Bab 3

4 0 0
                                    

SUASANA hingar-bingar di dewan perkahwinan ini. Semuanya rancak berborak dan berkongsi kisah. Aku hanya senyap memerhati. Memang bukan menjadi kesukaan aku suasana begini.

Datang sudah mak long aku. Mak long merupakan kakak kepada ibu. Satu-satunya adik-beradik ibu. Aku beri satu senyuman pada mak long. Mak long tunjuk pada arah Thasha anak gadisnya yang berada di atas pelamin.

Pasangan mempelai itu dikerumuni ramai orang. Masing-masing mahu mengambil gambar dengan mereka untuk dijadikan kenangan. Aku tatap arah yang mak long tunjuk.

"Tengok Thasha. Umur 23 sudah kahwin. Kamu bila lagi? Jangan jual mahal sangat, Adira. Takut tak ada yang mahu nanti. Atau kamu memang tak laku?" kata mak long.

Aku hanya diam dan mengulum senyuman. Sudah lali dengan semua ini. Anak-anak mak long ketiga-tiganya semua sudah berkahwin. Seorang sebaya aku, Thaqid namanya manakala Thaqif berusia 26 tahun dan Thasha 23 tahun.

Aku pandang mak long dengan wajah tenang. Walaupun kata-katanya pedas tidak bertapis dan membuatkan aku mahu balas dengan cara yang kasar sahaja sekarang ini. Tapi memikirkan maklong ini keluarga aku dan orang yang lebih tua, aku masih menjaga adab.

"Bukan jual mahal, mak long. Adira punya jodoh belum sampai. Tiba masanya datanglah dia. Mak long doakanlah dia datang lekas sikit. Tak perlulah mak long asyik tanya bila Adira nak kahwin," jelas aku.

Mak long langsung tak endah kata-kata aku. Yang dia tahu aku ini tak laku. Tak ada orang nak sahaja tak laku. Salah ke kalau aku tak berkahwin sekali pun? Dah kalau Tuhan takdirkan jodoh aku datang lambat daripada kebanyakkan orang, salahkah?

Aku bersyukur Tuhan takdirkan jodoh aku lambat. Sedikit sebanyak aku dapat berbakti pada keluarga aku lebih. Masa dan wang yang aku ada sekarang ini pun semua aku gunakan untuk keluarga.

"Kalau katakan Adira tak kahwin pun, sekurang-kurangnya ada orang yang akan sentiasa ada dengan ibu. Buat peneman dia waktu tua nanti. Ayah dah tak ada untuk teman ibu," balas aku. Masih berlembut.

Aku usap lembut tangan maklong. Aku angkat punggung dari kerusi. Tak mahu lama-lama di sini. Takut nanti ada yang makan hati. Aku pun sudah terasa bahang. Bukan kerana haba dewan ini tapi haba dari hati aku yang mula berasap menyelubungi diri.

"Adira pergi ambil cendol. Nampak sedap aje. Mak long duduk ajelah sini kalau mak long nak. Adira nak pergi dekat ibu lepas ini," pamit aku. Mana tahu cendol yang sejuk itu mampu memadam hati yang membara ini sebelum dia benar-benar meletus.

Kini aku mendekati booth cendol. Nampak mengiurkan betul. Walaupun dewan ini mempunyai penyaman udara, cendol itu tetap kelihatan menarik.

Di sebelah booth cendol ada booth apam balik. Rambang mata dibuatnya. Cendol yang sejuk dihidang bersama apam balik ranggup yang hangat. Ahh nikmat!

Ini sahaja sebab aku sukakan majlis kenduri kahwin. Makanannya yang enak  dan pelbagai jenis. Yang paling penting percuma!

Bahu aku ditepuk perlahan semasa sedang beratur dengan tetamu lain untuk mendapatkan cendol. Aku toleh memandang ke arah kanan. Wajah Qawiy menjadi tatapan mata aku ketika ini.

"Ibu ajak balik," ujar Qawiy. Kemudian dia terus berlalu pergi. Aku kerut kening dan mencebik bibir. Tak sempat nak merasa cendol dengan apam balik. Aku terus keluar dari barisan dan mencari kelibat ibu dan Qawiy.

Ibu dijumpai. Ibu sedang bersalaman dan bermesra dengan sanak saudara yang lain. Aku jalan menapak ke arah ibu. Salam turut aku hulurkan kepada ahli keluarga dan beberapa wajah yang aku tak kenali.

Telinga aku memacak. Boleh naik gila aku begini. Soalan itu lagi menyapa koklea. Aku ukir senyum paksa. Penat dan lelah.

Memang sudah tiada modal lainkah untuk dibualkan. Tanyalah bila nak sambung Master ke? Bila nak kaya ke? Balik-balik bila nak kahwin tak jemukah mereka?

Cinta Haura Adira [ON HOLD]Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin