BAB 5

30 7 4
                                    




Jasad saling membutuhkan dengan jiwa tanpa janji setia

D A K A P A N I R I S


Ruangan itu terasa asing. Ini bukan rumah Iris. Masih dalam keadaan terbaring, dia cuba meneliti setiap sudut bilik itu. Memaksa kepala mengingat semula apa yang terjadi. Badan dia juga terasa sakit, dia masih lagi lemah.

Said!

Ingatan Iris kembali kepada lelaki itu. Dia terbayang dengan jelas senyuman sinis lelaki itu. Lehernya juga sudah dirasa seolah-olah dicekik kasar semula. Kerana panik, Iris terjatuh dari katil. Ligat otaknya mahu cuba melarikan diri sehingga menggigil ketakutan. Matanya melilau mencari jalan, dia mahu keluar dari tempat ini.

''Ya Allah! Kenapa ni?''

Di hadapan Iris, figura wanita separuh abad sudah menghampiri. Riak wajah orang tua itu tampak risau melihat Iris yang terkedu di bucu katil. Melihat keadaan itu, Iris cuba berdiri. Iris meletakkan lengan ke katil untuk menampung badannya sendiri tapi gagal. Jujur, dia masih terasa lemah. Belakang badannya seperti mencucuk, kakinya juga tidak mampu berdiri.

''Jangan takut, kamu selamat. Takda siapa akan sakitkan kamu. Lelaki tu takda dekat sini.''

Jatuh air mata Iris bila dirinya dibawa ke dalam pelukan. Hangat seolah-olah memberi kekuatan. Iris menggengam erat baju wanita itu. Mungkin kerana sedar Iris masih lagi terkejut dengan situasi sekarang, wanita tua itu menepuk pula belakang Iris sambil mengeratkan pelukan. Sesekali kepala Iris juga dielus lembut.

Pilu hati tuanya melihat gadis itu yang jelas takut dengan sekelilingnya. Badan itu penuh dengan luka dan lebam, ada juga beberapa kesan luka lama. Entah apa yang gadis di pangkuannya sudah lalui, tidak mampu dia gambarkan.

''Saya taknak dekat sini, tolong saya. Saya tak tahu saya dekat mana.''

Iris dibaringkan semula ke katil. Wanita tua itu masih sabar menenangkan Iris. Pegangan di baju wanita itu masih lagi tidak lepas. Dia tidak mahu ditinggalkan, dia tidak mahu kalau Said jumpa dia.

''Iris. Jangan risau, awak selamat. Ini rumah saya. Saya panggil nenek ni untuk jaga awak kejap.'' Perbualan mereka terpotong apabila ada satu suara garau mencela.

Iris tergamam. Nadhir di pintu bilik merenung Iris yang kebingungan. Tidak dapat ditahan, pecah lagi tangis kecil Iris ketika melihat Nadhir yang juga melihatnya sayu. Perasaannya bercampur aduk. Dia fikir Nadhir tak akan datang malam tu. Dia fikir dia tak sempat nak lihat wajah Nadhir lagi.

Tapi, kenapa? Kenapa dia masih hidup? Iris benci diri dia sendiri.

Nek Jah, wanita tua itu sebelum ni pernah menjaga Nadhir semasa kecil. Terkejut dia bila mendapat panggilan daripada Nadhir untuk datang ke rumah, apatah lagi ada perempuan yang cedera parah di rumah itu. Beristighfar panjang Nek Jah mengingat kembali suasana tegang tempoh hari.

''Iris, Nek Jah yang jaga kamu. Jangan banyak fikir nak, kamu tu sakit. Nanti lambat sembuh.'' Nek Jah memegang erat tangan Iris. Sejuk saja jari jemari runcing di telapak tangan dia.

Iris menunduk, beberapa titis air mata jatuh di atas selimutnya. Terasa genggaman di tangan dikuatkan, suara lembut Nek Jah itu buat dia rasa tersentuh. Suara itu jelas menunjukkan Nek Jah prihatin, Nadhir juga sama. Tetapi layak kah dia terima semua ni? Dia bukan siapa-siapa.

Dakapan IrisWhere stories live. Discover now