Perpisahan dua jiwa

180 4 0
                                    

Cuaca di luar sangat dingin sehingga mampu menusuk ke tulang sum-sum. Angin malam bertiup perlahan sambil disertai oleh rintik-rintik hujan. Dari jauh, kedengaran lolongan anjing saling bersahutan. Di kala penduduk lain sedang lena diulit mimpi, kelihatan penghuni rumah yang beralamat No 11, Jalan Tun Dr Ismail itu masih lagi berjaga. Dalam bilik bujang, kelihatan kain cadar berselerakan dan bantal-bantal berubah kedudukan. Namun semua itu tidak dipedulikan oleh penghuninya. Kedua-duanya duduk di hujung katil sambil menumpukan perhatian mereka kepada kedamaian malam di luar jendela. Sesekali, Mike menghulurkan rokok kepada Syam. Selepas itu, pandangan mereka kembali tertumpu kepada panorama di luar jendela."Syam," bisik Mike. Suara machonya kedengaran berbeza pada malam itu. Perlahan-lahan, Syamil memalingkan mukanya lalu memandang tepat ke arah jejaka kacukan Cina-Bidayuh di hadapannya. Dalam diam, hatinya turut teruja acapkali memandang ketampanan jejaka itu. Hidungnya yang mancung, kulitnya yang mulus dan bibirnya yang nipis begitu menggamit perasaan Syam. Malah, Syam sangat mengenali setiap inci tubuh Mike dan mengetahui setiap kedudukan tahi lalat. Genggaman tangan Mike yang erat secara perlahan menarik Syam ke alam realiti."Abang sangat mencintai Syam dan tidak sanggup melihat Syam berduka seperti ini. Cinta abang tidak pernah berubah, namun semakin mekar setiap hari. Namun, kita tidak mungkin akan bersama seperti dulu. Diri abang sudah dimiliki. Abang tidak mampu mendustai cinta isteri abang. Lagipun dia tengah mengandung anak pertama kami."Hati Syam terasa dicarik seribu sebaik sahaja mendengar kata-kata itu terpacul dari mulut jejaka idamannya itu. Perlahan-lahan, air mata yang ditahan sedari tadi mengalir lalu menuruni pipi. Dia cepat-cepat menutup telinganya. Tidak sanggup rasanya perpisahan dan kata-kata kejam daripada mulut Mike. Melihat keadaan itu, Mike segera membuang rokoknya lalu menarik Syam ke dalam pelukannya. Syam pun menangis dengan sepuas-puasnya hatinya. Dia segera melepaskan segala perasaan yang selama ini tertanggung dalam jiwanya. Dari segi luarannya, mungkin Syam kelihatan sangat gagah. Kerjayanya sebagai ketua pasukan bola sepak UiTM FC memerlukannya untuk sentiasa tegas dan berkelakuan normal sebagaimana lelaki biasa yang lain namun realitinya jiwanya sangat rapuh. Selama ini, hubungan mereka berjalan dengan lancar. Kedua-duanya pernah menyimpan harapan untuk sehidup semati. Malah rumah yang diduduki Syamil sekarang pun didaftarkan atas nama mereka berdua dan merupakan harta sepencarian bersama. Mike pun membelai-belai rambut Syam. Rasanya hatinya sama robek melihat anak muda di hadapannya menangis teresak-esak seperti itu. Perlahan-lahan, minda Mike terimbau dengan detik awal perkenalan mereka. Waktu itu, Michael yang merupakan wartawan sukan merangkap pengacara untuk rancangan sukan terkenal telah ditugaskan untuk menemu bual sensasi baru bola sepak tempatan iaitu Syamil Ashraf. Namun, jadual latihan Syamil yang ketat ditambah lagi dengan pegawai perhubungan awam pasukan bola sepak itu sendiri yang banyak kerenah membuatkan Michael hampir kebuntuan. Di saat dia ingin menyerah kalah dan pulang ke pejabat, dia bertembung dengan sekumpulan lelaki yang menyerang seorang anak muda. Tanpa memikirkan keselamatannya, Michael terus turun dari keretanya lalu cuba untuk meleraikan pergaduhan itu. Namun kehendak Michael agar mereka beredar tidak berjaya. Sebaliknya, samseng-samseng itu bertindak menyerang Michael pula. Michael tidak gentar dengan ancaman musuhnya dan terus membalas setiap serangan yang datang. Akhirnya, ketiga-tiga samseng itu lari lintang-pukang dari tempat kejadian. Lelaki muda itu segera mendapatkan Michael lalu mengucapkan terima kasih. Apabila Michael mengamati lelaki muda di hadapannya, barulah dia teringat. Rupa-rupanya itulah sensasi bola sepak, Syamil Ashraf.  


bersambung

Naluri IIWhere stories live. Discover now