JIHAN [HORROR]

14 1 4
                                    

Rambut yang masih basah aku lap dengan tuala. Pintu bilik mandi aku tolak perlahan. Aku seorang sahaja di dalam tandas waktu itu. Maklumlah sudah hampir pukul dua pagi.

Memang kerja gilalah aku buat ini. Tapi badan dah terlalu berlengas. Rimas!

Nombor pintu tandas aku pandang. Senyum terpalit di wajah. Seronok mandi semasa tandas kosong di asrama ini. Laju airnya tak seperti selalu.

Diri aku bawa keluar dari bilik air. Bilik aku dekati. Kaki mula terhenti apabila terdengar suara seseorang memanggil aku. Kepala aku pusingkan.

Naura di dalam biliknya memanggil aku. Kaki aku menapak masuk ke dalam biliknya. Dia yang suruh. Barangkali mahu bertanya soalan latihan Kimia yang kami buat bersama petang tadi.

"Kau dari mana?" soal Naura. Aku kerut kening. Jelas kut jawapannya. Rambut aku masih basah. Tuala pun masih berbalut di pinggang.

"Tandaslah. Baru lepas mandi," balas aku. Bibir Naura membentuk bulatan. Tapi keningnya berkerut.

"Cik Abu dah repair toilet tiga ke? Aku mandi situ tadi. Air laju gila. Itu yang aku basah rambut sekali. Syok betul!" tambah aku.

"Basah rambut? Toilet tiga?" soal Naura kepada aku. Wajahnya cemberut. Aku hanya mengangguk. Wajah aku keliru dengan reaksi Naura ketika ini.

"Pertama, rambut kau langsung tak basah Jihan. Muka kau macam baru lepas bangun tidur ada lah. Kedua, Cik Abu mana ada dekat sekolah dah dekat seminggu. Dia masuk hospital. Ketiga, Toilet tiga itu mana pernah terbuka dari kita form one lagi," jelas Naura.

Wajah aku pula yang berkerut ketika ini. Aku ingat selama ini tandas tiga itu hanya berkunci kerana rosak. Ini baru hari ketiga aku masuk ke sekolah ini. Aku berpindah ke sini kerana sekolah lama aku tidak menawarkan subjek sains tulen ketika berada di tingkatan empat.

Sepanjang aku di sini tiada siapa pula pernah bercerita tentang tandas itu. Aku pandang wajah Naura dalam-dalam. Mana tahu dia hanya sengaja bergurau.

"Kau biar betul? Aku baru aje habis mandi," tambah aku. Jantung tak payah cerita, laju gila!

"Aku tak main-mainlah. Tak ada siapa bagitahu kau ke fasal tandas tiga tu? Kau cuba rasa rambut kau," arah Naura.

Tangan aku terus mengelus lembut rambut sendiri. Mata aku terbuntang luas. Naura aku pandang dengan perasaan takut.

"Na...Naurah..." Suara aku jelas bergetar-getar ketika ini. Baru hari ketiga sudah kena kacau.

Ahh!

Tuala aku nak terlucut. Kenapa masa ini juga?!

"Jihan! Kau buat apa dalam stor tu?" suara Naura menyoal.

Aku yang menunduk mula merasa pelik. Stor? Kenapa suara Naura kedengaran jauh? Dia bukan depan aku aje ke?

Kepala yang tertunduk aku angkat. Naura sudah tiada di hadapan.

Hilang.

Ghaib.

Ya, aku berada dalam stor. Gelap gelita. Sunyi tanpa sesiapa. Hanya aku satu-satunya manusia di situ. Kaki mula berlari ke arah pintu yang aku masuk tadi. Tangan mencapai tombol pintu.

Kunci! Tak guna.

"Macam mana kau boleh masuk situ? Aku baru aje kunci bilik ni petang tadi," jelas Naura di luar. Tangannya sibuk membuka kunci untuk aku.

Sesudah pintu terbuka luas, aku terus peluk tubuh Naura. Air mata mula berjujuran. Tubuhku mengigil ketakutan. Nadhrah hanya mengusap lembut belakang tubuhku.

"N...Naura... Aku kena kacau... Kau baru aje kat dalam tadi...borak dengan aku..."

"Apa kau cakap ni, Jihan? Stor ni dari petang tadi kunci. Lagipun dah kenapa aku nak masuk stor ni malam-malam buta. Kau pun satu. Malam-malam ni keluar seorang kenapa?" soal Naura.

Tanggannya terletak di atas bahu aku. Kemudian bahu aku ditolak lembut untuk aku memandang dia. Air mata yang masih mengalir aku kesat dengan belakang tangan.

"Aku nak mandi aje. Panas gila kut," jelas aku. Naura menggeleng kepala. Tangan aku ditarik lembut. Kaki kami kini mula menjauh dari stor itu. Naura membawa aku ke bilik.

