NEVER MINE
Supra-additive partner. Match-mess from heaven. The more the messier.
-
Naqib menghabiskan masa dengan duduk di hadapan televisyen. Sesekali mulutnya bergerak-gerak mengunyah kerepek pisang yang masih panas. Hari ini tiada kelas KAFA maka di sinilah dia. Rumah Mak Cik Rokiah di hujung kampung. Mak Cik Rokiah ada perusahaan kerepek pisang dan anak dara yang lawa.
Correction, lawa dan brutal. Sebagai sepupu yang rumahnya hanya selang beberapa rumah dengan rumah Mak Cik Rokiah dan dia pula anak tunggal, maka dia sering ke sini selagi masa kerja ibu dan ayah tirinya masih berbaki.
Kaki diangkat menuju ke dapur. Tekaknya terasa haus pula.
"Aik, Naqib. Kamu tak bersekolah KAFA harini?" Salah seorang pekerja di bahagian mengupas pisang menegurnya ramah. Naqib mengulum senyum seraya menggeleng. Cawan diambil dan dia menuju ke mesin Coway di tepi dinding. Diisinya dengan air kosong hingga hampir tiga per empat gelas.
"Tak, cik. Saya baru lepas exam minggu lepas. Minggu ni cuti sebab batch bawah saya pula yang exam."
"Bagusnyalah kamu ni. Tak macam anak mak ngah tu. Disuruh datang kelas KAFA bukan main liat. Belum disuruh datang kelas mengaji lagi. Semedang hilangnya." Datang Mak Cik Rokiah membawa sebekas kerepek yang sudah siap digoreng untuk dibungkus. Naqib hanya tertawa halus. Hal orang tua-tua malas dia hendak melayan.
"Biasalah kak, anak kau tu kan anak dara. Dah lama sangat duduk kota dengan mak saudaranya sebelum ni. Mana taknya dia susah nak ikut." Naqib terdiam. Mak saudara yang dimaksudkan itu adalah ibunya. Memang sejak Rifqi kecil dahulu, gadis itu menetap di Kota Madura dengannya sehinggalah dia menginjak usia darjah enam dan Rifqi berusia darjah tiga. Sekarang, mereka pulang semula ke kampung memandangkan ibu Naqib sudah bertukar kerja.
"Ni dah tengah hari ni tak nampak pula ke mana Rifqi ni... Ke mana agaknya dia ye? Naqib boleh tolong carikan?" soal Mak Cik Rokiah. Naqib yang sejak tadi sekadar memandang lama ke satu arah kemudian menyudahkan minumannya sebelum dia bangkit dan mencuci gelas.
"Boleh, mak ngah. Naqib rasa Naqib tahu dia pergi mana." Naqib bergerak ke sinki mencuci gelas yang sudah kosong lalu disimpannya semula di tempat dia mengambilnya. Perilakunya tertib.
Tanpa menunggu lama, Naqib bergerak ke luar melalui pintu dapur. Selipar entah siapa- siapa dia sarungkan memandangkan seliparnya berada di pintu depan. Besar sedikit tapi tak mengapalah. Sekejap saja. Senyumannya meleret sebaik dari jauh sudah dapat dia menancap pandangan ke arah susuk yang baru hendak menghampiri tempat persembunyiannya.
Naqib hanya berdiri menghadap ke luar pintu. Dia menanti si gadis sudah berada betul- betul di tempat kebiasaannya. Sebaik sahaja si gadis memasukkan lolipop ke dalam mulut dan mengayunkan kaki tanda sudah selesa, barulah dia mengambil langkah lambat-lambat.
"Rifqi Hanania..." Sengaja dia memanggil ke arah-arah yang lain bagi berkelakuan seolah- olah dia tidak tahu di situlah tempat si gadis selalu beredar kalau-kalau merajuk. Bukan tadi dia tak nampak Rifqi mengintai dari tepi tingkap pintu dapur. Pasti gadis itu terasa hati dengan bebelan orang tuanya.
Rifqi tak menjawab. Setelah berdiri betul-betul di bawah pokok tempat Rifqi duduk bergayut barulah Naqib berura-ura memandang ke atas. Merekah senyumnya sebaik dia bertentang mata sesaat dengan Rifqi.
"Rifqi!" Rifqi buat tak endah. Naqib yang sudah bercekak pinggang langsung tidak dipandang meski sesaat. Lolipop di dalam mulut digerak-gerakkan. "Rifqi. Oi! Mak ngah cari kau!" teriak Naqib lagi. Tangannya naik melindung mata dan sebahagian dahi dari terus dibakar mentari yang hampir tegak di atas kepala.

YOU ARE READING
NEVERMINE | EDITED VER [C]
RomanceBertahun-tahun Rifqi duduk serumah dengan Naqib, si abang saudara yang kerek membuatkan mereka rapat bagaikan abang dan adik kandung sampailah Naqib berpindah sekolah. Sangka Rifqi, hanya berpindah negeri sahaja rupanya berpindah negara! Dua belas...