ANEKDOT 14

33 11 0
                                    

SATU PELUANG
Kita mula semula tak boleh ke?

Ae'in menggaru kepala yang tidak gatal. Bibir bawahnya digigit cuba menyembunyikan rasa gelisah yang membaluti hati sejak tadi. Sesekali anak matanya jatuh pada cermin pandang belakang. Sambil-sambil itu pemanduannya cuba dia kekalkan dalam kadar yang selamat.

  Malam ini, dia ada janji temu. Disebabkan Nasuha mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan, dialah yang menggantikan Nasuha dalam perjumpaan antara event decorator dan pelanggannya. Tidak Ae'in sangka perbincangan dua hala malam ini di salah satu coffee shop yang dipilih oleh pelanggannya akan berakhir saat jam mencecah pukul dua belas malam.

  Berbekalkan keberanian yang hanya secebis dari segenggam, Ae'in memandu keretanya sendirian menuju ke rumahnya. Baru setengah jalan, hatinya berasa tidak sedap. Saat dia melirik pada cermin pandang belakang, dapat dia perhatikan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer sedang dipandu di belakangnya.

  Awalnya, Ae'in enggan overthinking. Oleh itu, dia kurangkan kelajuan pemanduannya supaya pemandu kenderaan jenis sedan itu boleh memotong dan mengambil laluan di hadapannya. Pun begitu, tidak pula dia dipotong. Sebaliknya, kenderaan tersebut terus mengekori Ae'in dengan pemanduan tidak kurang perlahan dari Ae'in.

  Ae'in menggigit bibir. Dari perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya sepuluh minit ke rumahnya, sudah hampir lima belas minit masanya dihabiskan di atas jalan. Dia sengaja membelok ke jalan yang jauh demi mengambil masa. Berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia memandu ke balai polis yang terdekat.

  Tiba-tiba, mata Ae'in disilaukan oleh lampu tinggi yang datangnya dari kereta sama mengekorinya tadi. Terus Ae'in memandang ke arah cermin sisi. Ae'in kembali memandang ke hadapan. Sontak, kaki menekan brek apabila lampu isyarat bertukar merah serta-merta. Kurang seminit, kereta sedan berwarna hitam yang mengekorinya tadi berhenti di lorong bersebelahan dengannya. Cermin kereta berkenaan diturunkan.

  Ae'in hanya memandang. Tidak menurunkan tingkap keretanya meskipun penumpang Lancer itu memberi isyarat kepadanya.

  "Apa?" Ae'in memasang wajah garang dan dahinya dikerutkan.

  Lelaki di kerusi penumpang hadalam bersebelahannya tidak kurang memaksa. Dia melaung sedikit agar Ae'in mendengar arahannya. "Berhenti tepi, cik!"

  Ae'in menurunkan sedikit cermin bahagiannya. "Taknak!" marahnya sebelum pantas jarinya menaikkan cermin.

  Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar merah, terus keretanya dipacu laju meninggalkan tempat kejadian. Jantungnya berdegup kencang. Kepala sudah mula terisi dengan segala macam kebarangkalian buruk yang akan berlaku. Apatah lagi apabila kali ini, terang-terang Mitsubishi Lancer itu mengejarnya. Siap dimain-mainkan lampu tinggi, sengaja hendak menakut-nakutkan Ae'in supaya mengikut perintahnya.

  Dalam keadaan sebegitu, fokus Ae'in terganggu apabila nada dering telefonnya tiba-tiba sahaja bergema dari dalam dashboard kereta. Bersama tangan yang sejuk, peranti tersebut dicapai dan terus sahaja panggilan entah siapa pun itu, dia angkat.

  "Assalamualaikum Ae'in awak dekat mana?"

  "Waalaikumussalam tuan, tolong saya." Soalan yang diajukan oleh suara yang dapat dia cam itu tidak dijawab. Mengambil kesempatan ini, Ae'in terus sahaja meminta pertolongan Nahlan. Dianggap atas sebab apapun Nahlan menelefonnya malam ini adalah salah satu cara Allah membantunya.

  "What happened?" Dalam masa yang sama, Nahlan di hujung talian sudah cemas. Dia yang tadinya duduk, terus terbangun. Hilang terus segala macam hal yang hendak dia utarakan kepada Ae'in setelah beberapa malam tidurnya tidak lena memikirkan caranya untuk berbicara kepada Ae'in.

SATU PELUANG Where stories live. Discover now