Bab 1

235 11 6
                                    

'You can't help who you fall in love with'

~E.L. Montes, Cautious~


BEBERAPA paket dark chocolate dari jenama Beryls disusun kemas di atas kaunter diikuti dengan mentega dan beberapa papan telur yang sudah dibasuh bersih. Anak mata Layla mencari jam di dinding; ada lebih kurang setengah jam sebelum kelas membuat kek yang dianjurkan oleh Pahlawan Café akan bermula. Daripada kaunter utama, kelihatan Tuah Iskandar dan Lekiu Akmal; dua orang staf penting kafe sedang sibuk menyusun kerusi dan meja untuk menyambut kedatangan para peserta sebentar lagi.

"Kenapa tiba-tiba Pahlawan Café nak buat baking class pula?" soal Layla sebaik sahaja pasangan kembar Tuah dan Lekiu kembali ke kaunter.

"Aik, akak tak tanya dengan sepupu akak ke?" soal Tuah; merujuk kepada Luth Hannan yang merupakan sepupu Layla merangkap tuan punya kafe. Disebabkan Luth terlalu sibuk menguruskan Archsigno Holdings maka urusan kafe diamanahkan kepada Tuah dan Lekiu. Sejak dari awal-awal penubuhan Pahlawan Café memang Tuah dan Lekiu yang banyak membantu untuk membangunkan kafe.

"Akak dah tanya tapi masalahnya bos korang tu jawab 'saja, nak buang tabiat.' Tak menjawab soalan betul." Jawab Layla, geram.

Sudahlah tiba-tiba Luth meminta tolong supaya dia datang membantu Tuah dan Lekiu hari ini tetapi apabila dia bertanya lebih lanjut tentang baking class hari ini, Luth hanya menjawab sambil lewa.

"Betullah tu. Memang L buang tabiat pun. Tak pernah-pernah kita tutup kafe untuk buat baking class selama ni. Baking class pun tak pernah buat." Sokong Lekiu dengan kepala yang diangguk perlahan. Dia sendiri pelik dengan idea tiba-tiba Luth atau lebih mesra dipanggil sebagai L oleh dia dan Tuah.

"L sejak anak dah masuk dua orang ni lagi pelik-pelik perangai dia. Perangai dia tu dah memang pelik dari sebelum ni tapi ni bertambah-tambah pelik." Tambah Tuah.

Puk!

"Seronok eh mengata aku tak pandang kiri kanan?" tegur satu suara dari belakang dan kedengaran bunyi Tuah mengaduh sambil menggosok bahu yang pedih kerana ditumbuk oleh Luth yang tiba-tiba muncul.

"Eh, Abang Luth, Kak Uya!" Tegur Layla dan Luth yang ditemani isterinya; Ulya Hana sudah tersengih-sengih. "Ingatkan tak datang kafe hari ni?" soal Layla sebaik sahaja bersalaman dengan Uya.

"Mestilah datang sempena aktiviti pertama kafe untuk tahun ni. Belum ada yang sampai lagi ke?" balas Luth sambil anak mata melirik ke jam dinding; ada lima belas minit lagi sebelum kelas bermula.

"Belum. Eh, tu macam ada yang dah sampai." Jawab Lekiu dan menerusi pintu kaca kafe kelihatan ada dua orang wanita menolak pintu kafe dari luar. Lekiu menghampiri mereka berdua dan membawa ke meja yang sudah disediakan.

"Layla cuti lama ke kali ni? Bila kena balik Paris balik?" balas Uya.

"Tak pasti lagi, Kak Uya. Kali ni cuti lama sikit sebab mummy bising yang Layla dah lama tak balik." Jawab Layla. Dia mula bekerja dengan Madame Ines secara sambilan sewaktu tahun akhir di ESIEE Paris. Disebabkan dia masih belum mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakannya, maka dia terus bekerja sepenuh masa dengan Madame Ines sehingga tanpa sedar sudah setahun lebih berlalu. Siapa sangka daripada hobi suka-suka memasak membuatkan dia 'jatuh cinta' dengan Sedapnya Café milik Madame Ines.

"Mak su pun dah bising minta Layla back for good kan? Sampai bila nak kerja kat negara orang katanya."

Layla sudah menggaru pipi yang tidak gatal sambil wajah Uya yang manis tersenyum itu dipandang. "Itulah, Kak Uya. Kali ni mummy drama sikit minta Layla balik. Dia risau katanya tapi itulah balik sini pun tak pasti nak kerja kat mana. Keadaan ekonomi kita tak okey sangat dan peluang kerja dalam bidang network engineering pun terhad kat Malaysia buat masa sekarang."

Bonjour, Mon Amour (Akan Datang PBAKL 2023)Where stories live. Discover now