"Tidur la sayang, mama mengantuk ni." Terpejam-pejam mata Irdina sambil bercakap. Menahan rasa mengantuk yang senak menghurung.
Aira yang masih bergolek di atas katil hanya senyum dan bermain dengan mainan kegemarannya. Jarum jam sudah berganjak ke angka 11:00 malam. Tapi masih tiada tanda-tanda Aira akan tidur. Segar-bugar mata si comel itu. Masih aktif.
Irdina menguap. Berair mata menahan rasa mengantuk.
Seketika dia memandang Raid Ehsan di sebelah yang sudah pun terlena. Dengkuran halus lelaki itu turut kedengaran. Aira yang berada di tengah-tengah antara dia dan Raid Ehsan sesekali mencuit papanya itu. Namun Raid Ehsan seperti tidur mati saja. Biarlah, malas Irdina hendak mengambil tahu. Mungkin penat melayan karenah anak-anak siang tadi.
"Sedap je tidur. Jaga anak tak nak." Irdina mengomel.
"Depan mak bukan main rajin lagi..." Bertambah omelan Irdina.
Tubuh Aira diangkat dan dipangku kemas. Irdina mendodoi lembut dengan alunan zikir. Aira masih sama seperti tadi. Tiada tanda-tanda dia akan terlena. Sesekali bibir kecil itu mengomel sesuatu yang langsung Irdina tidak faham. Tetapi Irdina layankan saja anak daranya itu.
"Sayang, kenapa tak nak tidur ni? Tidur la." Lembut suara Irdina. Bibir sejemput Aira tersenyum polos. Rambut Irdina pula ditarik.
"Sakit lah."
"Purfff!"
"Main air liur lagi?" Irdina sengaja menjegil mata. Aira tak takut, wajah Irdina pula diraba-raba dengan jari-jemari kecilnya yang comel dan tembam itu.
"Tidur la sayang.. Aira... Dah lewat ni, kenapa tak nak tidur lagi? Tak mengantuk ke?" Tanya Irdina.
Tetapi Aira hanya tertawa. Irdina mengeluh. Dia bangun pula. Sambil mendukung Aira dia mendodoi lagi. Punggung Aira ditepuk lembut. Lama begitu, Aira mula layu matanya. Dan akhirnya sudah terpejam rapat.
Irdina menarik nafas lega. Perlahan-lahan tubuh Aira diletakkan ke dalam baby coat. Namun tak sampai sesaat, Aira mencelik matanya kembali.
"Shhh." Irdina membuat isyarat supaya si comel itu diam.
Wajah Aira mula berkerut-kerut dan tangisannya mula keluar. Irdina berdecit seraya menghembus nafas berat. Tubuh montel Aira diangkat kembali.
"Dah la jangan nangis. Dah malam ni."
Aira masih kekal begitu. Tangisannya semakin kuat. Sekali lagi Irdina menghela nafas berat. Tak pernah-pernah anaknya meragam begini.
"Sayang, dah la... Nanti papa terjaga." Ujar Irdina memujuk. Pun begitu Aira masih sama. Menangis dengan lebih lantang. Irdina memujuk lagi.
Tangisan Aira yang kuat itu membuatkan Raid Ehsan terjaga dari lenanya. Berkerut dahinya melihat Irdina yang masih mendukung Aira yang sedang menangis.
"Kenapa Aira menangis tu?" Serak basah suara Raid Ehsan kedengaran di gegendang telinga Irdina.
Irdina berpaling. Rasa bersalah mula muncul dalam hatinya kerana telah membuatkan lelaki itu terjaga dari lenanya.
"Sorry buat awak terjaga. Aira dari tadi tak nak tidur. Ni tiba-tiba menangis pulak." Adu Irdina.
Raid Ehsan bangun dari pembaringannya. Hilang rasa mengantuknya.
"Sini Aira tu."
Tanpa membuang masa Irdina terus menyerahkan Aira yang sedang menangis itu pada Raid Ehsan. Semakin menjadi-jadi pula tangisan si comel itu.
"Kenapa ni anak papa menangis? Stop stop, jangan menangis dah." Raid Ehsan memujuk. Irdina duduk di birai katil seraya itu nafas beratnya dihembus lagi. Bebola matanya hanya merenung Raid Ehsan yang cuba menenangkan Aira.
YOU ARE READING
RAID IRDINA
RomanceKerana satu wasiat dari ibunya Raid Ehsan sanggup pulang ke negara kelahirannya. Menuntut wasiat yang diamanahkan padanya. Kerana satu janji dan juga amanah dari kakaknya, Sara Irdina sanggup mengetepikan cita-citanya demi janji yang sudah dibuat it...