44.0 : Senario Kes Yang Teruk

28 2 0
                                    

KEADAAN di permukaan bumi semakin hari semakin genting. Masyarakat diseluruh dunia sedang diselubungi dengan perasaan ketakutan kepada sesuatu yang tidak boleh dilihat. Tiada simpton, tiada demam, tiada kesakitan. Yang tinggal hanyalah satu pekan yang kosong tanpa ada sesiapa. Beberapa orang pemimpin, artis, orang kenamaan dan juga anggota keselamatan juga turut di laporkan hilang. Makhluk Awanama ini menyerang tanpa mengira pangkat, latar belakang, bangsa, jantina mahupun umur. Tidak ada yang terkecuali. Populasi bumi semakin hari semakin berkurangan akibat serangan makhluk 'Awanama Kosmos' ini. Segala-galanya menjadi tidak terkawal dan satu langkah drastik perlu dilakukan untuk mengekang kemaraan makhluk super bahaya daripada terus meragut lebih banyak nyawa.

Oleh itu, organisasi kesihatan sedunia dan juga kesatuan sedunia mencadangkan agar satu tindakan drastik perlu dilakukan bagi mengekang seterusnya membunuh makhluk awanama berkenaan. Antaranya adalah menembak beberapa kawasan di permukaan bumi dengan menggunakan sinaran radiasi berintensiti tinggi. Namun, pendapat ini ditolak mentah-mentah kebanyakan pemimpin dunia yang lain. Pendedahan kadar sinaran radiasi yang cukup tinggi mampu membunuh kesemua makhluk Awanama Kosmos itu, seperti yang telah dibuktikan dalam kajian yang beberapa universiti ternama dunia. Namun, ada berita yang kurang enak terpaksa dihadam oleh masyarakat dunia.

Jikalau sinaran radiasi itu dilepaskan, seluruh penduduk dunia perlu bersedia untuk berkoloni samada di bawah permukaan bumi ataupun di atas angkasaraya selama sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh puluh tahun ke hadapan. Ini kerana, tubuh badan manusia tidak mampu untuk menerima kadar pancaran sinaran radiasi yang cukup tinggi. Jika tubuh manusia terdedah kepada sinaran radiasi pada kadar yang cukup tinggi tanpa sebarang perlindungan terutamanya daripada tembok yang diperbuat daripada plumbum, manusia akan mengalami simptom-simptom keracunan radiasi. Keracunan radiasi terjadi akibat daripada badan manusia yang terdedah kepada tahap radiasi yang terlampau lama pada satu kadar intensiti yang amat kuat.

Antara simptom-simptom yang bakal dihadapi oleh manusia adalah seperti pendarahan pada organ dalaman yang sangat teruk, kebakaran pada bahagian dalaman, kehilangan cecair dalam badan pada kadar yang tinggi dan juga kematian secara mengejut. Oleh itu, pelepasan tenaga sinaran radiasi ini merupakan langkah terakhir yang boleh dilakukan sekiranya sudah tidak ada lagi langkah yang boleh dilakukan untuk menangani masalah serangan makhluk Awanama Kosmos ini.

***

"Kapten Daeng, kalaulah misal kata WHO membuat tindakan drastik dengan menyuruh senjata nuklear beradiasi tinggi dilepaskan untuk membunuh makhluk ini, apakah yang akan berlaku kepada 50 juta rakyat Malaysia?" Joseph Mading anak Stanley bertanya pendapat Kapten Daeng Mustakim.

"Okay, dia macam ni. Worse case scenario. Kalaulah misal kata mereka buat keputusan drastik tu, rakyat Malaysia mempunyai dua pilihan, yakni pilihan pertama, mereka perlu berlindung di setiap bunker yang telah ditetapkan oleh agensi kerajaan ataupun yang dibina oleh syarikat-syarikat persendirian. Pilihan kedua pula, mereka mempunyai peluang untuk terbang ke stesen angkasa ini untuk menyelamatkan diri. Tapi..," kata-kata Kapten Daeng Mustakim terhenti seketika.

"Tapi apa?" Joseph Mading dan kru-kru stesen angkasa GEMILANG-01 leka mendengar penjelasan daripada Kapten Daeng Mustakim.

"Let say lah, kapasiti maksimum kapal angkasa ni hanya boleh muat 5,500 orang pada satu-satu masa, lagi 49,994,500 rakyat Malaysia nak lari ke mana?" Kapten Daeng Mustakim mula menjawab persoalan sebentar tadi dengan satu lagi persoalan lagi.

Masing-masing yang sedang mendengar hujahan Kapten Daeng Mustakim hanya mengaru-garukan kepala masing-masing kerana mereka tidak dapat memikirkan sehingga ke tahap itu.

