Bab 4

7 0 0
                                    

SEDANG ralit anak-anak jari aku menari laju di atas papan kekunci Kak Saleha tongkat dagunya pada papan pengadang meja aku. Manakala Zahra pula sudah sebahagian kerusinya ditolak memasuki ruang aku. Aku panggung riak keliru.

"Kenapa?" soalku. Pelik, pagi-pagi lagi mereka berdua sudah ke tempat aku. Wajah masing-masing juga sama mencurigakan. Semacam ada sesuatu.

"Kau dah jumpa manager baru?" soal Kak Saleha. Aku geleng. Masih belum. Kewujudan dia di sini pun aku tak tahu.

"Segak kak! Muka macam Kpop Idol. Kacak maut. Kami nampak dia dekat lif tadi," tambah Zahra. Aku hanya mengangguk perlahan sambil bibir membentuk 'O'. Buat-buat ambil tahu.

Tak berminat sangat sebenarnya. Kacak-kacak ni silap-silap sudah berbini anak empat. Yalah dia kan manager. Mungkin muka sahaja muda tapi usia dah nak masuk four series.

Aku teka sahaja. Selama ini manager tempat kerja aku tidaklah muda mana. Itu yang aku kata begitu. Kacak-kacak sekali lelaki orang. Sudah! Dicop penyondol pula nanti.

Orang sekarang ini, mana boleh silap sedikit. Semuanya mahu terlihat sempurna dan indah belaka. Apa dia fikir manusia itu robot? Robot pun ada kekuranganlah. Tuhan aje yang sempurna.

"Dengar cerita dia single. Hari itu, akak ada cakap penat dengar orang tanya akak fasal kahwin kan? Trylah masuk line." Aku kerut kening dengan kata-kata Zahra. Gila. Dia itu manager, aku ini plankton aje. Tak sedar diri ke?

"Iya. Sampai bila kau nak bujang Adira? Umur nak cecah 30 lagi dua tahun aje. Berdasarkan pemerhatian akak, kau memang dah boleh kahwin. Cukup pakej," tambah Kak Saleha.

"Ish ke situ pula. Tak mahulah. Dia manager, saya ini pekerja bawahan aje. Lagipun saya tak sedia lagi kak. Selesa hidup begini." Aku rasa mahu lari sekarang. Tak sukalah kahwin-kahwin ini. Nak kahwin, pergilah kahwin sana. Kenapa kena libatkan aku?

Semalam sudah kena serang dengan mak long dan mak cik-mak cik yang aku tak tahu nama. Kelmarin dengan ibu. Hari ini rakan sekerja pula. Sudah-sudahlah tanya Haura Adira tentang kahwin. Penat!

"Tapi kalau muka dia macam Leonardo DiCaprio saya on. Baru worth my effort orang kata," seloroh aku. Saja mahu bergurau. Tak mahulah serius semedang. Bosan juga begitu. Hidup macam tak ada warna.

"Meeting at three." Satu suara garau menerpa ruang kerja kami. Semua mata terarah pada tubuh seorang lelaki. Yang tadinya bersembang semua terdiam.

Garang betul suara. Sudahlah garau, dalam pula itu. Memang siapa sahaja yang mendengarnya boleh terketar ketakutan sekejap. Aku angkat punggung sedikit dari kerusi, turut sama meninjau gerangan pemilik suara tadi. Manager barukah?

Malang!

Lelaki tadi sudah menoleh. Aku hanya nampak bahunya yang lebar dan belakang tubuhnya yang tegap. Bahunya memang lebar betul! Dipadankan dengan kemeja berwarna hitam yang melekap di tubuhnya. Tidaklah ketat sehingga mencolok mata, hanya sedap mata memandang. Ada ala-ala lelaki Pinterest!

Smart juga aura dia.


WAKTU makan tengah hari, akhirnya! Aku dah nantikan waktu ini sejak lepas sarapan tadi. Zahra punya fasal lah. Dia datang, terus ajak aku makan tengah hari dengannya.

"Jom," ajak Zahra. Aku angguk dan kemas sedikit meja aku sebelum berangkat. Tak jauh mana pun kedai yang kami mahu tuju. Jalan kaki sudah memadai. Jadi tak perlu tergesa-gesa.

Sedang asyik Zahra yang banyak mulut itu mengadu domba pada aku tentang hal kerja, suasana tiba-tiba diam. Hanya aku dan dia sahaja di dalam lif ini. Itu yang rancak dia bersembang.

Cinta Haura Adira [ON HOLD]Where stories live. Discover now