Bab 17

6.1K 318 4
                                    

Qayla kesat air mata. Nafas panjang ditarik. Dia senyum paksa. "Sorry Qayla ter emosi pula." Dia minta maaf. Cuba untuk menyedapkan hati. Surat yang dilipatnya tadi disiat-siat menjadi kepingan halus lalu dicampak ke tong sampah.

"Qayla tak percaya. Ni mesti orang saja nak main-mainkan kita." Dia cuba berfikiran positif. Air mata suaminya dikesat lembut. "Dah! Abang jangan sedih lagi ya." Dia pujuk Adam yang masih membeku.

"Jom la kita tidur. Qayla dah penat buat kerja." Dia ajak suaminya masuk ke bilik tidur untuk berehat. Lengan suaminya ditarik. Namun Adam tidak mahu berganjak.

"Abang, dah la tu. Kita tidur jom?" Pujuknya lembut dengan suara yang masih menahan tangis. Dia seakan-akan tidak mahu mempercayai apa yang dia lihat. Dia tahu, bahasa tubuh suaminya itu mengeyakan isi surat itu. Dia tahu, apa yang ditulis di dalam surat itu adalah suatu kebenaran. Namun dia tidak mahu ingat, tidak mahu ambil berat. Dia mahukan kehidupannya yang sebelum ini, yang bahagia di samping Adam Fawwaz, yang dilayan seperti permaisuri, yang dicintai tanpa tapi.

Tidak lama setelah itu, Adam tarik isterinya ke dalam dakapan. Kepala isterinya dirapatkan ke dada. Dadanya turun naik, laju. Air mata jantannya tidak mahu berhenti mengalir. Hatinya terasa bagai dihiris. Dia tidak sanggup melihat gadis itu terluka tetapi sudah tiba masanya untuk kebenaran menemui jalannya.

"Maafkan abang, sayang." Ucapnya sayu. Dia kucup lembut dahi isterinya. Bibirnya bergetar.

"Kenapa abang minta maaf? Abang tak salah. Qayla tahu abang tak salah. Qayla tahu itu semua fitnah." Dia masih tidak mahu menerima apa yang sedang berlaku. Qayla mahu memandang suaminya namun Adam mendakapnya kuat.

"Qayla.. Abang minta maaf...

sebab abang..

tak jujur dari awal." Adam telan liur, terasa pahit sekali.

"Tak! Itu fitnah!" Dia tidak mahu mengalah. Pertama kali Adam melihat isterinya berkelakuan begini. Qayla genggam bahagian belakang baju Adam. Sakit.. sungguh sakit untuk dia terima.. sungguh pahit untuk dia telan. Dia tidak layakkah untuk bahagia? Mengapa di saat dia merasa seperti perempuan paling bahagia, di saat itu juga kebenaran menikam hatinya?

"Abang minta maaf sayang." Suara Adam serak. Dia tidak henti meminta maaf. Sungguh, dia rasa bersalah. Isi surat itu buat dia ragu-ragu tentang perasaan sebenarnya pada isterinya.

Betul ke aku sayangkan Qayla atau aku sebenarnya hanya mempergunakan dia?

Dia soal diri sendiri.

Allah, ampunkan aku.

Dia kesal akan dirinya. Kesal akan segala perbuatannya. Andai saja dia jujur dari awal, dari waktu mula-mula perkenalan mereka. Hari ini, dia telah menghancurkan hati seorang wanita yang suci, yang cintanya ikhlas pada sang suami.

Qayla hentak belakang Adam dengan genggamannya. Kolam matanya kembali basah. Esakannya menembusi telinga Adam. Dakapan Adam semakin kemas. Dia tidak mahu melepaskan gadis itu. Dia tidak sanggup melihat wajah seorang wanita yang telah dia lukai, cinta yang telah dikhianati.

Jadi selama ini... hanyalah penipuan?

Dia hentak Adam lagi. Dia guna tenaganya sepenuhnya. Dia cukup kecewa. Rasa seperti dipermainkan. Kasih sayang yang diberikan oleh Adam selama ini hanyalah lakonan? Dia hentak lagi beberapa kali sehingga tubuhnya lemah.

Tangannya jatuh ke sisi.

"Sebab tu ke...

abang tak pernah cakap abang sayang Qayla?" Soalnya. Sudah lama dia menunggu suaminya mengungkapkan lafaz cinta namun lafaz itu tidak pernah sekali menembusi gegendang telinganya.

Sisakan Aku Waktu | CWhere stories live. Discover now