BAB 1

310 34 9
                                    

Bunyi cengkerik berbunyi memeriahkan suasana kubur yang sunyi sepi. Sesekali, guruh berdentum memecah suasana hening di bumi.

Hujan akan turun pada bila-bila masa. Selesai membaca ayat suci Yasin, air bacaan surah itu aku siramkan ke atas kubur. Seusai semua urusan, kaki melangkah keluar dari perkarangan kubur.

Pagar ditutup. Kawasaki Ninja berwarna hitam merah yang diparkir tidak jauh dari perkarangan kubur itu aku naiki. Jam yang terlilit di pergelangan tangan dikerling sekilas.

Pukul tiga pagi.

Haha, orang gila mana lagi yang melawat kubur waktu malam buta macam ni kalau bukan aku. Sudah menjadi rutin mingguan aku untuk melawat rumah abadi ibu ini pada waktu sebegini.

Takut?

Entahlah. Apa itu takut? Aku sendiri keliru. Sudah berapa tahun ya, aku tak merasa takut? Bukankan takut, sedih, gembira, kecewa, cemburu, putus asa... sudah lama aku tidak merasai nikmat perasaan itu. Yang aku rasai hanyalah...

Kosong.

Hatiku kosong.

Alexithymia kah aku?

Bukan. Pengalaman yang menyebabkan hidup aku begini. Aku masih rasa amarah dan benci.

Mungkin aku mewarisi sedikit sikap ayah aku yang hatinya juga kering. Ah orang tua itu, bukan sahaja hati kering, malah hati batu. Entah di manalah dia sekarang. Salah satu sebab kenapa aku boleh jadi begini juga adalah kerana ayah yang menghilangkan diri sewaktu aku berumur 15 tahun.

Disebabkan perihal itu, aku sudah lali dicemuh dan dikutuk. Pelik kan? Yang masalahnya orang tua itu, tapi mengapa aku menjadi tempias?

Ada juga satu ketika, orang memanggil aku ibarat patung cendana tidak berperasaan. Mereka tak tahu aku ini nakal orangnya. Tak apa, kata-kata itu doa. Terima kasih kepada orang yang mengutuk. Kerana mereka aku berjaya menghabiskan sesi latihan sebagai seorang ejen unit khas Q-Lekir.

Q-Lekir, sebuah organisasi sulit hasil inisiatif seorang Agong terdahulu yang kini sudah mangkat. Organisasi yang boleh dikatakan sama taraf dengan unit khas polis UTK, namun bertindak secara senyap dan hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja dalam tampuk pemerintahan negara. Q-Lekir juga satu-satunya organisasi bebas rasuah.

Kalau nak cakap fasal Q-Lekir ni, memang tak balik rumah sampai pagilah aku jawabnya. Lagipun, aku sedang digantung kerja. Haih, kalau dah sekali dipandang pembawa masalah, memang sampai bila-bila orang akan pandang serong terhadap aku.

Benci.

Kecewa? Tak. Aku sudah lali dilayan sebegitu.

Motor berkuasa tinggi aku mula membelah jalan raya. Hampir sepuluh minit menunggang, sampai juga aku di kawasan perumahan. Sebaik sahaja hampir ke simpang, automatik aku perlahankan motor.

"Dah kenapa ramai-ramai depan rumah aku tu?" Pelik, askar mana yang bawa sampai satu batalion depan rumah aku. Dengan batang besi di tangan masing-masing, nak buat apa? Kalau nak bawa rombongan meminang pun agak-agaklah, pukul tiga pagi kut?

Telefon yang tersimpan di saku segera diambil. Aku kena telefon Shareef. Dia masih ada dalam rumah. Risau jika pakcik aku yang umurnya sudah tiga dekad itu masih tidur mampus dalam rumah.

"Reef, apa hal ramai-ramai luar rumah tu?" soalku sebaik sahaja talian bersambung.

"Kau balik ikut pintu belakang sekarang!" Tiba-tiba talian terputus. Tak tunggu apa dah, memang aku berlari ikut pintu belakang rumah. Sesampainya di depan pintu, Shareef tarik aku masuk ke dalam rumah.

"Masalah apa kau buat kali ni Aya?" Dalam nada separuh bisik, Shareef menyoal. Jelas terpampang yang dia sedang menahan geram.

"Kau salah terjah kut. Hari ni aku duduk rumah je sampailah pukul dua pagi tadi."

"Habis, kenapa kau relaks sangat? Kau tak nampak ke dia orang kat luar tu ramai!"