"Dah tidur. Kau jangan nak merayap lagi. Nasib baik aku ada. Kalau tidak lagi teruk boleh jadi. Nak pergi mana-mana ajak teman. Jangan pergi seorang. Faham?"

Aku angguk perlahan. Kini aku sudah berada atas katil sendiri. Ahli bilik lain pun sudah nyenyak dibuai mimpi.

"Aku tidur dengan kau? Nak?" soal Naura. Aku hanya angguk sebagai jawapan. Perasaan takut masih tidak pergi. Masih melingkar di dalam jiwa.

Mata aku cuba pejam apabila Naura sudah berbaring di sebelah. Biarlah sempit sekalipun asal aku ada teman waktu itu. Doa tidur, ayat kursi dan beberapa surah aku baca sebelum dibuai mimpi.

"Jihan! Kau pergi mana?" Satu suara mengejutkan aku dari tidur. Cahaya matahari mula kelihatan.

"Naura?" Aku terpinga-pinga apabila Naura memeluk tubuhku erat. Kawasan sekeliling mula jelas. Ini bukan bilik aku.

"Macam mana kau boleh sampai ke sini? Kau panjat pagar asrama ke? Kenapa kau tidur dalam kelas? Seorang pula itu. Kau gila ke?" soal Naura bertubi-tubi.

"Kau yang teman aku malam tadi masuk bilik aku. Lepas aku keluar dari stor...lepas aku mandi dalam tandas tiga..."

Takut mula menyelubungi diri kembali. Ini memang gila! Malam itu pun bukan Naura yang sebenarkah?

"Kau mengarut apa ni? Dari maghrib kau hilang semalam. Semua orang cari kau bagai nak gila tahu!" Suara Naura sedikit tinggi. Aku tersentak mendengar suaranya itu.

"Aku tak tipu... Kau ada dengan aku. Kau teman aku tidur malam tadi. Kau yang tipu aku Naura. Kau jangan main-main boleh tak?"

Suara aku pula naik seoktaf. Tak tahu mahu rasa apa. Takut semestinya. Marah pun ya. Marah kepada Naura yang seakan tak mempercayai kata-kata aku. Marah kerana dia menidakkan pernyataan aku.

"Aku tak tipu! Aku tak ada dengan kau malam tadi. Bukan aku Jihan," jelas Naura sungguh-sungguh.

"Ya bukan dia tapi aku." Satu suara menyampuk perbualan kami. Aku pandang tepat ke arah pintu belakang kelas.

Naura!?

Aku pandang Naura yang di hadapan aku. Masih ada. Wajahnya berkerut memandang Naura di pintu belakang kelas.

"Aku pun. Aku yang teman kau tidur malam tadi, Jihan." Satu lagi suara datang. Kali ini di hadapan kelas. Entah dari mana dia datang. Wajahnya juga mirip Naura.

"Ish apa kau orang ni. Kau orang dah kacau dia. Ini giliran aku pula." Naura di hadapan aku bersuara.

Aku tenung semua tiga-tiga Naura ketika ini. Semua berbaris lurus di hadapan aku. Semuanya sama tak ada beza. Langsung tak ada.

Tubuh mula menggeletar laju. Jantung pun turut sama berdegup kencang. Terasa peluh mula membasahi dahi.

"Apa semua ini?"

Kaki mula berlari keluar dari kelas. Tiada arah untuk dituju asal aku boleh keluar daripada ini semua. Aku dah tak tahan. Ini semua gila dan tak masuk akal.

Bangun Jihan! Sedarlah.

"Argh!"

"Kau nak lari mana Jihan. Kau tiada tempat untuk lari. Kau dah terperangkap!" Naura mula mengilai kuat. Bingit. Tubuhnya betul-betul di hadapan aku ketika ini.

Aku mula memusingkan tubuh. Baru sahaja hendak berlari datang Naura yang lain. Kali ini bukan tiga tapi lima. Semuanya mengelilingi aku. Memang tiada jalan keluar lagi.

Wajah mereka bertukar. Tidak lagi seperti wajah manusia. Wajah mereka menyeramkan. Ada yang biji matanya tersembul keluar dari soket matanya. Ada yang wajahnya kendur sehingga ke lantai. Ada juga kepalanya berpusing 180 darjah. Semuanya berlumuran darah dan berbau busuk. Seakan bau muntah dan darah.

Mereka mula mengilai kuat dan serentak. Aku menekup telinga dan terduduk. Mata aku pejam rapat mengharapkan yang semua ini aku pergi dengan segera.

"Kau tak boleh lari Jihan! HAHAHAHAHA"

escapismWhere stories live. Discover now