ANEKDOT 27

47 9 1
                                    

Dengan sekali lafaz, Nahlan dan Ae'in berjaya disatukan dalam satu akad yang sah di dalam sebuah majlis kecil-kecilan yang bertempat di Rumah Abang Jamil, Tanjung Puteri, Johor Bahru. Jemputan yang menghadiri majlis akad nikah tidaklah terlalu ramai. Sebahagian besar tamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat Nahlan termasuklah neneknya, mak su dan pak su yang terbang dari Mekah semata-mata hendak menghadiri majlis cucu sulung keluarga itu dan keluarga kecil Ae'in. Lagipun Nahlan dan Ae'in masing-masing tidak mempunyai ramai kawan.

  Usai sahaja akad nikah dan upacara membatalkan air sembahyang, semua hadirin dijemput menjamu selera di ruangan yang disediakan. Sementara itu, pengantin masih berada di dalam ruang akad nikah untuk sesi bergambar.

  "Awak okey?" Nahlan menyapa dalam bisikan perlahan sementara jurugambar yang terdiri dari beberapa orang sedang berbincang sesama sendiri. Entah apa yang dibincangkan, tidaklah mereka berdua tahu. Mendengar sapaan Nahlan yang terlalu tiba-tiba tu, Ae'in tersentak. Terkebil-kebil dia memalingkan wajah ke sisi.

  Nahlan hanya menggeleng terhibur. Jari naik mencuit hidung mancung isterinya.

"Orang rumah saya fikir apa ni? Jauh mana dah otak tu fikir?" Nahlan menyimpan senyum lebarnya melihat reaksi Ae'in yang termangu-mangu dengan pipi yang sedikit merah ditambah pula dengan pemerah pipi yang ditepekkan ringkas oleh jurusolek.

  Ae'in Elyana tampak sangat menawan hari ini. Nahlan tidak akan menafikan betapa matanya sejuk melihat bakal isterinya selama ini. Hanya sahaja selepas sebaris nama itu meniti di bibir sewaktu penyaksian melalui akadnya tadi, berkali-kali ganda lagi wajah itu dilihat berseri melalui sepasang anak mataya.

  Ae'in sekadar menggeleng. Meskipun pipinya sedikit memanas ditenung oleh suaminya sebegitu rupa, Ae'in hanya mampu tersenyum sahaja. Lidahnya masih kebas bagaikan disuntik lidocaine hydrocloride saat menyedari bahawa status dirinya sudah berubah. Kini, dia bukan lagi tunangan kepada pegawai JPJ yang ditemuinya di tepi jalan beberapa bulan yang lepas. Dia... adalah isteri sah lelaki itu.

  "As of today, janganlah awak fikir jauh-jauh sangat. Tenang, enjoy the moment. Kahwin ni kan sekali je seumur hidup. Start esok, awak ajaklah saya fikir sekali dengan awak. Okey?" Nahlan menelengkan sedikit wajahnya di hadapan wajah si isteri sementara kedua belah tangannya berada di atas samping di bahagian belakang badannya. Dia tersenyum manis saat melihat isterinya sedikit terkesima disebabkan oleh kedudukan wajah mereka yang agak rapat itu.

  "Awak lapar tak? Kita tak makan lagi kan? Jom?" Nahlan menegakkan badan semula. Dia mengangkat kening. Memberi isyarat mengharapkan jawapan daripada Ae'in yang masih berat mulut sejak tadi.

  Seperti yang dijangka, Ae'in mengangguk sekali lagi. Nahlan tanpa sedar turut sama mengangguk. Pantas dicapai tangan kanan Ae'in yang jatuh di sisi wanita kesayangannya itu lalu dengan selamba dia membawa Ae'in lari dari keramaian. Sempat dia memberi isyarat kepada paksunya bahawa dia dan Ae'in hendak makan sebentar.

  Sampai sahaja di tempat makan di antara tetamu yang tidak kurang ramainya, Nahlan menarik kerusi untuk Ae'in. Pun begitu, Nahlan tidak terus duduk, dia mengetuk-ngetuk sedikit meja bagi menarik perhatian Ae'in. Oleh itu, Ae'in mendongak sedikit bagi membalas renungan suaminya.

  "Nak makan apa? Saya ambilkan?"

  Ae'in tidak senang duduk. Dia bangkit lalu sedikit mengemaskan selendang sulam berwarna putih yang disematkan di pundaknya. "Eh, apa pula macam tu. Tuanlah duduk, saya ambilkan makanan."

  Nahlan menggeleng. "Tak nak, tak nak."

  "Tuan, saya ni isteri. Mestilah saya yang kena..."

  Dengan senyum yang tertahan, Nahlan memotong. "Puan, saya ni suami, saya yang kena treat awak baik-baik. Lagipun, awak nampak macam masih processing everything dalam kepala. Saya bagi awak download all necessary files dulu."

SATU PELUANG Where stories live. Discover now