Aku... tak tahu nak tunjuk reaksi apa.

"Habis tu, kau nak aku gelabah? Chill la, bukan dia orang masuk rumah kita pun." Kalau dah berpengalaman, setakat kena kepung macam ni celah gigi sajalah.

Praang!

Bunyi kaca pecah menyentakkan aku. Ditambah lagi apabila manusia-manusia yang sepatutnya berada di luar rumah tadi kini sudah berada di ruang tamu.

Shareef menjeling tajam.

"Lepas ni makan asam banyak sikit. Kasi masam mulut kau yang masin tu." Sarkastik saja Shareef bercakap.

"Siapa Aya? Kau keluar sekarang!" jerit seseorang. Muka bengisnya itu sudah cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja yang memandang. Tetapi tidak bagi aku. Sudah lali melihat riak sebegitu.

"Aku dah kata, ni mesti fasal kau punya." Tengoklah pakcik aku ini. Dalam keadaan macam ini pun dia masih nak salahkan aku.

"Sudah, sekarang ni baik kita keluar rumah. Biar dia orang tak jumpa kita." Selamba sahaja, aku meninggalkan Shareef yang masih menyorok di kabinet dapur.

Sedar diri sudah ditinggalkan, dia turut pamit.

"Kau tak nak halang dia orang ke?" tanya Shareef hairan.

Bukan aku tak nak. Dalam sesi latihan, aku sudah dididik untuk mengelak sebarang pergaduhan selagi boleh. Tenang, dan fikirkan solusinya. Andai sudah diancam, baru aku boleh bertindak mempertahankan diri.

"Kalau dia tak jumpa aku, nanti dia orang blah la tu."

"Aya!!!"

Kuat tempikan bergema di segenap ruang. Aku hanya mampu menahan geli hati. Dia marah sambil seru nama aku. Salah ibu sebab bagi nama aku comel sangat. Terus tak nampak garang dia.

Dalam hiruk-pikuk suasana di dalam rumah, telinga aku menangkap suatu bunyi aneh. Apa yang pasti, itu bukan bunyi tapak kaki Shareef. Semakin lama, semakin dekat. Kekuda aku dibuka, menanti jika diancam marabahaya.

"Bos! Aku dah jum--"

Tepat tumbukan aku mengenai rahang seseorang. Dia rebah, mencium tanah. Seperti aku agak, ada seseorang di bahagian belakang rumah.

"Reef, pukul enam!" teriak aku sebaik sahaja melihat lagi dua orang lelaki menghampiri Shareef.

Buku lima dilayangkan ke arah muka Shareef. Setelah mengagak ruang dan kelajuan tumbukan itu, pantas saja dia menepis. Manakala kakinya diangkat untuk melibas lengan lelaki itu sekuat tenaga. Dengan tangkas, Shareef melakukan aksi akrobatik dengan menggulungkan diri bagi mengelak serangan seteru yang lagi satu.

Itu dia Shareef! Seorang jurulatih taekwondo yang ternama, mengajar atlet-atlet wakil negara. Silap oranglah kalau mahu berlawan dengan adik bongsu ayah yang berumur lima tahun tua dari aku itu.

Sedang dia bergelut, seorang lelaki dengan parut panjang di pipi menghampiri aku. Jemarinya diluruskan ingin menyerang aku dan bukan dengan menumbuk. Kalau tidak silap, langkah ini ada dalam seni pertahankan diri Jeet Kune Do.

Aku tunduk, berjaya mengelak libasan dia. Setelah mengambil peluang yang ada, aku mencapai tangannya lalu dipusing 360 darjah. Mendengar bunyi patah, terus saja lelaki itu meraung sakit.

Tidak mahu mengalah, dia terus menghentak kepala aku dengan batang besi yang dibawa. Sakitnya bukan kepalang! Kepala mula terasa pening. Tak layankan sakit, aku melakukan aksi menggunting kaki pihak lawan. Dia terjatuh sebelum sekali lagi meraung apabila tangan yang patah itu jatuh dahulu.

Padan muka.

Melihatkan Shareef sudah selesai dengan pihak di sana, aku segera memijak tangan yang patah tadi sebelum sama-sama melarikan diri.

"Cepat Aya, kita kena lari sebelum lagi ramai datang!"

Nafas dihembus kasar. Sampai sekarang, aku masih tak tahu siapa mereka. Apa urusan mereka dengan aku? Apa masalah dia orang? Tak fasal, aku yang kena lari dari rumah sendiri.

Kenapa aku dicari ni?!

MISTERIOWhere stories live. Discover now