2 | 38

46 5 0
                                    

[Porta - 14 Januari 495]

Cardigan disarung ke tubuh lalu Irsa memecut turun dari tingkat empat bangunan pertama istana menuju ke perpustakaan. Hari ini adalah hari pertama dia berada di istana kerajaan Yildiz setelah dipilih menjadi isteri kepada Putera Hakim.

Akibat terlampau teruja dengan pemilihan semalam, Irsa tidak dapat tidur dan tidak semena-menanya terbangun lewat hari ini. Jam sudah menunjukkan pukul 8.55 pagi dan dia sepatutnya hadir ke kelas Lady Sha pada pukul 9. Kalau dia terlewat pada hari pertama, memang habis dia jadi buah mulut orang di istana ini nanti.

Segala halangan yang ada di hadapannya dielak dengan mudah. Irsa berlari dan terus berlari sehinggalah dia tiba di lobi bangunan pertama istana. Dalam pada dia memecut, Irsa dengan tidak sengaja tersadung kaki sendiri dan tubuhnya serta merta hilang keseimbangan.

"Aduh!"

Mata dipejam Irsa, reda dengan dirinya yang tak lama lagi akan tersembam ke lantai. Namun lain dari perkiraannya, pinggang Irsa tiba-tiba dirangkul seseorang, sehingga dia kembali berdiri di atas dua kaki.

"Awak tak apa-apa?"

Tatkala mendengar suara sang penyelamatnya, Irsa perlahan-lahan membuka mata. Serentak dengan itu, wajah  Hakim terus menyapa pandangan.

"Tak, tak apa-apa."

Hakim ditolak menjauh dan Irsa terus berpaling membelakangkan putera itu. Jantung Irsa kini sudah berdegup tidak tentu arah. Irsa tidak pasti sama ada jantungnya berdegup kencang disebabkan berlari tadi atau pun kerana Hakim. Mungkin juga sebab dua-dua.

"Nak pergi mana?" Soal Hakim seraya menjengukkan kepalanya ke sisi Irsa yang membelakangkan nya. Irsa memandang Hakim sekali-sekala.  Tidak berani mahu bertentangan mata secara terus. Segan.

"Kelas Lady Sha. Hari ni kelas pertama saya. Sepatutnya kelas pukul 9 tapi saya terbangun lambat," beritahu Irsa.

Hakim mengangguk. Jejaka itu bergerak ke hadapan Irsa menyebabkan Irsa semakin menggelabah. Kepala ditunduk langsung tak mahu angkat.

"Kenapa asyik tunduk je ni? Awak ada luka dekat mana-mana ke?"

"Eh, tak-tak. Saya okey."

"Dah sarapan?" Hakim yang kini berada di hadapan Irsa menyoal lagi.

Irsa menggeleng.

"Nak makan bila?"

"Lepas kelas."

"Tapi kelas Lady Sha biasanya habis lambat."

"Erk, kalau macam tu saya sekalikan saja sarapan dengan makan tengah hari saya. Jangan risau. Lagipun saya dah bi-"

Belum sempat Irsa mahu menghabiskan kata, Hakim terlebih dahulu memetik jarinya. Serentak dengan itu, suasana di sekeling mereka serta merta berubah sunyi sepi. Irsa jadi hairan. Dia mengangkat mukanya dan memandang sekeliling. Tatkala itu baru dia perasaan yang pergerakan semua orang di lobi itu sudah terhenti. Bahkan jam yang tersangkut di dinding lobi juga sudah tidak bergerak jarumnya. Irsa mengalihkan pandangan ke arah Hakim. Jejaka itu sedang memandang Irsa dengan senyuman di bibir.

"Pergi makan dulu," pesan Hakim. Kepala Irsa ditepuk perlahan lalu putera itu berlalu pergi. Irsa memerhati langkah sang jejaka yang semakin menjauh. Tangan dibawa ke dada. Detak jantungnya yang sudah tidak sekata dapat dirasai dengan jelas.

Itulah Putera Hakim Al-Farisi.

Cinta pertama Irsa.



