30.0 : Ayuh Terbang ke Orbit!

27 3 0
                                    

HARI yang di tunggu-tunggu oleh sekalian 50 juta rakyat Malaysia telah tiba. Wang cukai mereka sekali lagi digunakan untuk misi ke angkasaraya. Seusai sahaja menunaikan solat subuh dan solat sunat hajat memohon diberi kemudahan, Nora Yuhanis mengadakan sedikit stretching dan senaman ringkas. Dia juga sempat merakamkan beberapa salinan ucapan secara video-on-demand kepada ibunya, kru-kru stesen angkasa GEMILANG-01, rakan-rakan sekerjanya, pemimpin-pemimpin tertinggi serta kepada seluruh rakyat Malaysia amnya. Hidupnya akan digadaikan untuk negara. Jadi, dia perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

Pelbagai perasaan sedang bergelodak di lubuk hatinya. Perasaan gementar, gemuruh, teruja, gembira dan sedih bersilih ganti muncul di minda dan hati. Dia merasa gemuruh dan gementar kerana masih merisaukan risiko yang bakal dihadapnya terutamanya ketika sembilan minit pertama ke angkasaraya nanti. Perkara ini seperti yang berlaku kepada tragedi Challenger pada tahun 1984. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Letupan, kebocoran, kebakaran, pesawat hancur diudara sebelum proses berlabuh di ISS kerana bertembung dengan sampah angkasa, segala kemungkinan masih bermain-main dimindanya. Namun pada suatu sudut, dia masih positif. Nora Yuhanis yakin dan teruja untuk meneruskan misi program angkasa ini. Jikalau apa-apa terjadi di sepanjang perjalanan pergi atau pulang sekalipun, dia telah berniat bahawa dia sedang berusaha untuk melakukan ibadah dan segalanya dilakukan dengan niat kerana Allah SWT.

Pegawai perubatan datang ke setiap bilik kru-kru utama untuk membersihkan seluruh anggota badan dengan cecair sanitizer dan antiseptik untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman samada ketika sebelum waktu pelancaran, ketika proses pelancaran ke orbit dan ketika sedang mengorbit bumi. Kemudian, kru-kru utama akan keluar daripada bilik hotel masing-masing dengan berpakaian sut angkasawan dan menurunkan tandatangan di pintu bilik, sebuah tradisi angkasawan yang telah dilakukan sejak sedari ketika Yuri Gagarin menjadi angkasawan pertama lagi.

Mereka bertiga akan berkumpul dan mengadakan satu mesyuarat ringkas terakhir tentang persiapan dan juga mengingatkan antara satu sama lain tentang perkara-perkara yang penting semasa misi sedang berlangsung nanti. Mereka juga turut akan berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum bergerak ke sidang media. Kemudian, mereka akan mengadakan satu sidang media kali terakhir. Sidang media yang dihadiri oleh pegawai ROSCOSMOS, NASA, keluarga, pemimpin-pemimpin tertinggi, kru-kru stesen angkasa GEMILANG-01, media tempatan mahupun media antarabangsa itu akan dihadangi oleh satu lapisan plastik lutsinar antibakteria. Plastik lutsinar antibakteria akan menghadangi apa-apa virus mahupun bakteria asing daripada melekat kepada angkasawan yang telah di sanitasi.

Dapat dilihat juga Aunty Anne yang duduk di barisan paling hadapan, hanya tersenyum sambil mengambil beberapa keping gambar anaknya yang sedang menjawab beberapa soalan wartawan. Gambar diambil dengan menggunakan telefon pintarnya. Hampir sahaja Nora Yuhanis menitiskan air matanya apabila terpandangkan ibunya yang sudah lama tidak ditatapnya secara berdepan namun dia harus tampak kuat dihadapan dengan para wartawan. Nora Yuhanis sempat menjawab beberapa soalan yang dilontarkan oleh wartawan. Beliau menggunakan tiga bahasa yang berbeza iaitu Bahasa Melayu dengan wartawan Malaysia, Bahasa Inggeris dengan wartawan antarabangsa barat dan bahasa Rusia dengan wartawan Rusia. Skil komunikasi bahasa Rusia nya semakin membaik dari hari ke hari.

Sebelum bertolak dengan menaiki bas, dia sempat berhadapan dan menatap seketika wajah ceria ibunya. Ibunya yang hanya tersenyum hanya menunjukkan isyarat bagus sambil kedua-duanya menitiskan air mata. Air mata yang diempang sejak sedari tadi akhirnya jatuh mengalir ke pipi. Ini bukan satu perjalanan biasa ke mana-mana tempat di bumi. Ini adalah satu misi bunuh diri. Jikalau apa-apa bakal terjadi di angkasa kelak, itulah momen-momen terakhir untuk Aunty Anne dapat menatap wajah anaknya. Di sebalik lapisan plastik lutsinar, Komander Andes Shkaplerov dan juga flight attendant Marie Claire berjanji dengan menggunakan bahasa isyarat kepada Aunty Anne untuk menjaga anaknya ketika perjalanan pergi dan ketika berada di ISS nanti.

