BAB 10

538 93 17
                                    

Kai yang baru nak menyuap nasi goreng terhenti bila sedar mata Cik Ajah merenung dengan sengihan yang tak mati sejak dari tadi. Nafasnya dihela perlahan, "Ya, mama? Kenapa pandang Sarah macam tu?"

Cik Ajah melebarkan sengihannya, "Sajalah mama nak pandang anak dara mama ni..."

"Mama..."

"Mama seronok! Sarah dah mula buka hati Sarah nak berkawan dengan lelaki lain. Mama dulu susah hati fikir yang Sarah masih sukakan Radhi tu..."

"Ei, memang tidaklah Sarah masih sukakan Radhi tu!" Kai buat muka geli-geleman lalu dia hela nafas, "Tapi Sarah harap mama tak letak harapan tinggi untuk Sarah dan Mail. Kami baru nak kenal-kenal. Jauh lagi perjalanan kami berdua."

"Ya, mama tahu. Sarah nak kenal dengan dia pun, mama bersyukur dah tau?"

Kai hampir nak tersenyum. Ayat Cik Ajah itu sama betul dengan pesanan Mail yang dia terima pagi tadi namun bila memikirkan soalannya yang tidak dijawab Mail, dia jadi sakit hati pula!

"Mail tu bagus budaknya. Cuma kalau betul Mail dan Sarah menjadi nanti, Sarah kena faham juga tanggungjawab Mail pada keluarga dia. Apa-apa bawa berbincang. Keluarga dia nanti jadi keluarga Sarah juga," penuh kelembutan, Cik Ajah menasihati anak daranya itu.

"Ya Allah, ma! Jauh sangat perginya tu. Lagipun, Sarah tahu semua tu."

"Mama pesan aje," Cik Ajah tersengih. Tersedar keterlanjuran kata-katanya. Nampak sangat dia sendiri sudah tidak sabar nak dapat menantu!

"Ma..."

"Ya?"

"Mama tak kisah Mail kerja biasa-biasa saja?" Tanya Kaisarah, penuh hati-hati.

"Kenapa? Sarah kisah ke dengan benda tu semua?"

Laju-laju Kai menggeleng, "Sarah cuma terfikir kalau... kalaulah Sarah dan Mail betul menjadi, Sarah takut ada mulut-mulut jahat mengata Mail."

Cik Ajah hela nafas. Dia tahu maksud mulut-mulut jahat yang disebut Kai itu. Tak lain tak bukan adik-beradik belah arwah suaminya.

"Mulut orang ni Sarah, kita tak boleh tutup. Kita cuma boleh sabar dan buat tak peduli saja."

Kai diam mendengar. Dia dengan Mail tak ada apa pun lagi tapi dia sudah fikir jauh betul. Dia bukan apa, dulu waktu dia bertunang dengan Radhi pun, macam-macam yang keluarga belah arwah ayahnya berbunyi. Itu tak kena, ini tak kena. Segalanya serba tak kena.

Bila dia dan Radhi putus tunang, dia pula yang jadi mangsa kritikan dan kutukan. Kalau dia saja yang kena, tidak apa. Tapi disabitkan sekali ibu kesayangannya. Dia nak marah tapi Cik Ajah menegah. Kata Cik Ajah kesayangan Kai, orang cantik kena sabar.

"Sarah pula..."

"Hmm...?"

"Tak kisah ke Mail cuma kerja bengkel kampung? Malam-malam meniaga char kuetiau. Sarah tak kisah?"

"Tak kisah. Asalkan kerja dia buat tu halal," balas Kai dengan senyuman nipis. Air teh o suam di dalam cawan dicicip sikit sebelum dia berdeham sedikit, "Mama."

"Ya?"

"Petang nanti Mail ajak Sarah keluar. Dia ajak makan cendol. Dia suruh Sarah bawa mama, dia pula bawa mak dia. Dia kata tak manis kalau kami keluar berdua," tersipu-sipu Kai bercerita. Tak tahu kenapa dia jadi segan pula.

Cik Ajah yang mendengar terus sengih lebar, "Kira nak mama jadi chaperone lah ni?"

Kai angguk sambil tersengih malu, "Mama setuju tak nak ikut makan cendol ni?"

"Iya. Mama setuju. Kalau tak setuju, lambat lagilah sesi nak berkenalan kamu berdua," usik Cik Ajah sebelum bangkit dari kerusi dan menuju ke bilik air untuk ambil kain yang sudah siap dibasuh untuk disidai di ampaian.

Kai rasa pipinya mula menghangat. Tiba-tiba dia rasa berdebar nak jumpa Mail petang ni!