-THE SECOND PAGE-

[Casa - 1 September 2008]

"Hakim. Kau masih cintakan dia?"

Gadis yang duduk di sebelahnya dikerling. Dari mula mereka tiba sehingga sekarang si gadis diam membisu tidak seperti biasa. Si gadis malah langsung tak angkat muka dan sekadar menekur memandang lantai. Berbeza sungguh kelakuannya dan Han tahu benar sebab kenapa si gadis bertingkah begitu.

Tak lain tak bukan pasti kerana jejaka di hadapan mereka ini.

"Cinta? Erm... satu benda yang pasti dia adalah seseorang yang akan sentiasa ada tempat dalam hati aku."

"Nah. Minum."

Secawan kopi diletakkan di hadapan Han kemudian segelas susu diletakkan di hadapan Irsa. Irsa mengangkat muka seraya memandang Hakim.

"Awak tak boleh minum kopikan? Saya buatkan susu," ujar Hakim tatkala Irsa memandangnya seolah-olah inginkan sebuah jawapan.

"Terima kasih," ucap Irsa dengan senyuman kecil di bibir. Sungguh dia tak sangka Hakim masih mengingati hal tersebut tentang Irsa. Namun belum Irsa mahu menggapai gelas berisi susu itu, gelas tersebut terlebih dahulu dicapai Han. Tanpa rasa bersalah, Han terus meneguk susu tersebut sehingga lincin. Mata Irsa membulat. Bahu Han ditampar.

"Weh!"

Gelas yang sudah kosong dihentak Han ke meja makan.

"Apa? Aku pun tak minum kopilah!" Bentak Han. Irsa mencebik lalu terus tarik muka. Malas layan perangai tak semengah Han.

"Eh, tak apa Irsa. Nanti saya buatkan air yang lain untuk awak."

Pujukan Hakim menyebabkan cebikan bibir Irsa perlahan-lahan menghilang. Irsa mengangguk sedikit seraya mencuri-curi pandang ke arah Hakim. Han yang melihat adegan tersebut jadi meluat.

"Lupakan tentang susu ni. Kau hantar Qaisara dengan anak kau pergi mana tadi?" soal Han.

"Rumah mak angkat kami."

"Dekat mana?"

"Kau tak perlu tahu."

Han tersengih.

"Kenapa? Kau takut aku apa-apakan mereka?"

Hakim menjeling Han. Pertanyaan jejaka itu diabaikan lalu Hakim bangun dari duduknya.

"Kau berdua mesti penatkan? Hari pun dah larut malam. Irsa, awak boleh rehat dalam bilik yang dekat hujung tu. Saya dah siapkan bilik tu untuk awak. Han, kau keluar sekejap. Ada benda sikit aku nak cakap dengan kau."

Tidak menunggu lama, Hakim terus keluar dari rumah tersebut diekori Eshan. Irsa yang tidak dijemput di dalam perbincangan itu cuba mencuri dengar tetapi apabila dia menghendap di celah pintu, keadaan di luar rumah sunyi sepi. Irsa membuka pintu rumah itu dengan perlahan-lahan lalu menjengahkan kepalanya ke luar. Namun ketika dia memerhati sekeliling, tatkala itu baru dia sedar yang dua jejaka itu tiada di persekitaran rumah.








-THE SECOND PAGE-

"KENAPA Irsa ada dengan kau?" Soal Hakim sebaik sahaja mereka tiba di puncak bukit berhampiran dengan kawasan kediaman Hakim.

"Kenapa dia tak boleh ada dengan aku?" Soal Han kembali, sengaja mahu menguji kesabaran Hakim.

"Aku ada dengar cerita, kau dah buat huru hara di Porta. Datang jumpa aku, kau bukan datang melawatkan? Kau nak apa sebenarnya?"

Han tersenyum. Dia menapak selangkah menghampiri Hakim.

"Lepaskan Irsa."

Dahi Hakim berkerut.

"Kau mengarut apa ni?"

"Aku tak mengarut. Lepaskan dia... supaya aku boleh jadikan dia isteri aku."

PORTA : The Second PageTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang