NEVER MINE
Jangan jatuh cinta pada aku...
-"Assalamualaikum." Terteleng kepala Naqib ke arah pintu rumah yang diperbuat dari kayu. Terangkat sebelah keningnya. Suara macam kenal tapi siapa pula datang malam-malam macam ni? Esok sudahlah hari minggu.
"Mak! Ada orang datang!" laung Naqib dari ruang tamu.
"Naqib tolong bukakan dulu pintu. Mak tengah seterika baju kerja ayah kamu ni," balas si ibu dari dapur. Naqib menurut tanpa banyak soal. Punggung diangkat dari sofa lembut tempat dia duduk membuat kerja sekolah. Jubah putih yang tidak dia tanggalkan sejak pulang solat Isya berjemaah dengan ayahnya sekali di masjid tadi, dikemaskan.
Bersama basmalah, dipulasnya tombol pintu. Sebaik sahaja terkuak, anak mata dibawa ke tingkat bawah. Maklumlah rumahnya adalah rumah jenis kampung yang mana bahagian ruang tamu dan biliknya dibina di atas manakala bahagian ruang makan dan dapur dibina di atas tanah dan diperbuat dari separa batu. Sebaik anak matanya bertembung dengan mata bundar yang sedang memandangnya dari tempat meletakkan kasut. Tangan kanan naik menepuk dahi sendiri.
"Waalaikumussalam. Astaghfirullah, Rifqi..." Rifqi Hanania tersengih lebar bersama tudung sarung yang sudah terselak hingga betul-betul di paras leher. Kitab Al-Quran dipeluk kemas ke dadanya.
"Kau dari mana?" Tak menunggu lama, Rifqi sudah mendaki anak tangga dan berdiri di hadapan Naqib."Tak nampak ke ni? Aku baru balik rumah ustazah singa. Malas nak balik rumah aku jadi aku belok rumah kau dulu." Selamba Al-Quran diangkat betul-betul separas dengan muka Naqib sebelum muka poyo Rifqi tayangkan. Dia menapak masuk ke rumah tanpa langsung menanti pelawaan oleh Naqib.
"Assalamualaikum mak!" panggil Rifqi kuat. Dia turun ke dapur pantas sementara Naqib menutup kembali pintu rumah. Naqib sekadar menggeleng sebelum kembali ke tempat duduknya di hadapan televisyen. Ada kerja sekolah yang perlu diselesaikan. Takkanlah dia sebagai ketua pengawas sekolah hendak didenda di luar kelas dek tidak siap kerja sekolah kan? Mana hendak letak reputasinya?
Tanpa mengambil masa yang lama, Rifqi sudah tiba di ruang tamu. Tudung sarung entah ke mana hilangnya. Begitu juga dengan Al-Quran di tangan.Hanya saja rambut panjangnya diikat kemas sebelum melabuhkan punggung di sisi Naqib. Kepala dijulurkan menjenguk tugasan yang sedang dilakukan oleh abang saudaranya.
Naqib mengolengkan mata ke atas sebelum beralih sedikit."Jangan rapat sangat Rifqi. Kau tu saudara aku bukan adik betul aku," tegur Naqib senada. Anak mata masih fokus terhadap tugasan Bahasa Melayu di depan mata. Rifqi masih tersengih.
"Iya, aku nak bangunlah ni gerak duduk depan tv sekejap lagi. Nak tengok kartun." Rifqi bangun. Dia mengambil bantal petak di sisi Naqib dan dibawa sebagai alas sebelum berbaring di hadapan televisyen. Televisyen dibuka tanpa meminta izin Naqib terlebih dahulu.
"Qi, pelan sikit tv tu aku nak buat kerja sekolah ni..." tegur Naqib lagi. Rifqi merengus geram. Isy, abang saudara dia ni banyak bunyi betullah. Orang masukkan dalam plastik ikat ketat-ketat karang baru tahu!
"Dah kenapa buat kerja sekolah depan tv? Bilik kau kan ada. Pergi buat nanti dekat bilik. Aku nak tengok Spongebob ni." bidas Rifqi tanpa memandang ke kiri ke kanan. Naqib mengambil nafas panjang mengenangkan balasan selamba Rifqi Hanania. Dia memejamkan mata geram sebelum memandang ke arah Rifqi yang selamba meniarap dengan kedua kakinya diangkat dan digerak-gerakkan.

YOU ARE READING
NEVERMINE | EDITED VER [C]
RomanceBertahun-tahun Rifqi duduk serumah dengan Naqib, si abang saudara yang kerek membuatkan mereka rapat bagaikan abang dan adik kandung sampailah Naqib berpindah sekolah. Sangka Rifqi, hanya berpindah negeri sahaja rupanya berpindah negara! Dua belas...