BAB 24

82 12 4
                                    

Ayat itu, masih berlegar-legar di kotak minda. Aku melamar Kyle? Memang tak pernah dibuat keturunan aku. Walaupun niat aku nak jadikan dia calon olok-olok, tapi rasa malu masih terbias.

Kau memang bodoh Aya.

Sampai sekarang aku masih ingat reaksi Kyle yang dah macam orang tak cukup nafas. Dia punya terkedu macam aku ajak bunuh diri aje.

Bantal kekabu putih aku angkat tinggi, sebelum lekapkan ia ke muka. Biarlah sampai sesak nafas, asalkan rasa pelik ini boleh hilang!

“Hai Aya, macam orang baru lepas putus cinta je. Cuba cerita.”

Aku baring lalu mendongak ke kanan. Itu dia Fatin, bakal raja sehari esok. Fatin bergerak ke arah cermin, membetulkan tudung shawlnya. Malam ini malam berinai, dia mengenakan baju Kedah bersama dengan kain batik dan tudung warna senada.

Fatin pakai apa pun cantik.

“Putus cinta kepala kau.” Mata kembali dipejamkan.

Fatin mengeluh. Pelembab bibir ditepeknya sedikit. “Aya, jomlah berinai sekali. Ramai tau tetamu malam ni. Tak syoklah kalau kau duduk dalam bilik.”

Nafas berat dihela. “Ramai-ramai pun semua kawan kau. Macamlah aku kenal.”

Fatin terdiam sejenak. Nampak sangat apa yang aku kata betul.

“Tapi kawan lelaki aku pun ramai. Mana tahu ada yang sangkut? Kang balik US dah tak seorang.” Fatin tersengih suka.

“Memang aku tak balik seorang. Aku balik dengan Shareef."

Balasan dibalasnya dengan jelingan. Betul apa aku cakap?

“Cakap dengan kau ni ada je nak dibalas. Dahlah, aku keluar dulu. Kau jangan duduk terperap dalam bilik je. Keluar sekali pergi jamu selera ke, pergi berinai ke, jangan melempap macam orang mati laki!” pesan Fatin sebelum pintu bilik ditutup semula.

Sekali lagi, aku mengeluh. Kenapa semua orang pakat nak aku kahwin cepat? Aku bukannya tua tahap andartu pun.

Nanti dah datang seru aku kahwinlah. Bukannya susah.

Kyle pun ada.

Eh?

"Apa pasal aku sebut nama mamat tu?"

Kepala aku ketuk sekali. Sah, aku dah tak betul. Apa mamat tu dah buat kat aku sampai asyik teringatkan dia aje ni?

Selimut biru corak bunga aku tarik menyelimuti tubuh. Rasa debar di dada aku Cuba hilangkan.

Malam ini sejuk, baru lepas hujan. Waktu di skrin telefon aku kerling, pukul 9.00 malam. Memang tak mengantuklah sebab pada kebiasaannya, aku tidur pukul tiga dan bangun pukul lima.

Bila dah tak ada benda nak buat, mulalah otak aku menerawang fikirkan macam-macam perkara.

Kreek....

Terdengar sahaja bunyi pintu, aku dah kepal penumbuk. Otak menghantar isyarat untuk menghasilkan tindakan refleks kalau berlaku ancaman.

“Amboi, aku masuk pun kau dah ready penumbuk?”

Oh, Mak Ngah rupanya.

“Tak adalah.” Aku longgarkan genggaman sebelum duduk bersila untuk mempermudahkan Mak Ngah melabuhkan punggung di birai katil.

“Tak keluar ke?” Mak Ngah menyoal sambil tiup-tiup jarinya yang berwarna merah. Baru lepas berinai agaknya.

Soalan Mak Ngah hanya dibalas dengan gelengan.

“Marilah keluar, bergaul sikit dengan tetamu. Kau duduk terperap dalam bilik aku pun tak senang hati. Pergilah makan ke, berbual ke, jangan duduk dalam bilik.”

MISTERIOWhere stories live. Discover now