"Sebab itulah setiap negeri mempunyai beberapa buah bunker yang tertanam jauh dibawah perut bumi. Bunker-bunker ini terletak di kawasan pinggir hutan bagi memudahkan proses pembinaan semula kehidupan selepas cemaran radiasi ini semakin reda. Itu belum masuk lagi dengan bunker-bunker milik persendirian. Tapi..," sekali lagi kata-kata Kapten Daeng Mustakim terhenti seketika sambil memandang tepat ke wajah kesemua kru.

"Tapi apa lagi, Kapten?" Samoi Rasal yang pada mulanya diam dan fokus mendengar segala penghujahan Kapten Daeng Mustakim tiba-tiba bersuara daripada bahagian belakang.

"Keberadaan bunker-bunker ini pun masih belum mampu untuk menampung keseluruhan penduduk negara ini jika dicampurkan kesemuanya," Kapten Daeng Mustakim hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.

"Habis, bagaimana dengan baki mereka yang tidak dapat berlindung di dalam bunker, Kapten?" Thivaran Nagaradjah melemparkan persoalan yang menimbulkan lebih banyak persoalan di dalam fikiran mereka.

Kapten Daeng Mustakim hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Tidak ada ayat mahupun ungkapan yang mampu diungkapkannya pada waktu ini.

"Tapi Kapten, tidak ada cara lainkah yang boleh digunakan untuk menghapuskan makhluk ini, like, jerangkap samar ataupun menggunakan haba untuk memburu mereka?" Lim Wei Jin pula bertanyakan satu soalan yang agak logik akal juga.

"Setakat ini, berdasarkan pembacaan saya, belum ada. Kita berhadapan dengan sejenis makhluk yang tidak nampak dengan mata kasar dan juga pintar. Jadi, cara menghapuskannya juga perlulah dengan menggunakan satu senjata yang 'pintar' dan 'tidak nampak'. Sinaran radiasi hanya boleh ditentukan keberadaannya dengan alatan tertentu sahaja kerana kita tidak nampak gelombang radiasi ini. Mengenai aplikasi haba dalam membunuh makhluk ini, secara teorinya boleh. Tapi, selepas melihat kepada keadaan makhluk ini yang masih boleh hidup dan survive semasa memasuki atmosfera bumi, kita tidak fikir yang ianya merupakan langkah terbaik untuk menghapuskan makhluk ini," Kapten Daeng Mustakim menjawab soalan Lim Wei Jin itu dengan panjang lebar.

"Macam mana dengan keluarga kami yang berada di kampung, Kapten?" Joseph Mading mula berasa cuak dan tidak selesa dengan segala penerangan yang diberikan oleh Kapten Daeng Mustakim.

"Joseph, ini semua adalah soal tuah. Siapa yang bertuah, pasti akan dapat menyelamatkan diri daripada pancaran sinaran radiasi ini." Kapten Daeng Mustakim menepuk-nepuk bahu Joseph yang seakan-akan hilang arah tuju itu.

"Apa maksud dengan perkataan 'tuah'?" Samoi Rasal seakan-akan tidak memahami apa yang sedang cuba disampaikan oleh Kapten Daeng Mustakim.

"Tuah maksud saya disini adalah mereka yang mempunyai elemen kekayaan yang luar biasa dan juga berpangkat tinggi," ringkas sahaja jawapan Kapten Daeng Mustakim.

"Jadi, macam mana dengan keluarga kami dibawah sana? Adakah Kapten tergamak melihat mereka menderita?" Azfar Faiq menaikkan suaranya. Josephine Imulok dan Dr. Nora Yuhanis sudah tersedu sedan sahaja apabila mendengarkan kata-kata Kapten Daeng Mustakim sebentar tadi.

"Tenang kalian semua. Macam ni. WHO pun belum decide apa-apa lagi tindakan susulan untuk menangani masalah ini. Macam ni lah, saya bagi jaminan kepada kamu semua. Saya akan berunding dengan pihak kerajaan menyelamatkan keluarga kamu semua dan mereka akan diberikan keutamaan untuk samada berkoloni di dalam bunker ataupun berada di stesen ini. Pilihan yang kedua itu, saya tidak jamin. Tapi, saya harap kru-kru GEMILANG-01 faham akan tugas hakiki kita disini. Faham?" Kapten Daeng Mustakim berdiri lalu berlalu pergi meninggalkan kru-kru utama yang lain di dalam kompartmen mesyuarat itu.

***

***

Ups! Gambar ini tidak mengikuti Pedoman Konten kami. Untuk melanjutkan publikasi, hapuslah gambar ini atau unggah gambar lain.
Awanama KosmosTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang