CINTA bermula seawal 7 tahun. Cintakan anak bongsu perempuan kepada seorang lelaki yang digelar baba dan mama, ibu bapa angkatnya. Mereka tahu dia yang sentiasa menyayangi Raissa Hanania lebih daripada seorang adik, namun banyak halangan antara dia...
Ups! Gambar ini tidak mengikuti Pedoman Konten kami. Untuk melanjutkan publikasi, hapuslah gambar ini atau unggah gambar lain.
MELIHAT satu susuk yang sedang mengelamun panjang di hadapan rumah, Hasyaf Asyriq mengatur langkah tenang mendekati wanita itu.
Tanpa dipelawa, dia melabuhkan duduk di hadapan Raissa Hanania. Wajah manis, tetapi beriak sugul itu ditenung dalam. Ulas bibirnya hampir melengkung satu senyuman. Dia tahu, apa yang menjadi kegusaran dan kesedihan si wanita.
"Feeling hopeless?" tebaknya untuk meyakinkan apa yang bermain di benak.
Wajah yang tadinya terlihat hanya dari sisi berpaling menentang pandangannya. Dia lihat wajah itu sedikit terpinga-pinga. Baru sedar dari alam khayalan sendiri.
"Nia insecure tengok dia dengan orang lain?" Dia ubah pula soalannya supaya lebih jelas.
Raissa Hanania tersenyum hambar menyambut soalan itu. Dia picit kedua belah matanya yang tiba-tiba rasa berpinar. Kepalanya terasa begitu berat. Bahunya terasa dibebani sesuatu yang membuatkan dia lelah.
"Layak ke Nia nak rasa semua tu?" Soalan yang diutarakan lelaki itu, dia pulangkan dengan soalan semula.
Asyriq menghela nafas dalam. Tangan yang tadinya terletak di ribaan, diseluk masuk ke dalam poket baju sejuknya. Santai dia melepak di rumah bekas mentuanya pada malam hari setelah mereka menyambut kepulangan Wadi Aakeef di lapangan terbang.
"Padan muka Nia, kan? Buat keputusan melulu. Nia ingat, Nia boleh bahagia tanpa dia..." ungkap Hanania lagi dengan intonasi suara yang begitu rendah. Terselit getaran seakan ingin menangis juga.
Hasyaf Asyriq tersenyum nipis mendengar luahan itu.
Sejujurnya, dia begitu mencintai Raissa Hanania. Sejak kali pertama dia bertemu wanita itu, rasa sayang dan ingin memiliki sudah wujud dalam hatinya.
Namun, dia sedar bahawa sejak dahulu lagi, hati wanita itu sudah terisi dengan seseorang. Bagaimana mungkin dia mampu menandingi seorang Wadi Aakeef dalam hati bekas isterinya.
"Nia patut beritahu dia tentang Nia dengan abang," cadang Asyriq tenang. Rasional.
Dia lepaskan Raissa Hanania untuk beri peluang gadis itu bahagia dengan lelaki yang dicintai. Bukan untuk melihat wajah itu terpalit duka lagi apabila terpaksa merelakan lelaki kesayangan memilih gadis lain.
Hanania menggeleng perlahan. Dia ukir lagi senyum di bibir, namun kali ini bersulam sinis semata-mata.
"Akan ada apa-apa yang berubah ke? Dia dah perkenalkan perempuan lain dekat baba dan mama. Mesti dia nak serius dengan perempuan tu."
"Sekurang-kurangnya dia tahu, Nia. Nia masih akan menjadi adik angkat dia, walaupun bukan isteri dia. Dia ada hak sebagai ahli keluarga Nia... anak angkat kepada baba dan mama Nia." Asyriq meluah lagi apa yang menjadi buah fikirannya.
"Nia takkan pernah boleh bahagia, kan? Nia tak tahu nak salahkan siapa... Nia yang salah, atau takdir yang terlalu kejam untuk Nia?"
Terpana seketika Hasyaf Asyriq mendengar butir bicara tidak terjangka itu.