Bab 2

5.3K 102 0
                                    

SETELAH menyalami tangan kedua-dua orang tuanya, Luth terus mendapatkan teksi untuk ke tempat temu duga. Langkah kakinya diiringi doa kerana ini temu duga dia yang entah sudah ke berapa kali.

Dia tiba di lobi Menara Megah Holdings dengan perasaan berbaur. Resah, gelisah. Takut ditolak mentah-mentah. Bukanlah dia bimbangkan kelayakan akademik kerana nyata, dia ialah pelajar anugerah Naib Canselor. Penampilan dia... Rasanya sudah sempurna tapi ada yang tak sempurna, yang tak mampu dia sembunyikan.

Panggilan telefon daripada Puan Laila menghalau resah. Kata mamanya... "Luth layak. Luth berkemampuan. Tak ada sebab untuk dia orang tak ambil Luth kerja kalau dah panggil interview."

Matanya dipejam dua saat. Allah... Perlahan nama Tuhan Yang Satu diseru. Mohon ketenangan. Dia ternampak-nampak wajah mamanya tersenyum, terdengar-dengar kata-kata ayahnya yang memberi semangat. Luth genggam tangan sendiri. Fail juga dipeluk kemas. Yakin!

"Okey. Rezeki Allah bagi. Kena cuba juga..." Dia terus menapak ke lif dan naik ke tingkat seperti yang telah tertera pada surat panggilan temu duga.

Dia tahu, ada mata yang memandang dia tapi dia hanya perlu tenang. Biarlah. Pandangan mata itu selalu menipu. Dia tahu masyarakat menilai dengan mata kasar tapi Allah tahu hati dia. Luth buat tidak tahu. Hingga tiba di tingkat 21, dia terus masuk ke depan penyambut tetamu. Diberi salam penuh sopan biarpun pandangan jengkel menjadi balasan.

Dia terus senyum. Tak apa, Luth. Allah ada. Hati sendiri perlu dipujuk. Perlu ditenangkan.

"Nak jumpa siapa, ya?" soal seorang penyambut tetamu muda.

"Saya ada temu duga hari ni..." Bibir Luth koyakkan senyuman. Semanis mungkin. Sedaya upaya menyorok apa yang perlu.

Gadis penyambut tetamu tersebut membelek fail di depan mata. Memang ada dua temu duga yang diatur oleh Tuan Ahmad Fuad hari ni. Satu temu duga dikendalikan penuh oleh anak Tuan Ahmad Fuad di Bahagian Akaun. Satu lagi anak sulung Tuan Ahmad Fuad di Bahagian Teknikal. Seorang memerlukan akauntan dan seorang lagi mencari pembantu peribadi.

"Siapa nama, ya?"

"Luth..."

"Cik boleh ke wing kiri. Bahagian Pengurusan Teknikal," ujar penyambut tetamu tersebut. Sekadar membelek muka surat pertama pada fail butir peribadi, dia terus meminta Luth ke bahagian sebelah kiri.

Luth senyum lantas mengucapkan terima kasih. Dia terus menapak dan sesekali berpaling ke arah kiri untuk menuju ke tempat yang dikatakan.

Tapi, baru sahaja kelibat Luth hilang dari pandangan mata, gadis penyambut tetamu itu terpaku seketika apabila muncul seorang lagi gadis lain yang agak seiras.

"Cik ni..."

"Fina. Saya datang sebab ada interview..."

"Okey. Cik boleh ke sebelah kanan. Bahagian akaun, ya?" suruh penyambut tetamu tersebut tanpa sebarang syak. Yang pasti, hanya ada dua temu duga hari ni. Seorang telah sampai untuk jawatan pembantu peribadi dan yang ini, sudah pastilah untuk jawatan akauntan.

Anis duduk semula. Dia melarikan tetikus dengan mata melekap pada skrin komputer. Semoga semuanya berjalan lancar. Dia berharap untuk Encik Fareed yang 'singa' tu.

RUPA-RUPANYA hanya dua orang yang datang temu duga termasuk dia. Kiranya persaingan tak sengit mana. Luth peluk kemas fail ke dada. Dia berdebar. Syarikat baharu. Baru bermula. Dia tahu. Dia pun bermula tanpa pengalaman. Sekadar ada segulung ijazah dalam bidang perakaunan. Fina pula dalam pengurusan pejabat.

Dia... Cinta Yang KucariWhere stories live. Discover now