Kucupan Mentega Kacang

15 7 10
                                    

Pukulannya bertalu-talu dan semakin kuat. Andai sahaja tubuh pintu itu bukan diperbuat daripada kayu mungkin ia sudah tidak utuh lagi. Dirinya mulai tercungap-cungap, peluh masin didahinya tergelincir meleleh licin. Tangannya memerah berdenyut dan pintu itu masih berkunci ketat dari luar. Suara wanita mengerang dan lelaki berteriak dari balik pintu merupakan muzik latar buatnya malam itu. Ia berakhir dengan samar bayang-bayang dari celah bawah pintu berserta desahan dan tangisan kecil.

Matanya menyepet dan terlelap keletihan. Anak kecil itu akhirnya menyerah kalah selepas melihat lelaki asing yang bukan ayah kandungnya itu bergelut dengan ibunya dan merabanya dibahagian yang dirasakannya tidak wajar.

“Hei, berapa lama lagi kau mahu tidur?” Dahinya terasa ditunjal dengan jari. Penglihatannya berpinar saat dibuka dan Teja sudah berdiri tersengih dihadapan tirai wajahnya.

“Pukul berapa?”

“Lagi lima minit waktu rehat kau habis. Baik kau bangun cepat sebelum Encik Scott nampak.” Ujar Teja selamba.

“Aku nak kau basuh muka biar celik. Aku tak boleh tinggalkan bahagian kasir lama sangat. Cepat, sekejap lagi mulai waktu makan malam.” Bebel Teja pada dirinya sebelum hilang ke bahagian depan kafe.

Ilma hanya mengangguk dan berdehem kecil mendengar omongan Teja. Masuk sahaja kedalam tandas pantulan cermin itu memandang lurus kearahnya. Seolah-olah memperlecehkan dirinya dalam senyap. Dahinya berombak apabila wajah dari peristiwa dua puluh tahun yang lalu itu kini sedang merenungnya dalam-dalam. Entah mengapa kini acapkali dia melihat pantulan wajahnya sendiri dia merasa mual. Mungkin kerana mereka terlalu persis. Apa boleh buat, mereka berdua adalah ibu dan anak. Bezanya cuma dia masih lagi berjasad.

“Ilma? Cepatlah, tak cukup tangan ni!” Laungan Teja bergema dari arah pantri dan refleks dia segera keluar daripada tandas.

Malam itu merupakan malam yang panjang meski sudah melepasi waktu kemuncak. Pelanggan keluar dan masuk tak terkira umpama tak menyurut. Dua jam lagi waktu bekerja tukang masak didapur akan berakhir dan mereka harus kembali semula pada jam sembilan pagi keesokkannya. Selebihnya malam itu hanya tinggal Teja sebagai tukang kasir dan dirinya sebagai barista. Ia satu usaha tolol dari Encik Scott untuk berjimat cermat.

“Cik Barista, mengantuk lagi ke?” Cuit Teja mengusik. Ilma hanya tersenyum nipis.

“Espresso?” Pelawanya.

Kening Teja terangkat mendengar pelawaan daripada Ilma itu. Semua orang tahu Ilma tak begitu banyak bicara. Tapi semua orang juga tahu dia merupakan salah seorang barista yang paling digemari dalam kalangan peminat kopi di pekan itu.

“Caffe Latte, boleh?” Pinta Teja. Ilma hanya mengangguk sambil mula menimbang biji kopi. Tengah malam mulai tiba, pelanggan juga sudah mulai susut dan iringan lagu jazz semakin menyendu. Waktu berdetik perlahan. Langit hari itu gelap tiada bulan, tiada bintang. Kelabu pekat dan hujan rintik-rintik mulai datang bertandang. Kelibat sosok anak muda berlari dalam kumpulan ke bar berdekatan menarik perhatian Teja. Dia tersengih kearah Ilma.

“Kau boleh menari?” Getus Teja tiba-tiba. Ilma menggeleng. Dirinya masih sibuk menyiapkan kopi buat Teja. Tangannya jauh mencapai kotak susu. Menuangnya dan memanaskannya. Membuat buih susu.

“Seriuslah?”

“Ya.” Sahut Ilma mendatar sambil meletakkan secangkir Caffe Latte dihadapan Teja. Mengetahui bahawa Ilma benar-benar serius mengenai dirinya tidak tahu menari memberikan Teja satu idea untuknya malam itu.

“Kau mahu menari?” Soal Teja lagi.

“Untuk apa?” Jawab Ilma spontan. Entah mengapa jawapan itu membuatkan Teja gelak besar. Cangkirnya diletakkan perlahan-lahan supaya kopinya tidak tumpah. Dia masih mengekek. Matanya berair dan pipinya jelas memerah. Ilma bingung melihat reaksi Teja itu.

Tergelincirnya Bebola Api UsangWhere stories live. Discover now