Bab 8

63 6 0
                                    

SEDAPNYA Café merupakan kafe halal yang menyajikan hidangan dari Malaysia dan diusahakan oleh Madame Ines yang berkahwin dengan lelaki dari Malaysia sejak beberapa tahun lepas. Kedudukan kafe yang terletak berdekatan dengan stesen kereta api Châtelet–Les Halles membuatkan Sedapnya Café sentiasa meriah dengan kunjungan mereka yang menggemari menu masakan Malaysia terutamanya nasi lemak yang disajikan dengan rendang ayam.

Turun sahaja dari stesen kereta api, Layla singgah sebentar di kedai bunga yang terletak tidak jauh dari stesen kereta api. Dari kedai bunga di tepi jalan itu, dia berjalan kaki ke Sedapnya Café yang terletak kira-kira lima belas minit berjalan kaki dari stesen kereta api.

"Bonjour, Hugo!" sapa Layla mesra apabila kelihatan Hugo yang sedang menyusun kerusi dan meja di luar kafe. Sedapnya Café mula beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga waktu malam. Selalunya memang staf kafe akan datang sekurang-kurangnya satu jam awal untuk membuat persediaan sebelum kafe dibuka.

"Layla! Bonjour!" Hugo sudah tersenyum lebar memandang Layla dan mengikut Layla masuk ke dalam kafe.

"Macam mana? Okey tak sepanjang saya tak ada?" soal Layla dalam bahasa Perancis. Jambangan kecil bunga lily yang dibeli tadi diubah ke dalam pasu menggantikan jambangan bunga ros yang hampir layu dan diletakkan di atas kaunter utama.

"Rasa macam nak mati tapi tak mati lagi."

Jawapan bersahaja Hugo membuatkan Layla ketawa. Sewaktu dia mula-mula bekerja di Sedapnya Café, dia takut juga dengan Hugo kerana lelaki Perancis bertubuh besar itu jarang-jarang senyum. Kalau Hugo membuat lawak pun, raut wajahnya memang selamba sahaja. Layla sahaja yang selalunya seronok ketawa.

"Madame kan ada? Buku resipi pun saya dah tinggalkan dekat dapur." Balas Layla sebaik sahaja tawanya reda. Sepanjang dia bekerja dengan Madame Ines, memang dia cef utama di kafe ini menggantikan Kak Siti yang sudah balik ke Malaysia tahun lepas dan Hugo itu merupakan sous-chef. Sejak dia merancang untuk balik ke Malaysia bulan depan, Madame Ines meminta supaya Hugo membiasakan diri untuk mengambil alih tugas-tugas Layla di dapur.

"Mana sama dengan adanya awak dekat dapur tu." Balas Hugo pantas sebelum dia berjeda. "Memang awak nak balik Malaysia terus lepas ni ke?" sambungnya.

"Nampaknya macam tu. Dahlah, jangan buat muka muka sedih macam tu. Nanti takut pelanggan nak masuk kafe," usik Layla sambil mengikut Hugo menyusun kerusi dan meja memandangkan ada sepuluh minit lagi sebelum kafe dibuka.

"Kak Layla! Bila balik sini?"

Suara ceria yang menyapa dalam bahasa Melayu itu membuatkan Layla memusingkan tubuh dan kelihatan Qaisara dan Husna yang merupakan pelanggan tetap Sedapnya Café sudah tersenyum manis.

"Akak baru je sampai dua hari lepas. Sara dengan Husna tak ada kelas ke pagi ni?" sapa Layla mesra.

"Tak ada sebab kitaorang dah start study week. Next week pula dah final exam untuk semester ni. Tu yang singgah nak breakfast dulu lepas tu nak pergi kampus." Jawab Qaisara. Dia dan Husna sebenarnya merupakan junior Layla di universiti yang sama tetapi berbeza course. Mereka mula-mula kenal sewaktu jamuan Aidilfitri yang diadakan dua tahun lepas.

"Sejak Kak Layla cuti ni, kitaorang craving teh tarik akak tu." Tambah Husna pula dan terus Layla ketawa.

"Hugo buat teh tarik tak cukup kaw ke?" usik Layla dan bertukar pandangan dengan Hugo yang sedang menjungkitkan kening kepada dia.

"Sedap je tapi still tak sama dengan yang akak buat." Husna tayang sengih.

"Duduklah dulu kalau macam tu. Nak order teh tarik je ke? Makan?" soal Layla dan spontan menarikkan kerusi untuk Husna dan Irdina.

Bonjour, Mon Amour (Akan Datang PBAKL 2023)Where stories live. Discover now