Bab 9

3.7K 90 0
                                    

TAKBIR diangkat tenang. Hati memuji kebesaran Ilahi. Bibir bergerak tapi tiada patah kata yang terzahir. Luth khusyuk berjanji temu dengan Pencipta. Reda dan tekun mengerjakan apa yang disuruh.

Khusyuknya tiada diganggu gugat. Suasana hening benar-benar membuatkan Luth bahagia saat dia mencari kasih Tuhan. Menunaikan janji yang telah dituntut. Rukuk, bangkit lantas jatuh untuk sujud. Segalanya dilakukan dengan ikhlas. Seluruh anggota memuji kebesaran Ilahi dan bibir mengalunkan ayat suci al-Quran Nur-Karim.

Kaki Payed terhenti. Dia mahu mendekat tapi setelah nampak Luth sarungkan telekung dan berdiri tegak mengangkat takbir, tingkahnya mati.

Tak jadi dia mara!

Dia ketap bibir. Lama matanya memerhatikan tindakan Luth yang tak henti-henti sampaikan pada sujud terakhir.

Simpuh tahiyat akhir Luth.

Salam Luth.

Telapak tangan Luth yang meraup wajah usai mengucapkan salam.

Luth tak sedar kehadiran Payed. Menggambarkan betapa khusyuknya gadis itu menghadap Allah Taala. Jam di pergelangan tangan dikerling. Dah lewat. Dah enam setengah petang. Niat jahatnya tadi mati tiba-tiba.

Fikiran Payed bagaikan kosong. Saat Luth mengangkat tangan, mendongakkan wajah sedikit... kening lebat Payed kian berkerut. Alunan itu cukup perlahan dan halus.

Dia tak dengar!

Lalu kaki menapak lagi selangkah dua. Payed terhenti di situ lalu telinganya cuba mendengar apa yang dikatakan oleh Luth.

Dia nak dengar apa yang dibisikkan oleh Luth.

"Allah, ampuni hamba. Ampuni ibu bapa hamba. Ampuni kakak hamba dan, ampuni dia. Yakinkanlah hamba, yang dia tak sengaja, yang dia khilaf kerana dia manusia biasa. Jika di sini rezeki hamba, permudahkanlah. Jika tidak, yakinkanlah hati ini untuk pergi..."

Hujung doa itu Luth bagai teresak. Dia? Siapa? Tak mungkin Palee. Payed yakin satu hal itu. Dan dia juga yakin bahawa 'dia' yang Luth maksudkan ialah dia. Dirinya sendiri. Betapa Luth tak selesa adanya dia bersama hingga begitu sekali doa gadis itu.

Siapa kau, Fiya? Hati Payed tak lepas menyoal perkara itu. Renungannya makin tajam. Apabila Luth membuka telekung, sekali lagi rambut berkilat itu tersilau pada pandangannya. Jari halus yang menguak rambut panjang mengurai itu dan terus mengikatnya tinggi membuatkan dada Payed kembali bergelora.

Doa Luth tadi berlalu pergi. Berbekas dalam hati tapi tak terkesan pada jiwa. Sayang! Liur ditelan kasar. Bagaikan meneguk air di padang pasir yang panas. Penyaman udara yang masih terpasang langsung tak menyejukkan dada yang makin menggelegak.

Matanya kian tajam memerhati. Hingga rambut itu ditutup dengan selendang warna pelangi, barulah Payed tersedar. Lalu, dia menapak lagi dan berdiri tepat di sebelah Luth yang masih lagi melutut.

Kepala Luth tertoleh saat melihat kaki. Dada dia berdetak laju. Dia pantas mendongak dan saat wajah Payed terbias di depan mata, Luth mengucap panjang.

"Allah. Encik Payed buat apa dekat sini?" Luth terus lilit selendangnya ala kadar. Menariknya hingga menutup pipi kiri. Apa yang pasti, dia yakin Payed dah lama ada di situ. Tak sedar dia. Sunyi sangat.

Rambut dia pasti dah jadi habuan mata Payed. Tak syak lagi.

"Encik Payed buat apa tak balik lagi?" tanya Luth sekali lagi cuba meredakan suasana.

Dia tak mahu melatah. Sebab dia tak mahu Payed bertingkah. Dia tak mahu Payed bertindak pantas. Tak mampu dia melawan nanti. Tak berkudrat dia.

Mendengarkan soalan Luth, bagaikan tiada apa baginya. Payed melutut di sisi Luth yang masih duduk di atas sejadah. Luth menarik telekung rapat ke dada. Risau dengan Payed yang dah terlalu dekat dengannya.

Dia... Cinta Yang KucariWhere stories live. Discover now