Mail
- Soalan awak tu, saya jawab petang nanti boleh? Lepas saya habis kerja dekat bengkel. Kita pergi makan cendol dan pasembur.
- Awak bawalah Cik Ajah sekali. Saya bawa mak saya. Nak keluar berdua saja, takut awak tak selesa dan takut ada siaran Astro bergerak berbunyi nanti.
- Jumpa petang nanti, Kaisarah.
.
.
.
.
.
Kai mengerling Cik Ajah dan Acik Hasni yang sedang bersembang di meja sebelah sebelum matanya mengerling lelaki yang sedang menyuap cendol di depannya ketika itu.

"Dari tadi saya tengok awak jeling-jeling saya. Ada yang awak tak puas hati ke, Kaisarah?" Tegur Mail bila sedar dengan wajah masam Kai.

"Bila awak nak jawab soalan saya?" Tanya Kai dengan nada tak puas hati namun masih terkawal.

"Sejak bila Cikgu Nur kita ni jadi kurang sabar ni?" Soal Mail, tak pedulikan nada tak puas hati Kai tadi!

"Minum dulu air awak tu. Ais dah cair dah, tak sedap nanti," ujar Mail sebelum menyuap cendol ke dalam mulutnya.

Kai hela nafas sebelum menyedut sikit air teh o ais yang dipesannya.

"Awak tak suka cendol?" Tanya Mail bila dia lihat Kai mula menggaul pasembur yang dipesan wanita itu tadi.

"Tak berapa. Kalau ada pilihan ABC atau cendol, saya pilih ABC. Kalau tak ABC, laicikang."

Mail angguk kepala, tanda faham! "Jadi..."

"Hmm?" Kai jungkit kening pada Mail bila terdengar nada meleret Mail.

"Untuk soalan awak yang pertama. Saya pilih awak sebab saya sukakan awak. Jawapan tu valid kan? Saya pun dah pernah bagitahu tempoh hari yang saya sukakan awak."

Kai rasa wajahnya berbahang. Mendengar Mail mengaku yang lelaki itu sukakan dia. Dia rasa segan. Dia suka tapi dia segan.

"Iya, awak pernah bagitahu yang awak sukakan saya tapi kenapa awak sukakan saya dan sejak bila?" Tanya Kai, pura-pura tenang walaupun sebenarnya hatinya sedang bergendang.

"Suka seseorang tu perlukan sebab ke, Kaisarah?" Duga Mail.

"Entah. Saya tak tahu. Saya dah lama tak sukakan orang," Kai mengangkat bahu, tanda tak tahu sebelum menunduk sikit, mahu menyedut air teh o aisnya.

"Dah lama tak suka orang? Lagi bagus kalau macam tu. Lepas ni suka saya seorang sudahlah!"

Kai yang mendengar, hampir tersedak dengan ayat terakhir Mail itu. Terus saja dia memandang Mail, tajam! Eh, Mail dua seringgit ni!

"Kenapa tengok saya macam tu? Dah mula sukakan saya?" Tanya Mail dengan nada mahu mengusik.

"Ismail!"

Mail ketawa besar. Ketawa yang buat Kai terpegun. Jarang sebenarnya lelaki di depannya ini ketawa besar seperti sekarang.

Lelaki itu lebih banyak senyum daripada ketawa dan sekarang Kai tahu kenapa lelaki itu jarang ketawa. Tawa Muhammad Ismail itu... kedengaran begitu mengasyikan.

Melihat Kai seperti terkesima, Mail matikan tawanya namun bibir lelaki itu tetap mengukir senyum, "Untuk soalan awak yang kemudiannya, sejak bila. Sejak bila saya sukakan awak..."

Kai yang terkesima tadi terus pura-pura tenang lantas dia berdeham, membuang rasa asing yang hadir dalam hatinya, "Ya. Sejak bila?"

"Saya mula sukakan awak sejak..."

Mati kata-kata Mail bila ada suara lain menyampuk perbualan mereka.

"Tak cukup kacau suami aku, kau kacau tunang adik aku pulak, Sarah?! Dasar perempuan tak tahu malu!!"

Tak sempat Kai nak beri reaksi, dia terasa kepalanya sudah basah dengan air teh o aisnya yang masih berbaki.

"KAK AIZA!" Tinggi suara Mail buat bahu Kai terhincut sikit. Mak, garangnya!
.
.
.
.
.
Bersambung...

p/s; vote dan komenlah sikit. Baru semangat sikit saya nak update Kaisarah 🙈

KAISARAH 🍁Where stories live. Discover now