ANEKDOT 23

40 7 1
                                    

"Ae'in." Tanpa aba-aba, Puan Jasmine menegur Ae'in di ruang tamu rumah.

Ae'in yang baru hendak bangkit membawa pakaian yang sudah dia lipatkan kemas-kemas di ruang tamu, terhenti perlakuannya. Dia terus menegakkan tubuh seraya menyertai ibunya di sofa. Punggung dilabuhkan benar-benar di sebelah si ibu yang sedang tersenyum kepadanya.

"Macam mana kau orang?"

"Macam mana apa, mama?" tanyanya semula. Puan Jasmine mengangkat kening ke arah anak daranya. Barulah Ae'in faham. Ini pasti tentang... Nahlan. "Alhamdulillah, doing well," jawabnya lagi.

Puan Jasmine sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya sahaja. Ae'in mengetap bibir. Teragak-agak dia hendak bertanya kepada Puan Jasmine. Sudah lebih sebulan sejak pertemuan Puan Jasmine dengan Nahlan. Tempoh hari, Nahlan langsung tidak memperincikan apa-apa tentang pertemuan tersebut kepadanya. Hanya sahaja Nahlan memberitahu bahawa Puan Jasmine mengizinkan seandainya Nahlan hendak berteman dengan anak gadisnya. Hanya sampai di situ.

Puan Jasmine pula, langsung tidak memberikan apa-apa komen. Hanya memberi izin setiap kali Ae'in mengkhabarkan bahawa dia keluar bersama dengan Nahlan sejak cincin tanda sudah tersarung di jari manis kirinya. Entah apa yang Nahlan buat sampai semudah itu Puan Jasmine mengizinkan, Ae'in juga kurang pasti. Masing-masing tak hendak beritahu jadi dia pun... abaikan sahaja rasa hendak tahunya selama ini.
"Mama... okey?"

Puan Jasmine berpaling ke arah anaknya. Skrin televisyen yang sedang memaparkan drama tempatan tidak lagi menarik perhatiannya. "Kenapa pula mama tak okey? Mama okey insyaAllah."

Ae'in diam. Senyuman ibunya dia tenung lama sebelum Puan Jasmine kembali merenung skrin televisyen. Entah kenapa, sebahagian isi hati Ae'in kurang berpuas hati dengan jawapan Puan Jasmine.

"Mama... kenapa mama terima pinangan Nahlan?" Baru hari ini, Ae'in kalah dengan desakan hati. Akhirnya dia bertanya.

Sejujurnya hari di mana rombongan pinangan Nahlan yang berwakilkan Puan Fauqiyya muncul di hadapan pintu rumahnya, Ae'in hampir pengsan. Dia sungguh-sungguh takut kalau-kalau Puan Jasmine bertindak luar jangkaan dengan menghalau Puan Fauqiyya. Namun begitu, sebaliknya pula berlaku. Puan Jasmine bahkan mengalu-alukan kedatangan Puan Fauqiyya sehingga Ae'in sendiri menjadi hairan. Bahkan, Puan Jasmine langsung tidak bertanya kepada Ae'in tentang siapakah Puan Fauqiyya.

Apa yang berlaku antara Nahlan dan Puan Jasmine sebenarnya?

"Sebab... mama nampak apa yang ada pada Nahlan." Terangkat sebelah kening Ae'in mendengar jawapan Puan Jasmine.

"Maksud mama?"

"Mama minta maaf kalau selama ni... mama buat Ae'in rasa terbeban sebagai anak mama. Mama minta maaf kalau mama terlalu protective pada Ae'in."

Laju-laju Ae'in menggeleng. Jujur dari sudut paling dalam ruang hatinya, dia mengerti dengan segala perihal yang dilakukan oleh Puan Jasmine untuknya. Hanya sahaja secebis kecil jiwanya memberontak kerana dirasakan haknya sudah dinafi.

"Kalau kamu nak tahu, beberapa hari sebelum rombongan mak su Nahlan datang, mama dah berjumpa dengan Puan Fauqiyya tu."

Sebelah kening Ae'in terangkat. "Untuk apa mama?" tanyanya polos. Agak terkejut sebenarnya kerana Nahlan tidak pernah memberitahunya apa-apa pun sepanjang mereka berdua berjumpa untuk menguruskan perihal persiapan pernikahan mereka.

"Untuk berbincang tentang kamu dan Nahlan. Mama dah tak ingat sangat apa yang kami bualkan sebab pertemuan tu panjang tapi cukuplah kamu tahu yang Puan Fauqiyya betul-betul yakinkan mama yang Nahlan memang serius ikhlas nakkan kamu. Dia..." Puan Jasmine menelan liur sejenak. "...nak tolong kamu. Nak jadi tempat untuk kamu bersandar."

SATU PELUANG Where stories live. Discover now