SERVER 5

12 3 0
                                    

BlackServ Lab. Tahun Infinity 30XX

Cekap jemari Zie mengendalikan panel komputer yang berteknologi tinggi itu. Anak matanya tidak lekang dari memerhatikan setiap data yang terpapar di kaca monitor hologram tersebut. Dia mengetahui bahawa nyawa Tajima dan Zaidi berada di dalam genggamannya. Berkeringat dahinya mengendalikan aliran data kedua sahabatnya itu. Jika terlewat sedikit bermakna maut bakal menjemput Tajima dan Zaidi. Beberapa masalah teknikal cuba diatasi. Sambungan data ke Hyperserv agak lemah. Ada beberapa kesilapan teknikal yang semestinya perlu diatasi oleh kumpulan ini.

Ini merupakan kali pertama baginya mengendalikan server tersebut sebagai Operator. Tugasnya amat ringkas tetapi bukannya mudah. Tugas seorang Operator adalah sebagai pemantau dan pembantu bagi User yang memasuki HyperServ. Operator akan mengendalikan sistem tersebut dari luar. Apa sahaja yang dikehendaki oleh User di dalam HyperServ akan diuruskan oleh Operator. Namun jika ianya melibatkan nyawa, tugasnya menjadi lebih mencabar. Ganjaran yang agak lumayan dijanjikan kepada Zie jika menyertai kumpulan ini untuk melumpuhkan Hyperserv. Oleh kerana desakan hidup dan mengalami miskin bandar, Zie menerima tawaran tersebut tanpa berfikir akan implikasinya sama ada buat dirinya atau pada orang lain. Sifat tamak yang bakal membutakan mata hati.

Sebuah hutan tebal, Hyperserv

Harimau berbelang merah dan bertanduk itu bersedia untuk melancarkan serangan. Menyerigai dan menderam di rengkongan. Membengis melihat hidangan lazat terhidang dihadapan matanya.

Tajima cemas. Dia sesekali menjeling pada senjata yang terlekat di tangan kanannya. Masih tidak boleh digunakan. Senjata itu hanya mampu meledakkan tembakan laser sebanyak dua kali sahaja dan memerlukan masa antara tiga hingga lima minit untuk mengecas kuasa ledakannya semula sebelum ia kembali boleh digunakan. Itu adalah kelemahan paling utama senjata itu yang perlu diatasi.

Harimau buas yang berada dihadapannya hanya beberapa meter sahaja. Ia bersedia untuk melakukan serangan. Bilah-bilah kuku runcing yang tajam mula kelihatan. Taring di rahang hadapan mula memanjang melepasi rahang bawah. Menyerigai buas. Matanya merah menyala bak saga. Harimau itu membongkokkan badannya ke hadapan. Bila-bila masa sahaja serangan dari harimau itu bakal meragut nyawa Tajima.

Secara tiba-tiba, kedua-dua telinga harimau berbelang merah itu tergerak-gerak. Gerakannya terhenti. Deraman direngkongan mengendur namun wajahnya tetap menyerigai. Ia seolah-olah terdengar sesuatu dari jarak yang cukup jauh. Seolah-olah ada sesuatu yang memanggilnya 'pulang' semula.

Tidak semena-mena, harimau itu berkalih ke belakang. Tanpa diduga, seluruh tubuh badan harimau itu bercahaya dengan sinar yang sangat menyilaukan dan menghilang dalam sekelip mata. Hilang dari pandangan sepantas kilat.

Tajima terpinga. Akalnya membejat. Sekadar anak matanya sahaja yang menerokai persekitaran untuk memastikan keselamatannya terjamin. Setelah puas menelusuri persekitaran dan terasa yakin dengan keselamatannya, Tajima lekas mendapatkan Zaidi yang masih tidak sedarkan diri. Dia sendiri menjadi hairan. Apa perkaitan kemunculan harimau aneh itu dengan kejadian Zaidi secara tiba-tiba tidak sedarkan diri. Namun Tajima pasti bahawa ianya pasti ada perkaitan. Ada sesuatu tentang harimau aneh itu.

"Zie! Bawa kami keluar! Buat Force Log Out!" Tajima memberikan arahan. Force Log Out merupakan satu teknik untuk keluar dari HyperServ secara paksa terutama ketika ada diantara User yang tidak sedarkan diri dan tidak berupaya untuk Log Out secara manual. Namun, hanya Blackserv yang menemukan sistem dan cara itu.

Seluruh tubuh Tajima dan Zaidi bercahaya dan berkecai sedikit demi sedikit berbentuk piksel kecil dan terawang di udara meninggalkan dunia HyperServ untuk kembali kepada jasadnya di realiti.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now