Sebelum melangkah lebih jauh ke dalam perut bas, kru-kru utama memberikan tabik hormat kepada jeneral, pegawai, saintis, pensyarah yang mengajar dan angkasawan yang lain. Seusai itu juga, kesemua delegasi dari Malaysia melambaikan tangan mereka tanda ucapan selamat jalan. Perjalanan ke tapak pelancaran daripada Baikonur Cosmodrome mengambil masa selama setengah jam perjalanan.

Kru-kru utama akhirnya tiba di tapak pelancaran kapal pengangkut Soyuz. Kapal pengangkut Soyuz tampak megah berdiri menghadap ke langit, dengan badannya berwarna keputih-putihan lembap. Langit pada ketika itu kelihatan sungguh cerah dengan sedikit berawan dengan suhu musim luruh sekitar 5 darjah celcius. Bendera Malaysia turut ditampal diluar badan kapsul Soyuz berkenaan, megah terpampang di samping bendera negara Rusia dan juga bendera Amerika Syarikat. Komander Andes Shkaplerov adalah yang pertama menaiki tangga diikuti flight attendant Marie Claire dan Nora Yuhanis dibahagian bawah sekali, disusun mengikut ketinggian kru. Mereka melambai-lambai tanda proses perjalanan akan dimulakan sebentar lagi. Wartawan dan orang awam hanya dibenarkan melihat sejauh satu kilometer dari bahagian tapak pelancaran terbabit.

Komander Andes Shkaplerov masuk ke pintu utama kapsul Soyuz, diikuti flight attendant Marie Claire dan akhir sekali, Dr. Nora Yuhanis. Masing-masing mengambil tempat duduk yang telah ditetapkan dan pintu kapsul Soyuz ditutup dengan kemas secara automatik. Mereka akan duduk di dalam kapsul Soyuz selama 45 minit sebelum proses penujahan berlaku. Komander Andes Shkaplerov membuka segala skrin yang ada dan mengarahkan flight attendant Marie Claire untuk memeriksa setiap komponen secara digital di dalam kapsul Soyuz berkenaan. Segalanya berada pada keadaan yang terbaik. Tiada barang yang tercicir. Nora Yuhanis pula membuka buku nota dan membuat sedikit catatan tentang bacaan-bacaan seperti kadar tekanan di permukaan, ketinggian tapak pelancaran dari aras laut serta suhu di dalam kapsul Soyuz berkenaan. Gerak geri mereka dipantau oleh CCTV yang dipasang di dalam kapsul Soyuz berkenaan dan segalanya berjalan dengan lancar.

Kini, tinggal beberapa minit sebelum waktu pelancaran. Mereka ingatkan oleh menara kawalan di Baikonur Cosmodrome untuk mengetatkan tali pinggang keselamatan sebelum proses penujahan ke angkasa dimulakan. Semua sistem beroperasi bermula daripada bahagian enjin, bahagian penujah, bahagian kargo dan juga bahagian dok kapsul Soyuz berada dalam keadaan optimum. Bunyi deruan enjin yang kuat mula kedengaran daripada bahagian bawah kapsul Soyuz berkenaan. Bunyi bising bukan setakat daripada deruan bahan bakar, malahan bunyi-bunyi sensor tentang tanda-tanda kapsul akan berlepas telah semakin kuat daripada bahagian dalam. Dr. Nora Yuhanis sempat membaca doa naik kenderaan dan juga selawat ketika proses kira turun (count down) dimulakan oleh pusat kawalan di Baikonur Cosmodrome.

"Dear crew mission Soyuz-TMA-M 119, may the odds be ever in your favor. Good luck!"

Pusat kawalan di Baikonur Cosmodrome mengucapkan selamat jalan kepada kru misi Soyuz-TMA-M 119 dan kira turun dimulakan.

"Ten, nine, eight, seven, six, five, four, three, two, one."

"Liftoff!"

Kru misi Soyuz-TMA-M 119 mula berlepas daripada tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Khazakstan dan disaksikan secara langsung oleh 50 juta rakyat Malaysia menerusi stesen tv kabel utama, Facebook live, Twitter live dan di laman web rasmi NASA.

Misi Malaysia ke Angkasaraya diteruskan untuk kali yang kedua! Ayuh kita terbang ke orbit!

***

***

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Awanama KosmosWhere stories live. Discover now