

"Mama."

Belum sempat Irdina menghabiskan ayatnya, Aqif muncul di muka pintu sambil menenyeh matanya. Irdina menarik nafas lega.

"Nak apa ni Aqif cari mama?" Puan Mardhiah bertanya cucunya. Aqif menapak masuk, lalu memanjat katil. Kepalanya terus direbahkan pada paha Irdina yang duduk bersila itu.

"Kenapa ni? Adik tengah minum susu ni. Aqif nak apa?" Irdina turut bertanya. Rambut pendek Aqif diusap lembut.

"Nak mama."

"Nak mama?" Irdina tergelak lucu.

Puan Mardhiah tersenyum saja. Dua-dua manja dengan Irdina.

"Kenapa tak tengok kartun?"

"Dah habis." Jawab Aqif sambil menenyeh matanya.

"Nak tidur la ni? Mengantuk?"

Aqif mengangguk. Kepala disondol ke perut Irdina.

RAID IRDINAWhere stories live. Discover now